By : Selimutsura
Malam sebelum akad
Boleh dikatakan menarik untuk diceritakan, konflik malam sebelum akad nikah berlaku. Semuanya berjalan dengan aturan Allah Taala. Abah, Mak, Kaklong dan abg ipar, dan adik beradik bergerak dari Serendah, Rawang. Majlis akad akan diadakan selepas solat isyak. Kami sebenarnya sudah kelewatan, kerana menunggu rombongan abah dan mak untuk sampai ke Keramat, Kuala Lumpur.
Kelewatan itu berlaku, kerana berlaku kemalangan lori terbalik di jalan Ulu Yam. Kereta yang dipandu abg ipar terpaksa berpatah balik kerana jalan yang dilalui terpaksa ditutup selepas separuh perjalanan. Alternatif, dengan menggunakan laluan ke Bukit Beruntung dan ke highway plus.
Saya bersiap awal di Keramat bersama 4 beradik yang lain menunggu kereta dari Rawang. Jam sudah menunjuk jam 9.15 malam kami masih belum bergerak, barang - barang hantaran belum disentuh untuk diangkat. Dalam hati kecil hanya Allah yang tahu. Perancangan awal, berkonvoi dari Keramat ke Setapak sebelum isyak, saya pun menjenguk jiran - jiran untuk mengikuti bersama ke Masjid Sri Rampai. Semua rumah gelap tiada orang.
Lalu, saya dan 3 beradik bergegas dengan sebuah produa viva ditemani Pk Suhaimi, sebuah wira dengan bantuan adik kawan untuk membawa barang hantaran ke sana. Saya memandu secepat mungkin, rasa seram sejuk kerana sudah lambat. Sampai di Masjid kelihatan ramai orang sedang menunggu di bilik akad nikah. Keluarga saya,masih belum sampai. Dulang hantaran saya angkat sendiri, dibantu adik - adik yang lain.
Kami hanya 6 orang saja. Semua yang hadir menunggu, keluarga besar bakal biras dan mertua, rakan - rakan kelas sekitar 100 orang.
Alhamdulillah, abah dan mak sampai 15 minit kemudian. Sebelum betul - betul akad nikah dilafazkan. Bahkan, jiran - jiran yang tidak ada dirumah tadi rupanya sudah sampai lebih awal sebelum isyak.
Begitulah kisahnya. Perancangan itu baik dari Allah s.w.t.
Ketika Cinta Bertasbih
Saat nama disebut, "Muhammad Muzzammil Musbah....." oleh Imam Nizam, selaku jurunikah malam yang girang bertukar sunyi seketika, kerana tiada sambutan menyahut nama tersebut selama 5 saat. Di kiri meja nikah, sepasang pengantin sudah selamat diijab qabulkan, sepasang lagi masih berdebar-debar menanti lafaz suci seorang lelaki.
5 saat, terkedu tanpa jawapan "ya" bagi Imam mengesahkan kehadiran pengantin lelaki. 5 saat kemudian baru saya menyahutnya. Semua yang hadir tersenyum, ada juga yang tertawa melihat hangatnya malam akad nikah itu berlangsung.
Detik 17 syawal 1434H, jam 10.00 malam di Masjid Abu Ubaidah al-Jarrah, Sri Rampai. Imam Nizam mengulang bacaan pengesahan nama pengantin sekali lagi, kali ini saya menyahutnya berturutan. Imam memulakan dengan istighfar dan saya mengikutinya, lafaz ijab dan qabul pun berkumandang disaksikan kerabat keluarga, jiran dan sahabat yang hadir.
"Saya terima nikahnya Hamizah binti Ahmad dengan mas kahwinnya 1 Dinar emas bernilai 712 ringgit tunai"
Akad itu menjadi saksi pengesahan rasmi kami sebagai suami isteri. Bukan itu saja, tetapi sebagai pengesahan cop HALAL di sisi Allah Taala kerana mengikut syariat Nabi Muhammad s.a.w.
Selesai bacaan taklik. Alhamdulillah sujud syukur pada Allah Taala memberi kemudahan dan hikmah di malam akad nikah itu. Saya membacakan beberapa potong ayat al-Quran dari surah ar-Rahman dan doa kebaikan buat diri dan isteri memohon keberkatan dan keredhaanNYA di dalam melayari kehidupan "husband and wife". InshaAllah.
Cincin cinta disarungkan, sentuhan halal yang mengundang pahala dan ganjaran disisi Allah Taala. Kami saling berpandangan, berbalas senyuman kesyukuran, bermulalah kisah cinta selepas nikah.
Cinta Selepas Nikah
Pernikahan itu ibadah, sebab itu bercinta selepas nikah menjadi ibadah. Ibadah yang berlandaskan syariat yang betul mengundang barakah, rahmah dan maghfirah. Kita saling memaafkan, saling bergurau senda, saling bekerjasama, sekalipun dengan saling bermain mata dengan pasangan sendiri.
Dengan saling - menyaling di atas membuahkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Memang berbeza kehidupan zaman bujang dengan zaman berumahtangga. Jika dulunya berjalan seorang, kali ini berdua-duaan. Menu dan selera pun berubah, dulu megi sekarang nasi berlauk - lauk. Jika dulu mengemas katil sendiri, kali ini mengemas katil bersama isteri, mengurangkan subsidi tenaga anda.
Rumah kecil pun jadi luas, kerana aura bercinta selepas nikah membuka pintu kasih sayang yang hebat. Suami isteri selalu memberi inspirasi dan semangat, melalui kata - kata, senyuman, dan sebagainya. Diri sendiri termotivasi menjadi lebih kreatif dan kritis bagi memberikan layanan yang terbaik terutama dari sudut spiritual dan emosi.
Saya bahagia, dengan bercinta selepas nikah.
Doakan kami, pengantin baru. Bercinta hingga ke syurga.
Buat suami - suami, jadikan hari - hari adalah pengantin baru, bukan usia dan ego yang didahulukan tetapi iman dan cinta sunnah Rasulullah s.a.w sebagai model terbaik memimpin keluarga menuju redha Allah. Wallahua'lam.
"Jazakumullah khaira jaza kpd semua yang hadir, mohon maaf dipinta segala kekurangan, mohon doa dari kalian kebahagiaan dunia lebih-lebih di akhirat.
menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
SetapakPermai Kuala Lumpur|09 09 13
Barakallahulakuma..moga si dia kekal menjadi perhiasan terindahmu di dunia, dan ketua bidadarimu di syurga :)
BalasPadam