ilham Ma'mum

Memaparkan catatan dengan label Kembara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara. Papar semua catatan

Selasa, 10 Mac 2015

Hidup Perlu Pada Kesedaran

By : Abu Najmi al-Muzzammil

Berkunjung mesra Pn. Hjh Rohani Datuk Mohd Shahir (Pakar Kewangan)

Banyak perkara telah berlalu pergi. Kini usiaku sudah menjangkau hujung 20an. Kalau dulu saya merasakan diri budak belasan tahun yang baru merangkak dan mahu mencuba semuanya. Alhamdulillah sepanjang tempoh sejarah hidup ku, banyak pelajaran dan pengajaran dari nikmat dan mehnah yang Allah Taala jadualkan. Kerana saya sedar!

Terdetik kembali untuk sama bermuhasabah (saya), pengisian hidup sewaktu awal remaja terutama apabila menamatkan zaman sekolah menengah. Pada ketika itu, berat saya 50 kilo dan ukur lilitan pinggang sekitar saiz 27 (Susah nak dapat balik saiz tu). Kawan - kawan ibarat doktor dan pakar bagi saya, meminta pendapat dan berkongsi cerita. Gelak tawa dan tangis di alam persekolahan.

Tamat zaman sekolah, masing - masing berjauhan dengan tujuan hidup masing - masing. Yang mendapat keputusan "Mumtaz" atau "straight A's" berpeluang menyambungkan pengajian ke universiti terkemuka luar dan dalam negara. Namun saya, kurang usaha dan banyak main setakat menunggu rayuan IPTA ketika itu. Ini saya sedar!

Apabila ramai rakan - rakan sudahpun belajar dan berjaya mencapai impian ke universiti, saya masih di pasaraya KLCC sebagai promoter baju Hob Nob (2005). Keputusan SPM tidak membantu saya untuk melanjutkan pelajaran ke IPT awam. Daripada saya terus menunggu rayuan yang telah ditolak akhirnya, saya mengambil keputusan "orang muda" bekerja membantu ahli keluarga. Kerana sedar diri!

Adik - beradik 8 orang dan saya anak ke 2, sangat mencabar. Bagi membantu abah dan mak saya bekerja selama setahun. Banyak pengalaman dan motivasi diri terdidik, kerana bukan mudah bagi saya yang gagal memberi kegembiraan kepada kedua orang tua akan keputusan peperiksaan yang tidak berapa cantik. Namun abah dan mak tidak pernah kecewa kerana mereka tahu keupayaan saya. Abah mak orang yang sedar!

Abah sebagai kerani, emak pula menjual kuih donut, pau sambal, dan pau kukus (Rindunya kuih muih emak). Saya tahu abah susah, dan emak bersusah - payah. Harga kesusahan mereka (dalam fikiran saya remaja umur 18 tahun) perlu dibayar dengan "result" SPM yang bagus. Namun itu tidak berlaku, di samping kawan - kawan seronok dalam kejayaan. Saya hanya menerima kalung tangisan sendiri.

Selepas setahun, oleh kerana orang tua saya tidak mahu melihat saya ketinggalan mereka meminta saya sambung pengajian. Otak remaja saya berfikir "Mana nak dapat duit? Yuran, makan, buku lagi." Terpang - pang iklan PTPTN kan ada! Untuk masuk belajar saya perlu ada sumber kewangan. Saya pun menjual "Dadih" di depan rumah dan area masjid di Damansara. Kerana saya sedar!

Alhamdulillah, Saya masuk belajar ke KUIS. Yuran PTPTN cukup untuk yuran pengajian sahaja selebihnya saya perlu usahakan. Abah dan mak ada beri duit, tetapi duit itu ku simpan dan jarang sekali menggunakannya apatah lagi meminta. Bahkan sepanjang 4 tahun di KUIS saya bekerja sambilan dan rajin ke program motivasi bagi membantu abah dan mak dalam kos pengajian. Kerana saya sedar!

Dulu saya sekolah menengah "aliran agama" tetapi ia hanya aliran saja kerana ada beberapa subjek agama seperti Bahasa Arab, Syariah Islamiyyah, Usuluddin dan Tasawwur Islam. Bila masuk ke KUIS saya mohon Dip. Information Technology & Graphic, kerana minat dan pernah menjadi editor pereka grafik (masa di SMAKL). 

Selama sebulan jiwa saya mula resah, tak sedap hati. Banyak keraguan yang timbul dan persoalan - persoalan dengan "track" hidup yang saya pilih. Satu hari, saya mula berfikir "kenapa IT dan tidak pengajian Islam?" Dalam otak ketika itu berumur 19 tahun terlintas (Mungkin Allah nak aku belajar agama kot, aduhhh..jiwa kacau) Remaja Beb!

Saya berjumpa dengan DEKAN Fakulti, dan ingin menukar kos. Tegas Ustazah Ainan memberi kesedaran yang tinggi pada saya untuk tidak membuang masa belajar dan membazir duit. Hati saya berat sekali, ada juga orang bercakap "kalau ambil pengajian Islam ni dapat kerja ke?"
Jaulah Masjid Hasan Thani, Casablanca Morocco (2007)

Selama 6 semester dan 1 semester pendek, alhamdulilah saya berjaya melakukannya. Segalanya dengan bantuan Allah Taala, doa abah dan mak, keluarga dan rakan - rakan. Tidak pernah miss "Anugerah Dekan" selama 3 tahun pengajian Diploma di KUIS. Tidak disangka saya terpilih ke bumi Maghribi (Morocco) belajar bahasa Arab selama sebulan pada 2007. Itulah hadiah dari Allah yang paling indah dalam hidup saya. "I miss it so much".

Dan dari itu saya sedari, Allah lah yang memberi cahaya kesedaran dalam diri ini. Apabila kita tidak nampak jalan, Allah melorongkan cahaya ke dalam hati hambaNya menuju jalan kejayaan.


Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Saujana Melawati, Kuala Lumpur


Isnin, 8 Disember 2014

Jejak Tamadun Islam & Kembali

By : Selimutsura

Dengan Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

Lama sudah tidak menulis, ada lebih 3 bulan. Kesibukan pun tidak, separa sibuk dengan program, dakwah, nasyid dan keluarga. Anakanda Najmi Yusuf pun kini sudah berumur 6 bulan lebih, pembesaran pesat Najmi sangat mengujakan. Alhamdulillah.

Najmi sudah pandai merangkak kecil, memaut tangan, menanduk kepala, dan senang cerita, serba - serbi berpotensi untuk lebih cepat berjalan. Ada orang kata, usia sekarang boleh diberi makan makanan penyek seperti bubur, kisaran buah dan sebagainya. Nanti dulu-lah, biar betul - betul saya dan isteri bersedia.

Mohon maaf, bagi yang sudi membaca blog saya ini. Kesuntukan waktu itu, adalah kelemahan saya yang menyusun jadual. Kali ini perkongsian-nya moga - moga lebih istiqamah, dan mantap berbanding zaman pra-universiti dan mahasiswa dulu.

Kini kampus saya adalah keluarga dan masyarakat.

Sejak akhir - akhir ini, saya bercenderung untuk mengkaji dan mengumpul sejarah Islam di Eropah. Secara umumnya, banyak sumber dan maklumat telah dijejak oleh para sejarawan atau muarrikhin (kenapa tidak sejarahwan),arkeologis, dan ahli akademik. 

Dan mengapa Eropah? Kenapa tidak di Asia Tenggara?

Saya berperibadi, sejarah wajib lebih telus dan jujur. 

Sejarah kita

Di negara yang saya cintai, bila sebut Melaka. Terpapar difikiran, surat khabar, iklan, dan media luas ini, rating tertinggi adalah Kota A'Famosa, Kota Portugis bukan Masjid Kampung Hulu, Kling dan Tengkera. Pengimarahan Kota Portugis (Penjajah, Pemusnah masjid dan surau) lebih hebat.

Adakah Kota A'Famosa dibina dari runtuhan Kota Melaka? Atau runtuhan masjid - masjid, surau dan musolla?

Itulah hakikat, Melaka Bandaraya Bersejarah.

Siapa tahu tentang Kota Lukut? Lukut kat mana tu..kalau kita tanya anak - anak Malaysia. Tak tauuu! Lukut di tepi gantang.

Kota Lukut, Bukit Raja, Port Dickson adalah kubu pertahanan, kubu ekonomi, kubu kemahsyuran Islam sebagai pusat pemerintahan Raja Jumaat ibn Raja Jaafar, seorang muslim berketurunan Melayu Bugis.

Senario Industri Hiburan Malaysia

Masa kecil saya lebih kenal, Doraemon, Son Goku, Suria Baja Hitam, Ultraman Cicak, Maskman, Cybercop dan Usop Sontorian. Melangup depan TV merah tengok kuasa - kuasa yang ada pada mereka. Kelakar! Habis musnah rumah dan bangunan. Upin Ipin, sedikit sebanyak meningkatkan daya kritis dan manfaat dunia kartun kanak - kanak, dan dewasa.

Doktrin ini wujud hingga kini. Sangat jarang kisah kartun hero kita seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Dol Said, Maharaja Lela, dan lain - lain.

Mungkin cerita rakyat orang putih, lebih syok berbanding filem dinegara kita yang tidak berimbang. Lawak hingga lagha (sia-sia), gengster hingga jahat itu hebat, cinta hingga bermaksiat, hantu pocong hingga khurafat.

Rosak akidah umat, rosak juga akhlak. Yang untung siapa? Yang kaya siapa?

Hiburan yang tidak berilmu, di zaman teknologi bertamadun.


Sambung master

Isteri saya ada mengesyorkan supaya melanjutkan pengajian Master dalam bidang sejarah dan peradaban. InshaAllah, jawapan ringkas dan padat.

Tidak mudah, bila sudah bekerjaya untuk terjun semula ke dunia kampus. Banyak faktor strategi perlu distruktur semula memandangkan Ijazah Sarjana Muda dulu pun pengajian jarak jauh.

Masa, tenaga dan wang ringgit itu semua kurniaan dari Allah Taala, kita perlu bijak memanfaatkannya. Najmi Yusuf pun sedang membesar, saya banyak memberi masa dan ruang untuknya, malahan isteri juga seorang pendidik.

Sejarah adalah pelajaran umat, bukan mengimbau atau mengenang. Tetapi belajar dan ambil pengajaran darinya. Mengapa? Kenapa? Bagaimana? Siapa? Bila?

Sejarah pupus, kerana kita yang tidak endah. Bangunnya sejarah, membina tamadun dari strategis dan bijaksana orang dahulu. Jatuhnya tamadun pula dari ketamakan dan kepentingan duniawi orang terdahulu.

Kita ini mewarisi tamadun dari sejarah masa silam.

Jejak Tamadun Islam | Al-Andalus


Tahu atau tidak, bumi Sepanyol, Portugal, Perancis, dan Kepulauan Lautan Balerik pernah menjadi pusat tamadun Islam terkuat di Eropah. Pintu Islam ke Eropah terawal adalah melalui Selat Gibraltar, dan bahagian selatan Sepanyol. Wilayah Islam yang bertapak selama 780 tahun dan dikenali sebagai Balad al-Andalus. Dari sinilah, Islam mula tersebar luas hingga ke kawasan jajahan Kristian ke Eropah melalui beberapa faktor:

1- Jihad perang 
2- Perdagangan (berkumpulan/individu)
3- Perkahwinan (Raja/Rakyat)
4- Akademik (Para ilmuan/Penterjemah)
5- Hiburan Islami (Syair/adat setempat)
6- Hubungan diplomatik (pemerintah/pengembara)

Ini baru mukaddimah.

Sebelum Panglima Tariq Ibnu Ziyad & Musa Ibn Nusayr (Gabenor Afrika Utara) bersama seangkatan tentera Umayyah menyeberangi selat Gibraltar sebagai misi jihad besar - besaran pada 711 (m). Mereka telah menghantar seorang perisik bernama Tarif Ibnu Malik dan anak buahnya untuk memantau pergerakan musuh di negara Visigoth (nama sebelum Andalus) yang mendarat di pantai Tarifa, Sepanyol.

Nama Gibraltar berasal dari nama Jabal Tariq, dan Bandar Tarifa pula dari nama Tarif Ibnu Malik.

Saya bagi hint sikit, Islam pada zaman ini berjaya menguasai lebih 90% Sepanyol dan Portugal hanya selama kurang 5 tahun ekpedisi jihad mereka.


Sejarah tetap tinggal sejarah. Lebih dalam lagi, saya mahu mengoreksi emas - emas kegemilangan Islam di Andalusia. Setidak - tidaknya kita dapat belajar dari sejarah (ibrah) yang pelbagai, sebagai salah satu sumber pendidikan jiwa, dan mental.

Anak - anak yang menghargai sejarah, belajar darinya, menimbulkan kesan dan prihatin, untuk bekal saya, isteri, anak - anak, dan keluarga menuju akhirat. Saya tidak tahu bagaimana perkaitannya tetapi di dalam al-Quran dan hadis banyak cerita - cerita sejarah yang Allah streaming-kan secara langsung,  tentang Para Anbiya' dan Auliya', para solehin, Firaun, dan para pendusta agama, para pemerintah yang adil dan zalim, dan kisah terdahulu.
Semoga Allah memberi kefahaman, dan keberkatan. Amin.

Terima kasih sudi bertamu.




Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Setapak, Kuala Lumpur

Isnin, 9 September 2013

Cinta Menuju Syurga

By : Selimutsura

Malam sebelum akad

Boleh dikatakan menarik untuk diceritakan, konflik malam sebelum akad nikah berlaku. Semuanya berjalan dengan aturan Allah Taala. Abah, Mak, Kaklong dan abg ipar, dan adik beradik bergerak dari Serendah, Rawang. Majlis akad akan diadakan selepas solat isyak. Kami sebenarnya sudah kelewatan, kerana menunggu rombongan abah dan mak untuk sampai ke Keramat, Kuala Lumpur.

Kelewatan itu berlaku, kerana berlaku kemalangan lori terbalik di jalan Ulu Yam. Kereta yang dipandu abg ipar terpaksa berpatah balik kerana jalan yang dilalui terpaksa ditutup selepas separuh perjalanan. Alternatif, dengan menggunakan laluan ke Bukit Beruntung dan ke highway plus.

Saya bersiap awal di Keramat bersama 4 beradik yang lain menunggu kereta dari Rawang. Jam sudah menunjuk jam 9.15 malam kami masih belum bergerak, barang - barang hantaran belum disentuh untuk diangkat. Dalam hati kecil hanya Allah yang tahu. Perancangan awal, berkonvoi dari Keramat ke Setapak sebelum isyak, saya pun menjenguk jiran - jiran untuk mengikuti bersama ke Masjid Sri Rampai. Semua rumah gelap tiada orang.

Lalu, saya dan 3 beradik bergegas dengan sebuah produa viva ditemani Pk Suhaimi, sebuah wira dengan bantuan adik kawan untuk membawa barang hantaran ke sana. Saya memandu secepat mungkin, rasa seram sejuk kerana sudah lambat. Sampai di Masjid kelihatan ramai orang sedang menunggu di bilik akad nikah. Keluarga saya,masih belum sampai. Dulang hantaran saya angkat sendiri, dibantu adik - adik yang lain. 

Kami hanya 6 orang saja. Semua yang hadir menunggu, keluarga besar bakal biras dan mertua, rakan - rakan kelas sekitar 100 orang.

Alhamdulillah, abah dan mak sampai 15 minit kemudian. Sebelum betul - betul akad nikah dilafazkan. Bahkan, jiran - jiran yang tidak ada dirumah tadi rupanya sudah sampai lebih awal sebelum isyak.

Begitulah kisahnya. Perancangan itu baik dari Allah s.w.t.


Ketika Cinta Bertasbih

Saat nama disebut, "Muhammad Muzzammil Musbah....." oleh Imam Nizam, selaku jurunikah malam yang girang bertukar sunyi seketika, kerana tiada sambutan menyahut nama tersebut selama 5 saat. Di kiri meja nikah, sepasang pengantin sudah selamat diijab qabulkan, sepasang lagi masih berdebar-debar menanti lafaz suci seorang lelaki.

5 saat, terkedu tanpa jawapan "ya" bagi Imam mengesahkan kehadiran pengantin lelaki. 5 saat kemudian baru saya menyahutnya. Semua yang hadir tersenyum, ada juga yang tertawa melihat hangatnya malam akad nikah itu berlangsung.

Detik 17 syawal 1434H, jam 10.00 malam di Masjid Abu Ubaidah al-Jarrah, Sri Rampai. Imam Nizam mengulang bacaan pengesahan nama pengantin sekali lagi, kali ini saya menyahutnya berturutan. Imam memulakan dengan istighfar dan saya mengikutinya, lafaz ijab dan qabul pun berkumandang disaksikan kerabat keluarga, jiran dan sahabat yang hadir.

"Saya terima nikahnya Hamizah binti Ahmad dengan mas kahwinnya 1 Dinar emas bernilai 712 ringgit tunai"

Akad itu menjadi saksi pengesahan rasmi kami sebagai suami isteri. Bukan itu saja, tetapi sebagai pengesahan cop HALAL di sisi Allah Taala kerana mengikut syariat Nabi Muhammad s.a.w.

Selesai bacaan taklik. Alhamdulillah sujud syukur pada Allah Taala memberi kemudahan dan hikmah di malam akad nikah itu. Saya membacakan beberapa potong ayat al-Quran dari surah ar-Rahman dan doa kebaikan buat diri dan isteri memohon keberkatan dan keredhaanNYA di dalam melayari kehidupan "husband and wife". InshaAllah.

Cincin cinta disarungkan, sentuhan halal yang mengundang pahala dan ganjaran disisi Allah Taala. Kami saling berpandangan, berbalas senyuman kesyukuran, bermulalah kisah cinta selepas nikah.

Cinta Selepas Nikah

Pernikahan itu ibadah, sebab itu bercinta selepas nikah menjadi ibadah. Ibadah yang berlandaskan syariat yang betul mengundang barakah, rahmah dan maghfirah. Kita saling memaafkan, saling bergurau senda, saling bekerjasama, sekalipun dengan saling bermain mata dengan pasangan sendiri. 

Dengan saling - menyaling di atas membuahkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Memang berbeza kehidupan zaman bujang dengan zaman berumahtangga. Jika dulunya berjalan seorang, kali ini berdua-duaan. Menu dan selera pun berubah, dulu megi sekarang nasi berlauk - lauk. Jika dulu mengemas katil sendiri, kali ini mengemas katil bersama isteri, mengurangkan subsidi tenaga anda. 

Rumah kecil pun jadi luas, kerana aura bercinta selepas nikah membuka pintu kasih sayang yang hebat. Suami isteri selalu memberi inspirasi dan semangat, melalui kata - kata, senyuman, dan sebagainya. Diri sendiri termotivasi menjadi lebih kreatif dan kritis bagi memberikan layanan yang terbaik terutama dari sudut spiritual dan emosi.

Saya bahagia, dengan bercinta selepas nikah.

Doakan kami, pengantin baru. Bercinta hingga ke syurga.

Buat suami - suami, jadikan hari - hari adalah pengantin baru, bukan usia dan ego yang didahulukan tetapi iman dan cinta sunnah Rasulullah s.a.w sebagai model terbaik memimpin keluarga menuju redha Allah. Wallahua'lam.


"Jazakumullah khaira jaza kpd semua yang hadir, mohon maaf dipinta segala kekurangan, mohon doa dari kalian kebahagiaan dunia lebih-lebih di akhirat.

menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
SetapakPermai Kuala Lumpur|09 09 13

Rabu, 17 April 2013

Nama - Nama Makkah di dalam Al-Quran

By : Selimutsura

Bumi Makkah merupakan tanah tumpah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, dan titik awal bermulanya kisah pembinaan pusat peribadatan pertama di atas dunia iaitu Kaabah oleh Nabi Allah Ibrahim A.S dan Nabi Allah Ismail A.S. Kelebihan dan keistimewaan bumi Makkah ini seperti dalam firmanNya :

Sesungguhnya rumat ibadat yang mula-mula dibina manusia (beribadat kepada Tuhannya) adalah Bakkah (Makkah) yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi seluruh alam.

(Ali-Imran |96)

Sepertimana yang kita ketahui juga, pendudukan Makkah bermula dengan peristiwa bersejarah dalam diari Islam iaitu kisah Siti Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. Ujian getir yang mereka lalui sebagai pengajaran satu cubaan tahap keimanan yang berkualiti tinggi dan memerlukan daya kesabaran yang luar biasa. Saatnya mereka berdua ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim A.S, berkat ketaatan dan keimanan, terpancarlah air zam-zam sebagai tanda rahmat Allah Taala kepada hambaNya.

Apa yang terzahir dari ayat al-Quran di atas, memberi jawapan yang tepat bahawa Makkah atau Bakkah adalah tempat paling suci di muka bumi bahkan simbolik spiritual Tuhan yang satu kepada umat manusia seluruhnya. Secara saintifiknya, menurut ahli geologi terkemuka Prof. Dr Zaglul al-Najjar menyatakan kedudukan bumi Makkah berada di tengah-tengah pusat bumi, dan daratan yang pertama muncul dalam kejadian bumi selepas lautan adalah  bumi Makkah al-Mukarramah.

Kita lebih mengenali nama Makkah. Sebenarnya ada nama-nama lain yang terkandung di dalam al-Quran al-Karim. Sudah menjadi kemestian bagi kita umat Islam mengenali, mengkaji dan mencari malahan mencintai bumi Makkah selain Madinah, apatah lagi ia tempat kelahiran kekasih Allah, kekasih kita, kekasih alam semesta seluruhnya..Nabi Muhammad S.A.W.

Sepertimana Sabda Baginda S.A.W yang bermaksud :

"Demi Allah! Sesungguhnya engkau (Wahai Makkah) adalah bumi Allah yang paling baik dan bumi yang paling dicintai Allah. Sekiranya aku tidak dikeluarkan daripada engkau, pasti aku tidak akan keluar."

(Hadis Rw Imam Tirmizi)

Nama-nama Makkah di dalam al-Quran. Jom sama-sama kita kenal dan cintai =)

1. Makkah - Membawa maksud menghapuskan atau mengurangkan. 

Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang datang ke Makkah, disinilah tempat yang paling mustajab untuk penyucian jiwa menghapus sifat-sifat mazmumah dan diampunkan dosa-dosa yang lalu dengan amal ibadah yang dilakukan. Selain itu, Makkah adalah tempat menghalang daripada seseorang melakukan kezaliman.

"Dialah (Allah) yang menahan tangan-tangan mereka (yang musyrik daripada perbuatan buruk) terhadap kamu dan tangan kamu (daripada berbuat demikian) kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah DIA menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. (Ingatlah) Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan."

(al-Fath |24)

2. Bakkah - Membawa maksud memecah, mencarik, mengoyak dan menunduk.

Ada 4 pendapat mengenai nama Bakkah iaitu nama seluruh Tanah Haram, nama tapak Kaabah, nama Kaabah dan nama tempat di antara 2 bukit di sekeliling Kaabah.

Nama Bakkah seperti di surah Ali Imran (96).

3. Ummul Qura - Maksudnya perkampungan tua.

Kota ini merupakan kota yang paling tua di atas mukabumi semenjak zaman Nabi Adam A.S. Bahkan ia adalah kiblat bagi umat Islam hingga kini.


"Inilah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan yang mengandungi berkat (banyak faedah dan manfaat) lagi mengesahkan kebenaran (kitab-kitab lain) yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummul Qura (Makkah) serta orang yang tinggal disekelilingnya dan orang yang beriman pada hari akhirat, mereka beriman kepada al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara solatnya."

(al-An'am |92)

4. Al-Balad - Maksudnya negeri seperti di dalam surah al-Balad

"Aku bersumpah dengan negeri ini (Makkah)
"Sedangkan engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini.

5. Al-Balad al-Amin - Maksudnya negeri yang aman.

Imam Ibnu Jauzi menyatakan sesiapa yang berasa takut, pasti akan berasa aman berada di Makkah.

"Demi negeri ini yang aman (selamat)" - Surah at-Tin (3)

6. Al-Baldah - Maksudnya negeri.

"(Katakanlah duhai Muhammad) "Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri ini yang DIA haramkannya dan menguasai segala-galanya dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi daripada orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat padaNya)."

Surah an-Naml (91)

7. Haraman aamina - Maksudnya Tanah Haram yang aman.

"Mereka (kafir) itu berkata, kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu nescaya kami akan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (dari golongan menentang). Mengapakah mereka berkata (demikian)? Bukankah Kami sudah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian daripada Kami (Benar, Kami telah memberikan semua itu) tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur)"

Surah al-Qasas (57)

8. Waadin Ghairi Dzii Zar'in - Maksudnya lembah yang gersang.

Ini terlakar di dalam doa Nabi Ibrahim A.S dalam surah Ibrahim ayat 37.

"Ya Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak punyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur."

9. Ma'aad - Bermaksud tempat kembali.

Menurut Ibnu Abbas r.a apa-apa yang disebut tempat kembali merujuk kepada sirah kembalinya Rasulullah S.A.W ke Makkah dari Madinah setelah diusir oleh Kaum Musyrikin Makkah pada tahun 8 Hijrah.


"Sesungguhnya (Allah) yang mewajibkan engkau (Muhammad) untuk (melaksanakan hukum-hukum) al-Quran, benar-benar mengembalikanmu ke tempat kembali. Katakanlah (Wahai Muhammad) Tuhanku mengetahui orang yang membawa petunjuk dan orang yang berada dalam kesesatan yang nyata."

Surah al-Qasas (85)

10. Qaryah - Maksudnya negeri dan halaman

Imam Ibnu al-Jauzi menyatakan "negerimu" bermaksud Makkah.
"Bukan sedikit (penduduk) negeri-negeri yang lebih kuat, daripada (penduduk) negerimu (Wahai Muhammad) yang telah memaksamu keluar (berhijrah). Kami binasakan mereka, maka tiada sesiapapun yang dapat membela mereka."

Surah Muhammad (13)

11. Masjidil-Haram - Membawa maksud beberapa tempat iaitu Kaabah, Masjidilharam, Makkah dan seluruh tanah haram.


"Kami melihat wajahmu (Wahai Muhammad) sering mengadah ke langit, maka akan Kami pelingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang yang diberi kitab (Taurat dan Injil) tahu (pemindahan kiblat itu) adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak melengahkan terhadap apa yang mereka kerjakan."

Surah al-Baqarah (144)

Alhamdulillah, nama-nama Makkah sudah-pun kita ketahui. Mulai saat ini, marilah kita cintai apa yang Allah suka, dan apa yang Nabi S.A.W suka. Berdasarkan dalil-dalil ini membuktikan bahawa Makkah adalah bumi para anbiya', keberkatan dan keutamaannya lebih afdal disayangi. Sebagaimana yang disebut dalam sabda Baginda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda, Solat di masjidku ini (Masjid An-Nabawi) lebih baik daripada solat 1000 rakaat di masjid lain kecuali MasjidilHaram.


Rujukan : Ensiklopedia Makkah untuk Anak-Anak (Ummu Ammar)

Mudah-mudahan niat si penulis untuk menunaikan umrah atau haji Allah tunaikan amin, buat semua yang berhajat juga InshaAllah. =)

wallahua'lam, tegurlah saya ok je! =)

Selimutsura
18042013
DTK KERAMAT, PARLIMEN TITIWANGSA
Ini kalilah pilihanku~

Selasa, 16 April 2013

Kapsul Memandu ke Akhirat

By : Selimutsura
Di Tanah Perkuburan Tok Selehor, Tumpat Kelantan yg terkenal sbg tempat "berSULUK".

Segala pujian saya kembalikan kepada ALLAH Taala atas segala kebaikan dan ujian. Setinggi-tinggi kemuliaan ditujukan kepada junjungan terindah Nabi Muhammad s.a.wserta ahli keluarga dan para sahabat yang diredhai perjuangan mereka. Para alim ulama', mujtahid, dan pengikut-pengikut pewaris Nabi, dan saudara-saudari satu iman.

"Ya Hanana"


Ada sesuatu yang tersimpan, di lubuk kotak hati. Menimbang amalan ibadah "yang wajib dan sunat" dan "yang disuruh dan dilarang". Mampukah saya, meletakkan diri sebagai ahli syurga? Dengan sekadar rasa, tubuh ini..banyak berbuat amal, banyak berkata baik, pergi kuliah dan ceramah, giat membuka lembaran al-Quran, memakai serban dan jubah, menggerakkan tasbih ditangan, kaki masjid, cerita yang "Islamik2 je"..dan bla-bla..

Saya terduduk.

Cukupkah dengan amal-amal tersebut "rasa-rasa itu, kita layak masuk syurga?"

Oh..mulianya saya? Menarik nafas lega..kononnya.

Astaghfirullah al-adzhimmmmmm....apakah? Istighfar-lah. Kiamat semakin hampir!

Rasa-rasa mahu title dipandang manusiawi. Mahu buat baik..tapi..

Kebiasaan situasi,
1.Seorang pemuda pergi ke Masjid dengan niat mahu dilihat baik oleh wanita.
2.Apabila seseorang menjadi imam solat, bacaan dipanjangkan dan dilagukan supaya menarik perhatian orang lain. Ini berbeza apabila dia solat bersendirian.
3.Seseorang yang memakai jubah dan serban bertujuan untuk dilihat sebagai alim dan kuat beribadat.


Jangan nak poyo sangat, rasa hebat dan sebagainya..segala amal kita, ibadat kita selain kerana Allah"seperti debu dan kotoran yang ditiup angin.." Pada pandangan Allah tiada satu harga-pun yang akan diterima, sia-sia belaka.


“ Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashgar(syirik kecil). Sahabat bertanya: “ Apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riya' 
(Hadis Riwayat Imam Ahmad).

” Siapa beramal kerana sum'ah(ingin didengari manusia) Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan kejelikannya. Siapa berbuat riak, maka Allah akan menampakkan sifat riaknya itu(di depan makhluk).” 

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Resolusinya, riak akan terhapus dengan adanya:

1. IKHLAS, niat kerana Allah semata.
2. Tidak mengungkit amal kebaikan.
3. Mengharap ganjaran daripada Allah, bukan bergantung pada makhluk.

Masihkah kita berangan-angan, sedangkan selautan dosa, berjuta butir kesalahan sepanjang usia, belum pasti apakah sudah diampunkan? dan diterima taubatnya?. Bahkan kita menganggap kejahatan itu biasa saja, lebih mengecewakan seronok pula. Ini menunjukkan kita menyokong perbuatan buruk itu.

1. Bila orang ke masjid dikatakan "...dah insaf ke? Dunia belum kiamat lagi."
2. "..Alhamdulillah saya baru balik umrah, tapi belum dapat hidayah nak tutup aurat." Yang peliknya lagi ada yang menyatakan.."Inilah diri saya yang sebenar, tak nak jadi HAJJAH hipokrit."
3. Perasan muda, masih lagha.."Walaupun dan jadi atuk dan nenek."

Satu imbasan pesanan Allahyarham Tn. Guru Hj. Ghazali Hasbullah sebut: 

"Kita ini sepertinya iri hati dengan orang kafir, dengan kekayaan, dengan pakaian, dengan hiburan, mahu macam mereka. Kita pula suka-suka tiru macam mereka, ...rasa-rasanya..macam iri hati pulak dengan orang kafir yang memang masuk neraka. Ini menunjukkan kita benar-benar nak masuk neraka."

Nauzubillah min dzalik.

Apakah kita sudah bersedia untuk dihukum oleh Allah di akhirat? Jasad ini dibakar hidup-hidup hingga lebur, bercantum semula dan berulang-ulang seksaan itu. Ya Allah, menggeletar badan saya. Bukan sehari di neraka, tetapi puluhan tahun barangkali beribu tahun. Masakan kita, meletakkan jari-jemari di api lilin pun belum tentu mampu bertahan dalam masa 30 saat "..aaa cer try..".

Apakah sebenarnya kita tahu apa itu NERAKA? Dalam citer omputih selalu sebut, "what the hell..." Kononnya, ayat itu menggambarkan sesuatu yang menghairankan, atau pelik dilakukan oleh perlakuan sekitarnya. 

Allah Taala berfirman surah Az-Zumar (9) yang bermaksud :


(Apakah kamu orang musyrik lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah, apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.

Golongon yang sihat akal adalah mereka yang tahu atas dasar kesedaran Iman. Dia mula-mulanya tahu dengan petunjuk hidayah, hidayah membentuk Iman di jiwa lalu menggerakkan akal melakukan perkara-perkara zahir.

1. Dia tahu azab Allah bagi orang syirik. "Mengambarkan neraka Allah itu seburuk-buruk tempat).
2. (Dia tahu Allah adalah Tuhan) Zahir dalam solat. "Berserah diri beribadah dengan rela"
3. Dia harap rahmat Allah. "Menginginkan kebaikan dunia dan akhirat dari Allah"

Inilah kompleks "Akal yang sihat." Pembinaan menuju jalan Ikhlas di dalam amal dan perbuatan. Memang bukan mudah, tapi tidak mustahil. Apa perlu kita lakukan? Dunia penuh dengan kesibukan, kepayahan dan merupakan tempat susah. Berbeza juga, sebahagian kita menjadikannya sebagai tempat seronok-seronok, selesa dan mewah.

Jika mahu mewah, pastikan kita sudah bersedia untuk lebih taat kepada Allah yang mengurniakan limpahan rezeki, dan lebih banyak berulang-alik ke masjid, lebih banyak keselesaan untuk beribadah, lebih berbuat kebaikan sebagai perutusan "Terima kasih yang banyak kepada Allah Taala."

"Dunia bukan tempat selesa, akhirat(syurga) adalah tempat berehat, tidak fikir pasal kerja, tiada hutang, tiada kesesakan lalu lintas, tiada fitnah dan cemuhan, tiada dengki dan iri hati, kampung terbaik untuk sama-sama kita pulang, menuai hasil amal di dunia."


Suatu hari, anak Imam Ahmad bin Hanbal iaitu Abdullah bin Ahmad bertanya kepada bapanya akan satu soalan:
“Wahai bapaku, bilakah masanya kita betul-betul boleh berehat?”

Sambil memandang lembut ke dalam mata anaknya, Imam Ahmad bin Hanbal dengan penuh hikmah dan tenang lalu menjawab soalan anaknya itu:

“Kita hanya betul-betul boleh berehat apabila kaki kita sudah melangkah masuk ke dalam Syurga.”



wallahua'lam, tegurlah saya ok je! =)

Selimutsura
11042013
DTK KERAMAT, PARLIMEN TITIWANGSA
Ini kalilah pilihanku~

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...