By : Abu Najmi al-Muzzammil
Berkunjung mesra Pn. Hjh Rohani Datuk Mohd Shahir (Pakar Kewangan) |
Terdetik kembali untuk sama bermuhasabah (saya), pengisian hidup sewaktu awal remaja terutama apabila menamatkan zaman sekolah menengah. Pada ketika itu, berat saya 50 kilo dan ukur lilitan pinggang sekitar saiz 27 (Susah nak dapat balik saiz tu). Kawan - kawan ibarat doktor dan pakar bagi saya, meminta pendapat dan berkongsi cerita. Gelak tawa dan tangis di alam persekolahan.
Tamat zaman sekolah, masing - masing berjauhan dengan tujuan hidup masing - masing. Yang mendapat keputusan "Mumtaz" atau "straight A's" berpeluang menyambungkan pengajian ke universiti terkemuka luar dan dalam negara. Namun saya, kurang usaha dan banyak main setakat menunggu rayuan IPTA ketika itu. Ini saya sedar!
Apabila ramai rakan - rakan sudahpun belajar dan berjaya mencapai impian ke universiti, saya masih di pasaraya KLCC sebagai promoter baju Hob Nob (2005). Keputusan SPM tidak membantu saya untuk melanjutkan pelajaran ke IPT awam. Daripada saya terus menunggu rayuan yang telah ditolak akhirnya, saya mengambil keputusan "orang muda" bekerja membantu ahli keluarga. Kerana sedar diri!
Adik - beradik 8 orang dan saya anak ke 2, sangat mencabar. Bagi membantu abah dan mak saya bekerja selama setahun. Banyak pengalaman dan motivasi diri terdidik, kerana bukan mudah bagi saya yang gagal memberi kegembiraan kepada kedua orang tua akan keputusan peperiksaan yang tidak berapa cantik. Namun abah dan mak tidak pernah kecewa kerana mereka tahu keupayaan saya. Abah mak orang yang sedar!
Abah sebagai kerani, emak pula menjual kuih donut, pau sambal, dan pau kukus (Rindunya kuih muih emak). Saya tahu abah susah, dan emak bersusah - payah. Harga kesusahan mereka (dalam fikiran saya remaja umur 18 tahun) perlu dibayar dengan "result" SPM yang bagus. Namun itu tidak berlaku, di samping kawan - kawan seronok dalam kejayaan. Saya hanya menerima kalung tangisan sendiri.
Selepas setahun, oleh kerana orang tua saya tidak mahu melihat saya ketinggalan mereka meminta saya sambung pengajian. Otak remaja saya berfikir "Mana nak dapat duit? Yuran, makan, buku lagi." Terpang - pang iklan PTPTN kan ada! Untuk masuk belajar saya perlu ada sumber kewangan. Saya pun menjual "Dadih" di depan rumah dan area masjid di Damansara. Kerana saya sedar!
Alhamdulillah, Saya masuk belajar ke KUIS. Yuran PTPTN cukup untuk yuran pengajian sahaja selebihnya saya perlu usahakan. Abah dan mak ada beri duit, tetapi duit itu ku simpan dan jarang sekali menggunakannya apatah lagi meminta. Bahkan sepanjang 4 tahun di KUIS saya bekerja sambilan dan rajin ke program motivasi bagi membantu abah dan mak dalam kos pengajian. Kerana saya sedar!
Dulu saya sekolah menengah "aliran agama" tetapi ia hanya aliran saja kerana ada beberapa subjek agama seperti Bahasa Arab, Syariah Islamiyyah, Usuluddin dan Tasawwur Islam. Bila masuk ke KUIS saya mohon Dip. Information Technology & Graphic, kerana minat dan pernah menjadi editor pereka grafik (masa di SMAKL).
Selama sebulan jiwa saya mula resah, tak sedap hati. Banyak keraguan yang timbul dan persoalan - persoalan dengan "track" hidup yang saya pilih. Satu hari, saya mula berfikir "kenapa IT dan tidak pengajian Islam?" Dalam otak ketika itu berumur 19 tahun terlintas (Mungkin Allah nak aku belajar agama kot, aduhhh..jiwa kacau) Remaja Beb!
Saya berjumpa dengan DEKAN Fakulti, dan ingin menukar kos. Tegas Ustazah Ainan memberi kesedaran yang tinggi pada saya untuk tidak membuang masa belajar dan membazir duit. Hati saya berat sekali, ada juga orang bercakap "kalau ambil pengajian Islam ni dapat kerja ke?"
Selama 6 semester dan 1 semester pendek, alhamdulilah saya berjaya melakukannya. Segalanya dengan bantuan Allah Taala, doa abah dan mak, keluarga dan rakan - rakan. Tidak pernah miss "Anugerah Dekan" selama 3 tahun pengajian Diploma di KUIS. Tidak disangka saya terpilih ke bumi Maghribi (Morocco) belajar bahasa Arab selama sebulan pada 2007. Itulah hadiah dari Allah yang paling indah dalam hidup saya. "I miss it so much".
Dan dari itu saya sedari, Allah lah yang memberi cahaya kesedaran dalam diri ini. Apabila kita tidak nampak jalan, Allah melorongkan cahaya ke dalam hati hambaNya menuju jalan kejayaan.
Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Saujana Melawati, Kuala Lumpur
Saujana Melawati, Kuala Lumpur
Salam sahabatku/adindaku,
BalasPadamUjian Allah itu Maha Hebat ...anehnya setiap ujianNYA mengikut kemampuan seseorang itu.
Ujian Allah penuh dengan hikmah.
Cuma kita lah yang selalu leka dan gagal bermuhasabah diri .
Allah suka hambaNYA yang suka memohon ampunanNYA.
Catatan Mel paling tidak telah melapangkan kesempitan jiwa saya yang 30 tahun mendahului catatan hidup mu ini....
Tidak rugi saya berkongsi rasa...Terima kasih.