By : Selimutsura
Bumi Makkah merupakan tanah tumpah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, dan titik awal bermulanya kisah pembinaan pusat peribadatan pertama di atas dunia iaitu Kaabah oleh Nabi Allah Ibrahim A.S dan Nabi Allah Ismail A.S. Kelebihan dan keistimewaan bumi Makkah ini seperti dalam firmanNya :
Sesungguhnya rumat ibadat yang mula-mula dibina manusia (beribadat kepada Tuhannya) adalah Bakkah (Makkah) yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi seluruh alam.
(Ali-Imran |96)
Sepertimana yang kita ketahui juga, pendudukan Makkah bermula dengan peristiwa bersejarah dalam diari Islam iaitu kisah Siti Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. Ujian getir yang mereka lalui sebagai pengajaran satu cubaan tahap keimanan yang berkualiti tinggi dan memerlukan daya kesabaran yang luar biasa. Saatnya mereka berdua ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim A.S, berkat ketaatan dan keimanan, terpancarlah air zam-zam sebagai tanda rahmat Allah Taala kepada hambaNya.
Apa yang terzahir dari ayat al-Quran di atas, memberi jawapan yang tepat bahawa Makkah atau Bakkah adalah tempat paling suci di muka bumi bahkan simbolik spiritual Tuhan yang satu kepada umat manusia seluruhnya. Secara saintifiknya, menurut ahli geologi terkemuka Prof. Dr Zaglul al-Najjar menyatakan kedudukan bumi Makkah berada di tengah-tengah pusat bumi, dan daratan yang pertama muncul dalam kejadian bumi selepas lautan adalah bumi Makkah al-Mukarramah.
Kita lebih mengenali nama Makkah. Sebenarnya ada nama-nama lain yang terkandung di dalam al-Quran al-Karim. Sudah menjadi kemestian bagi kita umat Islam mengenali, mengkaji dan mencari malahan mencintai bumi Makkah selain Madinah, apatah lagi ia tempat kelahiran kekasih Allah, kekasih kita, kekasih alam semesta seluruhnya..Nabi Muhammad S.A.W.
Sepertimana Sabda Baginda S.A.W yang bermaksud :
"Demi Allah! Sesungguhnya engkau (Wahai Makkah) adalah bumi Allah yang paling baik dan bumi yang paling dicintai Allah. Sekiranya aku tidak dikeluarkan daripada engkau, pasti aku tidak akan keluar."
(Hadis Rw Imam Tirmizi)
Nama-nama Makkah di dalam al-Quran. Jom sama-sama kita kenal dan cintai =)
1. Makkah - Membawa maksud menghapuskan atau mengurangkan.
Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang datang ke Makkah, disinilah tempat yang paling mustajab untuk penyucian jiwa menghapus sifat-sifat mazmumah dan diampunkan dosa-dosa yang lalu dengan amal ibadah yang dilakukan. Selain itu, Makkah adalah tempat menghalang daripada seseorang melakukan kezaliman.
"Dialah (Allah) yang menahan tangan-tangan mereka (yang musyrik daripada perbuatan buruk) terhadap kamu dan tangan kamu (daripada berbuat demikian) kepada mereka di kawasan Makkah, sesudah DIA menjadikan kamu dapat menewaskan mereka. (Ingatlah) Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan."
(al-Fath |24)
2. Bakkah - Membawa maksud memecah, mencarik, mengoyak dan menunduk.
Ada 4 pendapat mengenai nama Bakkah iaitu nama seluruh Tanah Haram, nama tapak Kaabah, nama Kaabah dan nama tempat di antara 2 bukit di sekeliling Kaabah.
Nama Bakkah seperti di surah Ali Imran (96).
3. Ummul Qura - Maksudnya perkampungan tua.
Kota ini merupakan kota yang paling tua di atas mukabumi semenjak zaman Nabi Adam A.S. Bahkan ia adalah kiblat bagi umat Islam hingga kini.
"Inilah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan yang mengandungi berkat (banyak faedah dan manfaat) lagi mengesahkan kebenaran (kitab-kitab lain) yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummul Qura (Makkah) serta orang yang tinggal disekelilingnya dan orang yang beriman pada hari akhirat, mereka beriman kepada al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara solatnya."
(al-An'am |92)
4. Al-Balad - Maksudnya negeri seperti di dalam surah al-Balad
"Aku bersumpah dengan negeri ini (Makkah)
"Sedangkan engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini.
5. Al-Balad al-Amin - Maksudnya negeri yang aman.
Imam Ibnu Jauzi menyatakan sesiapa yang berasa takut, pasti akan berasa aman berada di Makkah.
"Demi negeri ini yang aman (selamat)" - Surah at-Tin (3)
6. Al-Baldah - Maksudnya negeri.
"(Katakanlah duhai Muhammad) "Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri ini yang DIA haramkannya dan menguasai segala-galanya dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi daripada orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat padaNya)."
Surah an-Naml (91)
7. Haraman aamina - Maksudnya Tanah Haram yang aman.
"Mereka (kafir) itu berkata, kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu nescaya kami akan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (dari golongan menentang). Mengapakah mereka berkata (demikian)? Bukankah Kami sudah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian daripada Kami (Benar, Kami telah memberikan semua itu) tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur)"
Surah al-Qasas (57)
8. Waadin Ghairi Dzii Zar'in - Maksudnya lembah yang gersang.
Ini terlakar di dalam doa Nabi Ibrahim A.S dalam surah Ibrahim ayat 37.
"Ya Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak punyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur."
9. Ma'aad - Bermaksud tempat kembali.
Menurut Ibnu Abbas r.a apa-apa yang disebut tempat kembali merujuk kepada sirah kembalinya Rasulullah S.A.W ke Makkah dari Madinah setelah diusir oleh Kaum Musyrikin Makkah pada tahun 8 Hijrah.
"Sesungguhnya (Allah) yang mewajibkan engkau (Muhammad) untuk (melaksanakan hukum-hukum) al-Quran, benar-benar mengembalikanmu ke tempat kembali. Katakanlah (Wahai Muhammad) Tuhanku mengetahui orang yang membawa petunjuk dan orang yang berada dalam kesesatan yang nyata."
Surah al-Qasas (85)
10. Qaryah - Maksudnya negeri dan halaman
Imam Ibnu al-Jauzi menyatakan "negerimu" bermaksud Makkah.
"Bukan sedikit (penduduk) negeri-negeri yang lebih kuat, daripada (penduduk) negerimu (Wahai Muhammad) yang telah memaksamu keluar (berhijrah). Kami binasakan mereka, maka tiada sesiapapun yang dapat membela mereka."
Surah Muhammad (13)
11. Masjidil-Haram - Membawa maksud beberapa tempat iaitu Kaabah, Masjidilharam, Makkah dan seluruh tanah haram.
"Kami melihat wajahmu (Wahai Muhammad) sering mengadah ke langit, maka akan Kami pelingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang yang diberi kitab (Taurat dan Injil) tahu (pemindahan kiblat itu) adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak melengahkan terhadap apa yang mereka kerjakan."
Surah al-Baqarah (144)
Alhamdulillah, nama-nama Makkah sudah-pun kita ketahui. Mulai saat ini, marilah kita cintai apa yang Allah suka, dan apa yang Nabi S.A.W suka. Berdasarkan dalil-dalil ini membuktikan bahawa Makkah adalah bumi para anbiya', keberkatan dan keutamaannya lebih afdal disayangi. Sebagaimana yang disebut dalam sabda Baginda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda, Solat di masjidku ini (Masjid An-Nabawi) lebih baik daripada solat 1000 rakaat di masjid lain kecuali MasjidilHaram.
Rujukan : Ensiklopedia Makkah untuk Anak-Anak (Ummu Ammar)
Mudah-mudahan niat si penulis untuk menunaikan umrah atau haji Allah tunaikan amin, buat semua yang berhajat juga InshaAllah. =)
wallahua'lam, tegurlah saya ok je! =)
Selimutsura
18042013
DTK KERAMAT, PARLIMEN TITIWANGSA
Ini kalilah pilihanku~