ilham Ma'mum

Isnin, 8 Disember 2014

Jejak Tamadun Islam & Kembali

By : Selimutsura

Dengan Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

Lama sudah tidak menulis, ada lebih 3 bulan. Kesibukan pun tidak, separa sibuk dengan program, dakwah, nasyid dan keluarga. Anakanda Najmi Yusuf pun kini sudah berumur 6 bulan lebih, pembesaran pesat Najmi sangat mengujakan. Alhamdulillah.

Najmi sudah pandai merangkak kecil, memaut tangan, menanduk kepala, dan senang cerita, serba - serbi berpotensi untuk lebih cepat berjalan. Ada orang kata, usia sekarang boleh diberi makan makanan penyek seperti bubur, kisaran buah dan sebagainya. Nanti dulu-lah, biar betul - betul saya dan isteri bersedia.

Mohon maaf, bagi yang sudi membaca blog saya ini. Kesuntukan waktu itu, adalah kelemahan saya yang menyusun jadual. Kali ini perkongsian-nya moga - moga lebih istiqamah, dan mantap berbanding zaman pra-universiti dan mahasiswa dulu.

Kini kampus saya adalah keluarga dan masyarakat.

Sejak akhir - akhir ini, saya bercenderung untuk mengkaji dan mengumpul sejarah Islam di Eropah. Secara umumnya, banyak sumber dan maklumat telah dijejak oleh para sejarawan atau muarrikhin (kenapa tidak sejarahwan),arkeologis, dan ahli akademik. 

Dan mengapa Eropah? Kenapa tidak di Asia Tenggara?

Saya berperibadi, sejarah wajib lebih telus dan jujur. 

Sejarah kita

Di negara yang saya cintai, bila sebut Melaka. Terpapar difikiran, surat khabar, iklan, dan media luas ini, rating tertinggi adalah Kota A'Famosa, Kota Portugis bukan Masjid Kampung Hulu, Kling dan Tengkera. Pengimarahan Kota Portugis (Penjajah, Pemusnah masjid dan surau) lebih hebat.

Adakah Kota A'Famosa dibina dari runtuhan Kota Melaka? Atau runtuhan masjid - masjid, surau dan musolla?

Itulah hakikat, Melaka Bandaraya Bersejarah.

Siapa tahu tentang Kota Lukut? Lukut kat mana tu..kalau kita tanya anak - anak Malaysia. Tak tauuu! Lukut di tepi gantang.

Kota Lukut, Bukit Raja, Port Dickson adalah kubu pertahanan, kubu ekonomi, kubu kemahsyuran Islam sebagai pusat pemerintahan Raja Jumaat ibn Raja Jaafar, seorang muslim berketurunan Melayu Bugis.

Senario Industri Hiburan Malaysia

Masa kecil saya lebih kenal, Doraemon, Son Goku, Suria Baja Hitam, Ultraman Cicak, Maskman, Cybercop dan Usop Sontorian. Melangup depan TV merah tengok kuasa - kuasa yang ada pada mereka. Kelakar! Habis musnah rumah dan bangunan. Upin Ipin, sedikit sebanyak meningkatkan daya kritis dan manfaat dunia kartun kanak - kanak, dan dewasa.

Doktrin ini wujud hingga kini. Sangat jarang kisah kartun hero kita seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Dol Said, Maharaja Lela, dan lain - lain.

Mungkin cerita rakyat orang putih, lebih syok berbanding filem dinegara kita yang tidak berimbang. Lawak hingga lagha (sia-sia), gengster hingga jahat itu hebat, cinta hingga bermaksiat, hantu pocong hingga khurafat.

Rosak akidah umat, rosak juga akhlak. Yang untung siapa? Yang kaya siapa?

Hiburan yang tidak berilmu, di zaman teknologi bertamadun.


Sambung master

Isteri saya ada mengesyorkan supaya melanjutkan pengajian Master dalam bidang sejarah dan peradaban. InshaAllah, jawapan ringkas dan padat.

Tidak mudah, bila sudah bekerjaya untuk terjun semula ke dunia kampus. Banyak faktor strategi perlu distruktur semula memandangkan Ijazah Sarjana Muda dulu pun pengajian jarak jauh.

Masa, tenaga dan wang ringgit itu semua kurniaan dari Allah Taala, kita perlu bijak memanfaatkannya. Najmi Yusuf pun sedang membesar, saya banyak memberi masa dan ruang untuknya, malahan isteri juga seorang pendidik.

Sejarah adalah pelajaran umat, bukan mengimbau atau mengenang. Tetapi belajar dan ambil pengajaran darinya. Mengapa? Kenapa? Bagaimana? Siapa? Bila?

Sejarah pupus, kerana kita yang tidak endah. Bangunnya sejarah, membina tamadun dari strategis dan bijaksana orang dahulu. Jatuhnya tamadun pula dari ketamakan dan kepentingan duniawi orang terdahulu.

Kita ini mewarisi tamadun dari sejarah masa silam.

Jejak Tamadun Islam | Al-Andalus


Tahu atau tidak, bumi Sepanyol, Portugal, Perancis, dan Kepulauan Lautan Balerik pernah menjadi pusat tamadun Islam terkuat di Eropah. Pintu Islam ke Eropah terawal adalah melalui Selat Gibraltar, dan bahagian selatan Sepanyol. Wilayah Islam yang bertapak selama 780 tahun dan dikenali sebagai Balad al-Andalus. Dari sinilah, Islam mula tersebar luas hingga ke kawasan jajahan Kristian ke Eropah melalui beberapa faktor:

1- Jihad perang 
2- Perdagangan (berkumpulan/individu)
3- Perkahwinan (Raja/Rakyat)
4- Akademik (Para ilmuan/Penterjemah)
5- Hiburan Islami (Syair/adat setempat)
6- Hubungan diplomatik (pemerintah/pengembara)

Ini baru mukaddimah.

Sebelum Panglima Tariq Ibnu Ziyad & Musa Ibn Nusayr (Gabenor Afrika Utara) bersama seangkatan tentera Umayyah menyeberangi selat Gibraltar sebagai misi jihad besar - besaran pada 711 (m). Mereka telah menghantar seorang perisik bernama Tarif Ibnu Malik dan anak buahnya untuk memantau pergerakan musuh di negara Visigoth (nama sebelum Andalus) yang mendarat di pantai Tarifa, Sepanyol.

Nama Gibraltar berasal dari nama Jabal Tariq, dan Bandar Tarifa pula dari nama Tarif Ibnu Malik.

Saya bagi hint sikit, Islam pada zaman ini berjaya menguasai lebih 90% Sepanyol dan Portugal hanya selama kurang 5 tahun ekpedisi jihad mereka.


Sejarah tetap tinggal sejarah. Lebih dalam lagi, saya mahu mengoreksi emas - emas kegemilangan Islam di Andalusia. Setidak - tidaknya kita dapat belajar dari sejarah (ibrah) yang pelbagai, sebagai salah satu sumber pendidikan jiwa, dan mental.

Anak - anak yang menghargai sejarah, belajar darinya, menimbulkan kesan dan prihatin, untuk bekal saya, isteri, anak - anak, dan keluarga menuju akhirat. Saya tidak tahu bagaimana perkaitannya tetapi di dalam al-Quran dan hadis banyak cerita - cerita sejarah yang Allah streaming-kan secara langsung,  tentang Para Anbiya' dan Auliya', para solehin, Firaun, dan para pendusta agama, para pemerintah yang adil dan zalim, dan kisah terdahulu.
Semoga Allah memberi kefahaman, dan keberkatan. Amin.

Terima kasih sudi bertamu.




Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Setapak, Kuala Lumpur

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...