ilham Ma'mum

Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan

Isnin, 19 Mei 2014

Isteriku bukan orang gaji

By : Selimutsura


Layanlah isterimu seperti bidadari, bukan seperti orang gaji. Dan layanlah suamimu seperti raja sehari bukan seperti pakcik sekuriti.
Alhamdulillah, bagi yang menyedari.
Allah S.w.t mengangkat kemuliaan manusia disisiNya. Bahkan Nabi kita Nabi Muhammad S.a.w meletakkan satu aras yang sama bagi semua, dari sudut keadilan dan kesaksamaan.
Apatah lagi, orang – orang lelaki dan wanita yang beriman kepada Allah dan RasulNya yang paling taqwa itulah aras yang paling mulia. InshaAllah. 
Semak surah al-Hujurat ayat 13.
Kemuliaan atau “izzah” yang diberikan Allah S.w.t kepada semua umat manusiawi, tidak mengira latar belakang dan warna kulit di atas muka bumiNya. Umat manusia menghirup udara yang sama, mengecap nikmat atas apa yang diusahakan, dan menginginkan kehidupan yang harmoni.
Subhanallah, wa alhamdulillah
Islam memuliakan wanita, sehinggakan terdapat surah yang diberi nama an-Nisa’. Cuba teliti ayat 1 surah tersebut:
Maksudnya:
Wahai manusia! Bertakwalah kepada TuhanMu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan Allah menciptakan pasangannya dari dirinya; dan dari keduanya Allah memperkembangkanbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.
Perkahwinan adalah hadiah daripada Allah S.w.t bagi memenuhi fitrah hambaNya. Bagi kita umat Islam ia sebahagian sunnah Rasul, yang menjadi idaman pria dan pemudi samada yang mampu dan tidak mampu.
Saya bersyukur, telah berkahwin. Banyak yang boleh dipelajari. Kehidupan selepas perkahwinan adalah realiti yang sebenar.
Sebelum ini, hidup bujang memang berbeza. Kita tidak begtu serius dan mengambil kisah hal – hal tertentu. Makan pun belum tentu diurus dengan baik, apalagi baju dan seluar yang menimbun bak gunung kinabalu.
Masa bujang, makan megi pun tak kisah, asalkan perut kenyang. Kalau bab membasuh pakaian, baju yang direndam seminggu pun belum tentu dicuci. Terperap je bawah singki atau dalam bilik air.
Bila bab pergi jalan – jalan, bagi yang suka berjalan sama keluarga, baguslah. Pergi ramai – ramai dengan kawan – kawan jaga pergaulan, dan jalan sorang – sorang tu, nak menghilangkan kesibukan dan mencari ketenangan, alhamdulillah.
Berbeza pula bila kita sudah berkahwin. Ada isteri.
Sekarang saya berdua. InshaAllah bertiga – tiga ke kanan lurus!hihi Sebagai suami, kitalah ketua keluarga yang bertanggungjawab 110% kepada isteri dan anak – anak.
Bila berdua, acapkali memasak mahu bekerjasama. Aneka ragam chef boboy – chef girgurl bagi menentukan menu masakan pada masa itu. Mungkin sesetangah suami tidak biasa masuk ke dapur, nak pegang ikan, sotong, dan ayam pun geli. Apakah kita kenal sudip?
Nasihat saya, berikan sedikit masa 5 minit walaupun hanya menumbuk sambal cili. Itupun cukup menggembirakan hati si isteri. Seronokkkk, kenapa? Para suami kena cuba. InshaAllah bukan saja meringankan beban mereka, tetapi mereka akan berasa dihargai dan bukan seperti orang gaji.
Suami yang hebat bukan saja menjadi Imam solat, pembimbing ilmu dan agama. Bahkan suami yang hebat perlu masuk ke dapur, lipat kain, basuh pinggan dan sebagainya.
Saya bimbang jika percikan minyak panas terkena kulitnya, pisau tajam, potong cili dan bawang memedihkan tangan dan mata, tangan jadi kasar dan berparut. Tidak kasihankah para suami terhadap isteri anda? Mengemas rumah, barang yang kita sepahkan. Menyapu sampah, sampah yang kita buat. Membasuh pakain, yang kita kotorkan. Memasak dan membuat minuman, agar tidak megi dimakan.
Belum lagi, melayan kerenah kita dan anak – anak. Apatah lagi yang bekerjaya. Beban? Bukan beban tetapi kemuliaan sebagai seorang isteri.
MashaAllah, Tabarakallah.
Dialah yang melahirkan zuriat saya, selama 9 bulan lebih dikendong ke sana ke mari. Ke bilik, dapur, ruang tamu, laman rumah, tandas. Ke Giant, Tesco, Aeon, Mydin. Ke Masjid, surau, kuliah ilmu, dan kelas pengajian. Ke Pahang, Perak, Melaka dan Sekitar KL, ke mana saja.
Lihatlah, kesusahannya. Sedarlah, kepenatannya. Hargailah, pengorbanannya.
Itulah isteriku, dia bidadari bukan orang gaji. Wallahua’lam.
Just a simple me. Mr.Husband.
Rasulullah SAW berpesan: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang paling baik kepada ahli keluarganya”.
(riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Siapa lagi insan terbaik untuk dicontohi sebagai suami kalau tidak bukan Rasulullah S.a.w. Terima kasih tidak terhingga buatmu, Ms. Wife beloved. Lillahi Taala.
Petikan daripada blog saya www.ayyuhalmuzzammil.wordpress.com
Menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
SetapakPermai Kuala Lumpur

Isnin, 9 September 2013

Cinta Menuju Syurga

By : Selimutsura

Malam sebelum akad

Boleh dikatakan menarik untuk diceritakan, konflik malam sebelum akad nikah berlaku. Semuanya berjalan dengan aturan Allah Taala. Abah, Mak, Kaklong dan abg ipar, dan adik beradik bergerak dari Serendah, Rawang. Majlis akad akan diadakan selepas solat isyak. Kami sebenarnya sudah kelewatan, kerana menunggu rombongan abah dan mak untuk sampai ke Keramat, Kuala Lumpur.

Kelewatan itu berlaku, kerana berlaku kemalangan lori terbalik di jalan Ulu Yam. Kereta yang dipandu abg ipar terpaksa berpatah balik kerana jalan yang dilalui terpaksa ditutup selepas separuh perjalanan. Alternatif, dengan menggunakan laluan ke Bukit Beruntung dan ke highway plus.

Saya bersiap awal di Keramat bersama 4 beradik yang lain menunggu kereta dari Rawang. Jam sudah menunjuk jam 9.15 malam kami masih belum bergerak, barang - barang hantaran belum disentuh untuk diangkat. Dalam hati kecil hanya Allah yang tahu. Perancangan awal, berkonvoi dari Keramat ke Setapak sebelum isyak, saya pun menjenguk jiran - jiran untuk mengikuti bersama ke Masjid Sri Rampai. Semua rumah gelap tiada orang.

Lalu, saya dan 3 beradik bergegas dengan sebuah produa viva ditemani Pk Suhaimi, sebuah wira dengan bantuan adik kawan untuk membawa barang hantaran ke sana. Saya memandu secepat mungkin, rasa seram sejuk kerana sudah lambat. Sampai di Masjid kelihatan ramai orang sedang menunggu di bilik akad nikah. Keluarga saya,masih belum sampai. Dulang hantaran saya angkat sendiri, dibantu adik - adik yang lain. 

Kami hanya 6 orang saja. Semua yang hadir menunggu, keluarga besar bakal biras dan mertua, rakan - rakan kelas sekitar 100 orang.

Alhamdulillah, abah dan mak sampai 15 minit kemudian. Sebelum betul - betul akad nikah dilafazkan. Bahkan, jiran - jiran yang tidak ada dirumah tadi rupanya sudah sampai lebih awal sebelum isyak.

Begitulah kisahnya. Perancangan itu baik dari Allah s.w.t.


Ketika Cinta Bertasbih

Saat nama disebut, "Muhammad Muzzammil Musbah....." oleh Imam Nizam, selaku jurunikah malam yang girang bertukar sunyi seketika, kerana tiada sambutan menyahut nama tersebut selama 5 saat. Di kiri meja nikah, sepasang pengantin sudah selamat diijab qabulkan, sepasang lagi masih berdebar-debar menanti lafaz suci seorang lelaki.

5 saat, terkedu tanpa jawapan "ya" bagi Imam mengesahkan kehadiran pengantin lelaki. 5 saat kemudian baru saya menyahutnya. Semua yang hadir tersenyum, ada juga yang tertawa melihat hangatnya malam akad nikah itu berlangsung.

Detik 17 syawal 1434H, jam 10.00 malam di Masjid Abu Ubaidah al-Jarrah, Sri Rampai. Imam Nizam mengulang bacaan pengesahan nama pengantin sekali lagi, kali ini saya menyahutnya berturutan. Imam memulakan dengan istighfar dan saya mengikutinya, lafaz ijab dan qabul pun berkumandang disaksikan kerabat keluarga, jiran dan sahabat yang hadir.

"Saya terima nikahnya Hamizah binti Ahmad dengan mas kahwinnya 1 Dinar emas bernilai 712 ringgit tunai"

Akad itu menjadi saksi pengesahan rasmi kami sebagai suami isteri. Bukan itu saja, tetapi sebagai pengesahan cop HALAL di sisi Allah Taala kerana mengikut syariat Nabi Muhammad s.a.w.

Selesai bacaan taklik. Alhamdulillah sujud syukur pada Allah Taala memberi kemudahan dan hikmah di malam akad nikah itu. Saya membacakan beberapa potong ayat al-Quran dari surah ar-Rahman dan doa kebaikan buat diri dan isteri memohon keberkatan dan keredhaanNYA di dalam melayari kehidupan "husband and wife". InshaAllah.

Cincin cinta disarungkan, sentuhan halal yang mengundang pahala dan ganjaran disisi Allah Taala. Kami saling berpandangan, berbalas senyuman kesyukuran, bermulalah kisah cinta selepas nikah.

Cinta Selepas Nikah

Pernikahan itu ibadah, sebab itu bercinta selepas nikah menjadi ibadah. Ibadah yang berlandaskan syariat yang betul mengundang barakah, rahmah dan maghfirah. Kita saling memaafkan, saling bergurau senda, saling bekerjasama, sekalipun dengan saling bermain mata dengan pasangan sendiri. 

Dengan saling - menyaling di atas membuahkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Memang berbeza kehidupan zaman bujang dengan zaman berumahtangga. Jika dulunya berjalan seorang, kali ini berdua-duaan. Menu dan selera pun berubah, dulu megi sekarang nasi berlauk - lauk. Jika dulu mengemas katil sendiri, kali ini mengemas katil bersama isteri, mengurangkan subsidi tenaga anda. 

Rumah kecil pun jadi luas, kerana aura bercinta selepas nikah membuka pintu kasih sayang yang hebat. Suami isteri selalu memberi inspirasi dan semangat, melalui kata - kata, senyuman, dan sebagainya. Diri sendiri termotivasi menjadi lebih kreatif dan kritis bagi memberikan layanan yang terbaik terutama dari sudut spiritual dan emosi.

Saya bahagia, dengan bercinta selepas nikah.

Doakan kami, pengantin baru. Bercinta hingga ke syurga.

Buat suami - suami, jadikan hari - hari adalah pengantin baru, bukan usia dan ego yang didahulukan tetapi iman dan cinta sunnah Rasulullah s.a.w sebagai model terbaik memimpin keluarga menuju redha Allah. Wallahua'lam.


"Jazakumullah khaira jaza kpd semua yang hadir, mohon maaf dipinta segala kekurangan, mohon doa dari kalian kebahagiaan dunia lebih-lebih di akhirat.

menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
SetapakPermai Kuala Lumpur|09 09 13

Rabu, 19 Jun 2013

Pemuda Bertopi Mengkuang

By : Selimutsura

..glurp..glurp..glurp..

"Wah, puasnya!!! Terik sungguh, pekena se-das air sejuk memang lega." Pemuda berambut ikal itu bersandar di sebatang pohon kekabu diletakkan topi mengkuang dan di silang tangan ke belakangnya, mata pun dipejam..pohon kekabu itu lah satu-satunya tempat yang paling sesuai untuk berehat.. Ia menjadi medan para petani melelapkan mata, mengadu jerih, meluah rasa, hiba dan gembira.

Angin menghembus siulan, padi-padi menguning turut teruja mendendang puisi dan cinta pada Pencipta. Nyanyian beburung yang hinggap di pohon kekabu menjadikan suasana tidak keruan, cakap-cakap kecil beburung itu mengejutkan pemuda tersebut. Di dongakkan kepala ke atas terdapat sarang burung tempua. Bercicipan anak-anak burung yang kelaparan menunggu kepulangan ibunya.

"..Hebat, rumah kecil tapi bahagia, Allah bagi kau burung tempat tinggal di atas yang diperbuat dari ranting-ranting kayu sahaja, rumah kau burung tidaklah nampak kukuh kerana tergantung dan terdedah, namun kau ibu burung merasai ia cukup selamat dengan meninggalkan anak-anakmu di atas, dan anak-anak burung menunggu-nunggu kepulangan ibumu dengan sambutan, dan ibumu datang menghulurkan..begitulah kasih sayang, apatah lagi kasih sayang Allah Azza wa Jalla..yang Maha Luas dan Maha Hebat.."

Pemuda itu memakaikan topinya, dia mengambil cangkul dan beg sandang berisi botol air. Dia memandang semula ke atas, anak-anak burung tempua itu semakin bising kerana ibu burung telah sampai mendaratkan makanan ke mulut-mulut anaknya. Satu per satu makanan disua.

"..Aku diberi tempat tinggal yang lebih baik, namun aku lebih senang berada sini wahai burung, lebih tenang, lebih sejuk dan kalau pun suara bising itu datang dari alam ciptaan Allah..ini lebih ku sukai, kerana di sini banyak kasih sayang..

...aku berdiri, angin pun memberi kasih sayangnya, aku duduk..tanah pun memberikan kasih sayangnya, aku bersandar..kekabu memberikan kasih sayangnya, dan ketika aku haus..air ku teguk sepuas-puasnya itulah juga nikmat kasih sayang dari Allah S.w.t kepada setiap hamba, lebih hebat kepada sesiapa, benda, tumbuhan, haiwan, gunung, laut..semuanya."

Pemuda itu pun berlalu, berjalan pulang membawa sebungkus nasi dan botolnya. Dia anak yatim piatu..namun hatinya ada Allah S.w.t, memegang erat kasih sayangNya dengan perginya dua insan kesayangannya.

Kalau lah tiada angin, tegak kaku padi-padi tanpa lambaian.
Kalau lah tiada pohon kekabu, suara beburung pun tidak menjadi teman
Kalau lah tiada kasih sayang Allah Azza wa Jalla, tiadalah pemuda puas minum air, tiadalah kenyang anak-anak burung, tiadalah dan tiadalah..dan tiadalah..

Bagaimana Allah membahagi kasih sayangNya? Jangan kita fikirkan, apakah kita sudah membahagikan kasih sayang pada semua orang? Termasuk makhluk-makhluk Allah S.w.t yang lain.

Selamat mengundang kasih sayang Allah Taala dalam kehidupan, barulah kasih sayang yang lainnya datang. Wallahualam sekian.


merendah hati dibumi Allah
Selimutsura 
Kampung Dato' Keramat, KL
9 Syaaban/18 Jun 2013

Khamis, 6 Jun 2013

Aku Mencintaimu

By : Selimutsura



Aku mencintaimu
karna kau seumpama bintang
meski jauh kau tetap dekat

meski terkadang diam kau tetap bercahaya
jauh di relung jiwa

Aku mencintaimu, karna kau seperti Dian
yang menyala-nyala di dalam dada
menghangatkan jiwa
terus hidup dalam segala cuaca

Aku mencintaimu, karna aku harus mencintaimu
rukuk dan sujudku membuatku rindu

kukatakan padamu
Aku mencintaimu

yah…
Aku mencintaimu..
kau dengar itu..
Aku mencintaimu karna rukuk dan sujudmu pada Tuhanmu
Aku mencintaimu
karna kita… satu jiwa …yang padu

(Relung jiwa Ustaz Ilyaz membaca syair oleh Ayatul Husna KCB)

Jalan Ipoh. 07062013. 11.49 Pagi
Selimutsura
Menjadi hamba yg tinggi disisi DIA, menjadi rendah dibumi DIA.

Rabu, 5 Jun 2013

Bertemu Insan Agung - Rasulullah s.a.w

By : Selimutsura

Ya Rasulullah
Bila saja namamu disebut - sebut
Jantung ku menjadi hampa
Aku asyik menangis
Di mana boleh ku jumpa
Agar hatiku tenang
Istimewa benar yang mampu mengunjungimu
di Madinah, Kota Cahaya
Lebih bertuah, sahabat-sahabatmu
walaupun sekelumit melihat
Iras wajahmu yg mulia
Inikan pula, kini ku hanya menatap jejak
yang kau tinggalkan

Ya Rasulullah
Aku tidak pandai mengirim cinta
Tidak bisa mendengar kisah jerih mu
Walaupun hanya kisah Bilal dan cintanya
Menambah sebak

Di mana kan ku usir airmataku

Sedangkan ia sudah mencintaimu

Aku mahu jadi seperti mereka
Kuatnya jiwa mempertahankan mu
Kerasnya jasad sanggup diluka
Benak hati, menanggung sakit
Tak terubat dan tiada ubat
tetapi
Bila namamu berkumandang
Allah...hatiku sungguh sayu
tetapi aku malu
Cintaku tidak sehangat cintamu yg mulia

Ya Allah, kalau boleh ku mahu berpeluang bersama Rasulullah s.a.w
Walaupun mustahil orang seperti aku, mahu menatapnya yang mulia di dalam mimpi sekelip-pun.

Ku percaya

Benar-benar cinta itu, membawa pada apa yang dicinta
Nanti di syurga.
Amin.

*Tidak semua antara kita yang mampu membuat semua sunnah Rasul, kemampuan itu ialah apa yang kita usahakan untuk istiqamah, bukan melakukan banyak tetapi tidak konsisten, dan jangan anggap mencintai Nabi s.a.w hanya dengan beramai-ramai, bahkan duduk seorang diri sambil mengingati, dan airmata mengalir itu lebih mendalam pada jiwa, duduk berseorangan sendirian itu juga sunnah Rasulullah s.a.w. 

Sekadar kesedaran, dan kongsi apa yang terbuku. Saya bukanlah orang baik, tetapi mahu jadi baik..inshaAllah =)

05062013
Jam 11.19 mlm
KDK
Kampung Datuk Keramat

Selimutsura


Isnin, 3 Jun 2013

Di Belahan Jiwa

By : Selimutsura

Di Belahan Jiwa



Dengan namamu Ya ALLAH
Kubelai lafaz saktiku
Merelakan tirai cintaMu
 Mengisi ruang jiwaku

Kau hadirkan belahanku
Ternoktah di malakut Mahfuz
Rembulan sudah berteman
Yang tersurat lama tersirat

Dengan namamu Ya ALLAH
AgamaMu dipersada cintaku
Meraba sinar yang membisu
Terangnya jalan disuluh cemburu

Kau hadirkan sebelah jiwaku
Sebagai suri dan pembantu
Penyeri dan pengukuh cintaku
BuatMu dan Rasul

Di belahan jiwa
Ku titipkan dia



04062013 – 1.17 Pagi-Selimutsura 

Khamis, 23 Mei 2013

Hati Seluas Langit

By : Selimutsura

Bismillah..

Lama sudah tidak ku tulis diwarkah ini. Kalau ditinggalkan lama ia akan karam. Saat hati sudah mula rindu semula untuk menulis, banyak lontaran idea dan karya yang Allah Taala ilhamkan. Mudah - mudahan Allah memudahkan, dan meluaskan ilmu yang tersimpan agar tidak terus membeku menjadi ketulan ais, harap - harap ais itu akan mencair dibawah sinaran cahaya keimanan, inshaAllah.

Allah membukakan pintu - pintu rezeki yang luas. Seadanya pelbagai perkara datang dan pergi sebagai satu filem kehidupan. Ia berputar memainkan segala cerita, detik genting dan balik semula kembali reda. Ketetapan Allah mencakupi timbangan keadilanNya, Maha Mengetahui yang terang dan sesuatu yang tersembunyi di carta hati.

Subhanallah, bagaimana Allah Taala menciptakan makhluk yang bernama hati? Maksud saya bukan hati yang berbentuk itu, tetapi hati yang mempunyai rasa, tersentuh bila melalui fasa-fasa kehidupan. Bila dapat perkara yang seronok, hati pun tersenyum, berkenan katanya. Apabila terkena perkara yang sedih dan luka, hati juga akan menangis, merajuk. Allahuakbar..hebat sungguh Allah, tetapi hati yang menangis kerana merasai keseronokan beribadah kepada Allah itu, adalah satu tahap yang tinggi.

Masa yang diberikan Allah terlalu singkat, kita disibukkan dengan pelbagai perkara. Kadang-kadang hati ini merasa sempit, terhimpit. Saya takut menjadi benak dan lelah, sukar untuk menghela dan menghembus nafas. Sebagai muslim perlu tahu, kesukaran itu disusuli dengan kemudahan, Allah Taala bukan sengaja tetapi Dia tahu kemampuan makhlukNya, bagaimana seekor semut mengangkat bebanan 5 kali ganda lebih besar dari saiznya yang kecil?

Hati yang bersih mampu membawa sebesar manapun bebanan yang ditanggung. Waktu kita diuji Allah, diberi penghalang dan pelbagai masalah bukan Allah tidak mendengar rintihan dan permintaan tetapi itulah peringkat-peringkat kafarah, bagi melebur dosa-dosa yang berkunjung dihati. Hati putih, jasad perbuatan juga akan putih. Ini antara jalan penyucian hati untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Namun begitu, jangan kita sangka hanya dengan cara kesusahan dan kesukaran itu sahaja bentuk ujian. Kebaikan dan kesenangan juga merupakan ujian yang tidak nampak oleh mata kasar. Dengan mata hati yang bersih, orang-orang beriman sentiasa berhati-hati dengan pujian, pemberian dan buaian prasangka baik pada diri. Allah Taala menghadirkan solusi dengan membuang pakaian bangga diri dan riak, barulah hati benar-benar akan merasai halawatul-iman.

Alhamdulillah, begitulah serba ringkas yang mampu saya sisipkan sebentar diruang ini. Cinta saya pada penulisan blog ini masih beraja dihati.

Sekian kali, wassalam.

Malam Jumaat, 24hb Mei 13
Jam : 1.23pg

Selasa, 12 Mac 2013

MATA | Kamera DSLR Ciptaan Allah

By : Selimutsura

Saya terpandang seekor belalang yang hinggap di pintu cermin LRT Star. Sangat kecil dan halus, berwarna hijau muda keputih-putihan. Ketika itu saya berada di dalam tren sedang menuju ke stesen Pwtc manakala belalang itu di luar. 

Mata saya mula memfokuskan kepada belalang tersebut dengan jelas dari jarak yang dekat. Kelihatan Belalang yang sekecil biji beras itu mempunyai 3 pasang kaki iaitu 2 pasang kaki kecil dan sepasang kaki belakang lebih besar dan sayap. Semasa saya melihat, fokus mata pada belalang tersebut, 'background' atau pemandangan (yang jaraknya lebih jauh) kelihatan kabur dan kurang jelas.

Saya menukar sisi pandang dan fokus mata dari belalang ke pemandangan pula yang jaraknya lebih jauh (melalui pintu LRT bercermin).  Dan imej belalang itu pula yang menjadi kabur (blurr) manakala pemandangan tersebut begitu jelas.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Oh! Saya tersedar. Rupa-rupanya ALLAH Taala sudah lama dan mendahului penciptaan KAMERA@Camera, sebelum kamera foto wujud, malahan kamera semulajadi ciptaan ALLAH ini lebih canggih berbanding dengan camera DSLR, camera Digital, dan camera smartphone yang kita miliki. kerana saya juga peminat kamera hehe.

Saya begitu teruja. Subhanallah!!! KENAPA?

1# Kamera DSLR, mempunyai bahagian Lens Element, dimana ia memainkan peranan untuk mengambil imej lebih dekat dari jarak yang jauhMata juga adalah kamera yang boleh Zoom in dan Zoom Out, seperti yang saya ceritakan di atas. Mata kita boleh memfokuskan sekecil-kecil benda yang dapat dilihat dan sebesar-besar bentuk.Kalau anda perasan, kelopak mata kita akan mengecil bila melihat imej yang kecil, dan mata membulat besar melihat imej yang lebih besar.

dan Lens inilah antara 'bodypart' yang termahal dan penting.

2# Keduanya, Kamera DSLR mampu menangkap gambar objek dengan fokus (tertumpu pada satu benda sahaja) dan sekelilingnya objek itu menjadi kabur. Konsep ini banyak digunakan oleh para penggemar Kamera DSLR, mahupun secara digital lagi-lagi gambar pasangan pengantin dan ketika travel.

Begitu juga MATA kita, Subhanallah. Seperti kita melihat objek yang kecil, dan ketika saya melihat belalang yang hinggap di cermin kaca pintu LRT tadi, persekitaran kelilingnya menjadi 'blurr'. Konsep ini ada pada mata, yang ALLAH cipta.

3# Ketiganya, Mana-mana jenis kamera boleh merekod dan menyimpan gambar-gambar dan imej malahan video tentang sesuatu objek dalam memory card. Gambar lautan, manusia, haiwan dan bermacam-macam imej. Video pula merekod pergerakan tentang majlis keraian, ceramah dan sebagainya.

Mata juga mampu menyimpan dan merekodkan. Otak kita sebagai mesin menyimpan data-data, gambar, fail, video dan sebagainya. Bahkan memory card ciptaan ALLAH ini mampu menyimpan berjuta-juta Gb (Gigabyte) segala bentuk gambar dan video.

Oleh sebab itu, para huffaz mampu menyimpan data-data al-Quran di dalam memori terhebat ini. Melalui, snap! oleh kedua biji mata, imej itu akan terbit di retina lalu imej itu dibawa ke saraf-saraf otak untuk direkodkan dan disimpan. Bahkan memori kita akan menafsir dan membaca imej yang berjaya ditangkap. Sebab itu, kita boleh mengingati kembali nostalgia silam, kenangan manis dan sebagainya walaupun berpuluh-puluh tahun dahulu.

Yang memberi ingat itu ALLAH, dan yang memberi lupa juga ALLAH Taala. Sebab itu kita wajib mengingati ALLAH selalu, supaya kita tidak lupa meletakkan diri sebagai peminjam kamera ALLAH ini.

Bayangkan anda adalah sebuah kamera yang cantik dan canggih, akan tetapi LENS anda rosak dan tidak boleh menangkap imej? Lebih baik, menjadi kamera buruk yang mempunyai LENS yang elok.

4# Dan keempatnya, yang paling terbaik ialah mata adalah sebuah kamera yang terlalu canggih hingga mampu memberi kesan kepada perasaan dan emosi. Iman seseorang boleh meningkat, dan menambah kesan taat kepada ALLAH subhanahu wa Taala, apabila penglihatannya menembusi jasmaniah.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bila saya melihat, indahnya air terjun yang memercik, cantiknya lautan yang biru, indahnya gunung yang tinggi, indahnya unggas yang terbang bebas. Dan kamera ini boleh menangis.

Betapa Maha Hebatnya ALLAH, Subhana Rabbiyal Adzim.

Dan saya memerhatikan diri.

Saya membezakan antara saya dan pokok, saya dan gunung, saya dan air terjun. Mereka semua adalah makhluk Allah yang taat, ikut peraturan, tidak membantah sunnatullah. Malahan memberi khidmat kepada manusia, kepada makhluk-makhluk lain, kerana suruhan ALLAH ke atas mereka.

Tetapi, saya masih lalai menjadi hamba ALLAH yang taat dan tinggi cintanya. Muhasabah peribadi, luar dan dalam. Mengambil satu langkah untuk berubah.

Memberi khidmat sebagai HAMBA ALLAH, membantu hamba Allah yang lain.

Mata, kau adalah hamba ALLAH yang canggih yang banyak membantu hamba Allah yang lain. Pelihara ia InshaAllah, amanah.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

Khamis, 7 Mac 2013

Doa-doa dari Al-Quran untuk Ibu Ayah


By : Selimutsura

Segeralah Pulang


Ayat-ayat cinta yang menyentuh tentang kemuliaan Ibu dan Ayah :

1. Sebuah titipan doa yang diajar Allah Taala kepada Nabi Nuh Alaihissalam.


{Ya Tuhanku, ampunilah daku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kehancuran}

[Nuh | 28]
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
2. Doa Nabi Sulaiman Alaihissalam, memohon kebaikan kepada kedua orang tuanya :

{Maka dia (Sulaiman a.s) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa : "Ya Tuhanku, anugerahkanlah daku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua orang tuaku dan agar daku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai, dan masuklah daku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.}

[An-Naml | 19]
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

3. Doa tatacara memuliakan Ibu Bapa di dalam al-Quran : AL-Isra (23-24)
{Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sesekali jangan engkau mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah engkau membentak mereka, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.}

{Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah : Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik daku pada waktu kecil.}

[Al-Isra | 24]
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
4. Kesusahan ibu dan Ayah membesarkan anak-anaknya. Doa kebaikan dan kesejahteraan.

{Dan kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah. Masa mengandung sampai menyapihnya selama 30 bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun dia berdoa : Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku,  dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai, dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sungguh aku bertaubat kepada-Mu dan sungguh aku termasuk orang muslim.}

[al-Ahqaf | 15]
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

(^^) Love always MAK ABAH huhu

Jumaat, 22 Februari 2013

Bersediakah Menjadi Suami?

By : Selimutsura


Eimam Umair menuruni tangga rumah lalu mencuit Ibunya yang sedang memasak tumis sambal bilis.

"Ibu..Eimam ada perkara nak bincang ni." Sambil senyum ala-ala Mak Limah balik rumah.

"Kenapa dengan Eimam, lain macam je Ibu tengok. Ibu tengah masak ni." Urat dahi Si Ibu berlipat tiga melihat aksi anak bujang persis anak dara dipingit kumbang.

"Malu nak cerita laa.." Anaknya sekejap menggaru-garukan kepala, sekejap pula memegang senduk, bingkas duduk di meja makan yang penuh dengan sayur-sayuran dan rempah. Lalu dicapainya pisau dan memotong-motong kecil cebisan sayur yang tertinggal.

"Eimam ni kenapa? Serabut Ibu nengoknyer..ceciter kat Ibu. Eimam jatuh cinta ehh? Dengan sape?" Celah Ibu sengaja mengenakan soalan itu sementara menunggu sambal bilisnya masak.

Eimam tersengih, seperti kera dapat bunga. Gigi susu jelas kelihatan.

"Eimam naak kaaaaa...ripap! Eh..bukan-bukan.hehe" Telatah Eimam tidak dapat menipu Ibunya. "Nak kaaa..wen kan?" Balas Ibu Zahrah cepat-cepat. Dia pun menganggukkan kepalanya tetapi agak lambat. Tersipu-sipu.

"Ehmm..hehe." Merah padam wajah Eimam, mengalahkan orang perempuan. Itulah namanya bila dalam hati ada taman.

"Eimam dah bersediakah nak jadi suami, kerjaya ok? Kewangan ok? perbelanjaan kahwin? RM 30,000 tau."

Tiba-tiba dia termenung, duduk di kerusi berdekatan akuarium ikan emasnya.

Ibu Zahrah tersenyum seketika. Saat itu sambal tumis ikan bilis sudah masak. Lalu dia memulakan bicara pada anak bujangnya.

"Eimam..dengar ibu mahu kongsikan ini. Persediaan menjadi seorang suami bukanlah dengan memiliki sijil pengajian yang hebat, memiliki kerjaya tetap dengan gaji minimum RM 3000, sudah memiliki kereta dan rumah sendiri, termasuk perbelanjaan kahwin yang mencecah RM 30,000, 11 dulang hantaran serba satu, jemputan hingga ribuan orang, belanja  besar untuk majlis walimah atas alasan sekali seumur hidup. Bukan itu persediaan yang melayakkan kamu jadi suami."

"Tetapi kualiti yang diletakkan Islam bukanlah seperti di atas. Sukatan persedian itu terlalu sukar dicapai bagi orang-orang biasa seperti kita."

"Indahnya Islam, tidak mahu membebani kamu terutama bab material. Walaupun maharnya adalah sepotong ayat al-Quran. Bukan maksud Ibu, harta itu tidak penting tetapi jadilah lelaki yang bersedia walaupun cuma sepotong ayat al-Quran..kerana pernikahan itu ibadah, semestinya lelaki itu bagaimana?"

"Kerana kebiasaan lelaki yang bersedia "EVER-READY" itu mampu mengindahkan rumah tangganya, dengan rezeki yang halal dan berkat, keperluan asasnya cukup, kasih sayang dan didikan yang menguatkan ikatan selepas perkahwinan itu."

Pada Ibu, lelaki yang mahu menjadi suami harus mencontohi Nabi Muhammad s.a.w. Ketua para suami.

1. Bersedia memimpin, sebagai imam.

Allah berfirman: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan. 
[al-Nisa’ 4:34]

Mahu menjadi suami, Eimam mestilah bersedia menjadi pemimpin. Bakal suami seharusnya memiliki ilmu rumahtangga dan tinggi akhlak sebagai ikutan satu masa nanti. Bakal suami boleh lah mmperkembangkan daya kepimpinan melalui berpersatuan dan berorganisasi sebagai mempraktikkan daya kepimpinan. 

Namun begitu, kelebihan yang Allah beri bukanlah lesan untuk kita hanya memberi arahan, hanya pendapat kita saja yang bagus tetapi pemimpin yang bagus adalah yang adil sifatnya. Saling tolong-bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah..katanya tinggal serumah. Kerana isteri adalah Timbalan Kapten dalam bahtera rumahtangga. Suami yang ada sifat ini, sudah pasti nafkah tercukupi.

"Lindungi rumah anda dari kejahatan lanun!" hehe tergelak Eimam.

2. Bersifat tegas bukan baran.

Bukanlah namanya orang kuat jika bakal suami tidak mampu menahan marahnya. Bakal suami perlu tegas membimbing isteri dan anak, dengan cara hikmah. Bukan dengan paksaan atau kekerasan. Bak kata pepatah arab, "air yang lembut sentiasa mengalir mampu melekukkan batu yang keras." Oleh itu bakal suami perlu banyak bersabar, sebaik-baik lelaki adalah baik kepada ahli keluarganya.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى.

Maksudnya: “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah Sallallau ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” 
(Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Ash Shahihah (no. 285)


3. Pemaaf dan toleransi.

Persediaan lain yang bakal suami perlu bersedia adalah sifat pemaaf. Ini sangat sukar bagi kebanyakan orang lelaki, kerana memang Allah Taala sudah tahu lelaki ini kuat egoisnya kecuali Rasulullah s.a.w. Seharusnya suami, menjadi orang yang adil di dalam rumahtangga. Bertukar-tukar pandangan dengan isteri dan anak-anak. Tidak semestinya keputusan kita itu yang terbaik. Bila orang buat salah, maafkanlah itu yang terbaik.

"Kalau jadi macam HULK, tak dapat la nak nolongnyer.." Tawa Ibu Zahrah.

4. Pelindung ahli keluarga dari api neraka.

Ciri-ciri bakal suami mestilah menjadi "SUPER HERO" dalam rumahtangga. Menyelamatkan ahli keluarga daripada terjerumus kepada kejahatan dan kemaksiatan. Bakal suami perlu bersedia menanggung dosa ahli keluarga oleh itu ilmu-ilmu agama sangat penting, Allah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. 
[al-Tahrim 66:06]

"Barulah, Heroin Eimam nanti panggil...You're my super duper Hero!" Kata Ibunya pada Eimam tersenyum lebar mendengar bingkisan nasihat yang bermanfaat.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Jabir radhiyallau ‘anhuma bercerita bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3289)

"Haaa...macam tu la baru namanya bersedia. Namun bukan mudah nak kemudi bahtera rumahtangga ni Eimam, kejap2 kena serang dengan sotong gergasi, ada ombak dan badai yang besar, banyak terumbu karang dan anasir luar yang menduga.hehe 


Hati-hati, hanya hamba ALLAH yang beriman dan  benar-benar bertaqwa mampu memandu bahtera itu hingga ke syurga. Bercinta hingga ke syurga aminnnn..." Ibu Zahrah menamatkan lamunan Eimam, dari terus berangan-angan. 

Mulai itu, Eimam Umair membuat persediaan. Bukan hanya luaran sahaja, tetapi persediaan di lapisan dalaman.

InshaAllah!

Ini adalah perkongsian saya, banyak yang kurang mohon nasihat dari semua. Syukran!

Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.



Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...