ilham Ma'mum

Khamis, 23 Mei 2013

Hati Seluas Langit

By : Selimutsura

Bismillah..

Lama sudah tidak ku tulis diwarkah ini. Kalau ditinggalkan lama ia akan karam. Saat hati sudah mula rindu semula untuk menulis, banyak lontaran idea dan karya yang Allah Taala ilhamkan. Mudah - mudahan Allah memudahkan, dan meluaskan ilmu yang tersimpan agar tidak terus membeku menjadi ketulan ais, harap - harap ais itu akan mencair dibawah sinaran cahaya keimanan, inshaAllah.

Allah membukakan pintu - pintu rezeki yang luas. Seadanya pelbagai perkara datang dan pergi sebagai satu filem kehidupan. Ia berputar memainkan segala cerita, detik genting dan balik semula kembali reda. Ketetapan Allah mencakupi timbangan keadilanNya, Maha Mengetahui yang terang dan sesuatu yang tersembunyi di carta hati.

Subhanallah, bagaimana Allah Taala menciptakan makhluk yang bernama hati? Maksud saya bukan hati yang berbentuk itu, tetapi hati yang mempunyai rasa, tersentuh bila melalui fasa-fasa kehidupan. Bila dapat perkara yang seronok, hati pun tersenyum, berkenan katanya. Apabila terkena perkara yang sedih dan luka, hati juga akan menangis, merajuk. Allahuakbar..hebat sungguh Allah, tetapi hati yang menangis kerana merasai keseronokan beribadah kepada Allah itu, adalah satu tahap yang tinggi.

Masa yang diberikan Allah terlalu singkat, kita disibukkan dengan pelbagai perkara. Kadang-kadang hati ini merasa sempit, terhimpit. Saya takut menjadi benak dan lelah, sukar untuk menghela dan menghembus nafas. Sebagai muslim perlu tahu, kesukaran itu disusuli dengan kemudahan, Allah Taala bukan sengaja tetapi Dia tahu kemampuan makhlukNya, bagaimana seekor semut mengangkat bebanan 5 kali ganda lebih besar dari saiznya yang kecil?

Hati yang bersih mampu membawa sebesar manapun bebanan yang ditanggung. Waktu kita diuji Allah, diberi penghalang dan pelbagai masalah bukan Allah tidak mendengar rintihan dan permintaan tetapi itulah peringkat-peringkat kafarah, bagi melebur dosa-dosa yang berkunjung dihati. Hati putih, jasad perbuatan juga akan putih. Ini antara jalan penyucian hati untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Namun begitu, jangan kita sangka hanya dengan cara kesusahan dan kesukaran itu sahaja bentuk ujian. Kebaikan dan kesenangan juga merupakan ujian yang tidak nampak oleh mata kasar. Dengan mata hati yang bersih, orang-orang beriman sentiasa berhati-hati dengan pujian, pemberian dan buaian prasangka baik pada diri. Allah Taala menghadirkan solusi dengan membuang pakaian bangga diri dan riak, barulah hati benar-benar akan merasai halawatul-iman.

Alhamdulillah, begitulah serba ringkas yang mampu saya sisipkan sebentar diruang ini. Cinta saya pada penulisan blog ini masih beraja dihati.

Sekian kali, wassalam.

Malam Jumaat, 24hb Mei 13
Jam : 1.23pg

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...