ilham Ma'mum

Isnin, 29 Julai 2013

Munsyideen. Tiada Noktah.

By : Selimutsura


Nasyid Karier Hiburan Dakwah Sepanjang Hayat

FB : Nasyid Munsyideen
Prinsip:
“Selagi nyawa berdenyut, terus berjuang hingga akhirNya, kerana keistimewaan itu semuanya di bawah ProgamisasiNya”

Pena Penulisan: Selimutsura
Lagu dan lirik hangat:
Kembara Hijrah (Dari Padang Pasir Gersang)

Kere-Aktifan Nasyid:
1999 – Nasyid Sekolah Kebangsaan Dato’ Keramat 2, Kuala Lumpur
2000 – Mula aktif nasyid di SMK Padang Tembak Kuala Lumpur bersama Faisal b.
Abdullah (X-FAR EAST) dengan nama kumpulan AN-NAJAH
2001 – Naib Johan Nasyid Maal Hijrah Zon Keramat
2002 – Johan Nasyid Karnival Anti-Dadah Peringkat Wilayah Persekutuan KL
            (ke peringkat Kebangsaan di Shah Alam, Selangor)
            Naib Johan Nasyid Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan KL
2003 – Berpindah ke SMAKL, aktif bersama SUARA SMAKL
            Mula aktif penulisan lirik dan penciptaan lagu nasyid seperti lagu;
-          Dari Padang Pasir Gersang (Kembara Hijrah)
-          Hujan
-          Ibu Ayah
-          Lihatlah Renunglah Fikirlah
            Johan Nasyid Karnival Anti Dadah Zon Sentul
2004 – Johan Nasyid Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan KL
            (ke peringkat Kebangsaan di Dewan Semarak Felda, KL)
2005 – Menubuhkan kumpulan nasyid “Padang Tembak Reunited” bersama
Faisal X-FarEast, Shaharuddin, Azri, Azizul (bekas pelajar SMKPT)
2006 – Mula aktif secara serius atas bimbingan Sdr. Fadzli Bakar (FarEast) dan Ito
Lara (Penulis lirik terkenal) mencadangkan nama Munsyideen.
Merakamkan lagu duet bersama FAR EAST lagu Habil dan Qabil (album
Halawatul Iman).
Naib Johan Pertandingan Nasyid Ulangtahun ke 5 IKIM.fm.
Ke-3 Pertandingan Nasyid MMU Convofest
Johan Marhaban di Astro (Zon Tengah)
Ke-3 Marhaban di Astro peringkat Kebangsaan
Artis Nasyid Baru Harapan (Nasyid Minggu Ini RTM tahun 2006)
2007 – Naib Johan Festival Nasyid Negeri Selangor (Kontemporari dan Tradisi)
2008 – Johan Nasyid Belia peringkat Wilayah Persekutuan (Kem. Belia & Sukan)
            Naib Johan Nasyid Belia peringkat Kebangsaan (Kem. Belia & Sukan)
2009 – Johan Nasyid Interkolej KUIS sempena Maal Hijrah
            Naib Johan ipta/ipts Nasyid Maal Hijrah 1430H Negeri Selangor
            Naib Johan Nasyid Belia Wilayah Persekutuan KL (Kem.Belia & Sukan)
2010 – Persembahan nasyid peringkat nasional Maal Hijrah (RTM 1) di Masjid
Putra, Putrajaya.
2011 – Persembahan nasyid di Riau Indonesia sempena Jalinan Ukhwah YADIM
dan Riau.
Persembahan sempena Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa di PWTC.
Persembahan sempena Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan, Masjid Negara.
2012 – Penampilan khas nasyid di rancangan Assalamualaikum TV AL-HIJRAH
(MUNSYIDEEN)
Persembahan di Ekspo Buku Islam , Perbadanan Putrajaya dan Kuantan.
Zikir Istighosah al-Kubro, Peringkat Wilayah Kuala Lumpur di Masjid Wilayah.
Merakamkan zikir - zikir Istighasah, pra pelancaran Jelajah Zikir Istighasah peringkat Kebangsaan.
2013 – MUNSYIDEEN terus aktif dalam bidang dakwah hiburan dan masyarakat.
Jelajah Zikir Istighasah al-Kubro SeMalaysia selama 11 hari peringkat Kebangsaan anjuran YADIM.

Karier Sepanjang Hayat

Syukur pada Allah, sirah keazaman Nabi Muhammad s.a.w, ahlul bait dan sahabiah r.a, para alim ulama’ yang telah pergi dan masih menanti.

Jutaan penghargaan kedua Mak Abah, adik – beradik memberi sokongan padu selama ini. Darah seni terus menerus diwarisi oleh adik – adik.

Cikgu nasyid SMK Padang Tembak KL yang banyak membantu, Ustazah Maimunah dan Cikgu Robiah Ghani. Dari sinilah bermula lakaran seni. Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar dan Ustaz Azhari (Nowseeheart) dengan perhatian semasa di SMAKL.

Geng – geng nasyid Munsyideen, abg Azizul, abg Azri dan Ustaz Wan Hakimin. Alumni Munsyideen Faisal Abdullah, Shaharuddin, Fadhil Abd Rahman, Usaid Access, Anuar UPM, Ajwadi Ahmad, Wan Sallehuddin@Pak Ngah tak putus – putus berkorban. Abg2 senior FAR EAST sdr. Ahmad Fadzli, Ustaz Nabil Ahmad, sdr. Azwan dan sdr. Shariman, X-FarEast sdr. Naim dan sdr. Anas Tahir berkat tunjuk ajar sekalian dan ukhwah. Yang disegani, sdr. Mohd Radzi Sulaiman@Ito Lara, kata – kata semangat dan percikan idea. Munsyid Malaysia istiqamah dalam perjuangan.

Tidak lupa, semua sahabat yang masih mengingati kami, Dr.Wan Izzuddin sokongan tetap nasyid Munsyideen. Pasca awal banyak dipelajari dan jadi teladan. Mahalnya erti kejayaan kerana indahnya pahit manis perjuangan, lelah dan letih mengiringinya.

Hingga akhir, innalillah wa inna ilaihi rajiun.

Buatlah amal manfaat, dengan manfaat yang Allah telah lebihkan, supaya kita tunduk dan patuh pada Tuhan, semakin rendah hati, sepenuh masa sebagai hamba Allah.

Doa yang tidak putus – putus, lagu Hayya bil Jihad oleh Brothers wadah terbaik.

Allahuakbar!!!


Munsyideen. Tiada noktah.

Ahad, 21 Julai 2013

"Orang yang mencintai akhirat, dunia akan menyertainya"

By : Selimutsura

Kita adalah insan yang diberi mata untuk melihat, diberi telinga untuk mendengar, diberi mulut untuk berkata - kata, diberi hidung untuk bernafas, diberi tangan untuk memegang, diberi kaki untuk berjalan, diberi akal untuk berfikir, dan hati untuk berzikir.

Mengapa komponen - komponen ini diberi oleh Allah Taala? Walaupun ada mata, tapi ramai yang buta. Ada telinga tapi ramai yang pekak, ada mulut tapi ramai yang membisu, ada hidung tapi selalu sumbat, ada tangan tapi ramai yang diikat, ada kaki tapi ramai yang malas berjalan, ada akal tapi ramai yang tidak berakal.

Apatah lagi punya hati, tapi ramai yang tidak berhati - hati.

Apakah itu milik kita? Sedangkan tiada setitik, setitis, sekelumit, sebutir, dan sebesar zarah pun kita miliki. Setiap tegukan air yang masuk ke dalam mulut kita, mengalir ke rongga leher, ke perut dan keseluruh anggota badan melalui laluan dan saluran yang sudah siap Allah Taala sediakan.

Tidak ada tol, tidak ada cukai dan tidak ada saman AES. "All set free of Charge"

Kerana "free of charge" itulah kita mengambil peluang. Sungguh tak malu, dengan istilah mengambil peluang itu sebenarnya kita mengambil kesempatan melakukan kemaksiatan dengan segala nikmatNya.

Bagaimana pula dengan bayi di dalam perut ibu? Bayi makan apa yang ibunya makan. Dia mendengar apa yang ibu dengar. Proses kejadian dari setitis air menjadi jasad berkepala, tangan dan kaki. Protein dan kalsium ditaja, susu ibu yang mengalir. Hakikatnya sudah tersedia, tidak menyusahkan ibu untuk membancuh susu lagi.

Jimat duit, jimat masa, dan memberi kemudahan. "All set free of Charge"

Kerana "free of charge" itulah kita membesar dengan sihat dan cergas melalui susu ibu. Sungguh tak malu, dengan istilah sihat dan cergas yang diberikan kita sebenarnya lalai menunaikan solat, sombong melaksanakan perintah Allah.

Apakah kewajipan kita sebagai hamba? Sedang Allah tidak pernah sedikit mengabaikan tanggungjawabNya sebagai Tuhan Rabbul Jalil terhadap makhluk - makhlukNya. Bahkan Dia Maha Pengasih dan Penyayang, apa lagi kalau kita melakukan dosa Dia Maha Pengampun dan menerima taubat.

Sungguh sombong dan bongkaknya manusia, tidak mahu menyembahNya, memujiNya, mentakzimkanNya. Mengapa kita selalu lupa dengan kewajipan sebagai hamba? Kita selalu bertangguh?

Susahkah? Sibukkah? Malaskah?

Esok di akhirat jangan malu kalau Allah Taala tanya: Sebab atas dunia kita tak malu.

Susahkah 5 waktu untuk menyembahKU? (Solat)
Sibukkah 5 minit untuk menambah ilmu? (Al-Quran al-Sunnah)
Malaskah 5 saat untuk mengingatiKU? (Zikir dan fikir)

Banyak perkara yang kita boleh lakukan, untuk bermunajat dan mengingati Allah. Bukan sekadar zikir subhanallah alhamdulillah allahuakbar. Luaskan wilayah ibadah kita, dengan meletakkan diri sebagai hamba Allah. 

Bukan hamba harta, pangkat dan nafsu.

Apa juga bentuk aktiviti baik yang membawa kita mengingati Allah itulah perhitungan zikir. Kalau kita memasak dapat mengingati Allah, bagus!!! Mulakanlah dengan bismilah. Bermain badminton dapat mengingati Allah, tidak lalai solat, bagus!!!

Hamba Allah itu rendah hatinya, penyantun tuturnya, lebar senyumannya, memancarkan aura positif pada dunia sekelilingnya. Pohon yang layu pun bisa tegak semula, dengan siraman air yang berkualiti. Begitulah juga hati, apakah siramannya?

Sesuatu yang sangat berkualiti disisi ALLAH Taala.

Sekeping Hati yang bertaqwa. Bagaimana?

Selalulah bermuzakarah hati, bermuhasabah diri, mengoreksi perilaku. Lihatlah betapa besarnya kesalahan diri dan keluarga sebelum melihat kesalahan orang lain.

Saidina Umar r.a ada menyebut:


“Hendaklah kalian menghisab diri kalian pada hari ini, karena hal itu akan meringankanmu di hari perhitungan,” 

(Shifatush Shafwah, I/286)

Bila kita memandang diri ini, tidak ada yang lebih layak padanya melainkan semuanya akan dikembalikan kepada Allah Taala. Kita hanya meminjam.

Kerana saya percaya dengan kuat.. 

"Orang yang mencintai akhirat, dunia akan menyertainya"

Wallahua'lam, mohon teguran.

menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
KDK Kuala Lumpur|13 Ramadan 1434H|22 Julai 13

Jumaat, 19 Julai 2013

Ijazah dengan Kepujian Ramadhan

By : Selimutsura

Ramadhan diumpamakan sebagai satu "kem motivasi". Sebuah perkampungan perkhemahan yang mengumpulkan pelbagai latar belakang, karakter dan asal usul dikalangan  peserta. Kebiasaan perkhemahan menjalankan kem selama 3 hari 2 malam dan melibatkan banyak aktiviti bagi meningkatkan daya fikiran, semangat jiwa dan ketrampilan diri. Matlamat akhir perkhemahan tersebut adalah untuk melahirkan watak - watak yang berguna selepas "bergraduasi" dari kem motivasi itu. Tempoh tamat apa yang diperoleh melalui kem tersebut bukanlah berakhir di kem sahaja tetapi kesan dan implikasi yang berterusan hasil motivasi selama 3 hari 2 malam.


Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.
 (Al Baqarah: 183).

Allah s.w.t melebihkan keistimewaan bulan Ramadhan berbanding bulan yang lainnya seperti yang kita ketahui saban tahun. Bulan dimana al-Quran diturunkan, bulan dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka, amal ibadah sunat menyamai pahala ibadah wajib, bulan pengampunan segala dosa kecuali dosa syirik dan dosa besar wajib disusuli dengan taubat nasuha, solat tarawikh. Banyak tawaran - tawaran "MEGA SALE", "PROMOSI" dan "24 JAM" diberi oleh Allah Taala kepada sekalian muslimin, serta malam LailatuQadar yang menyamai 84 tahun amal ibadah seseorang.


Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al Muwatha’, dia telah mendengar dari seorang ahlul ilmi tsiqah yang telah mengatakan: “Sesungguhnya telah diperlihatkan usia-usia umat sebelumnya kepada Rasulullah Saw, atau apa yang telah Allah kehendaki dari hal itu, dan sepertinya usia umat beliau tidak mampu menyamai amalan yang telah dicapai oleh umat-umat sebelumnya, maka Allah memberi beliau Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.” (HR. Malik).

Sedar atau tidak, pasaraya - pasaraya besar mahupun kedai runcit juga mengambil peluang dengan tawaran - tawaran hebat. Harga diskaun, harga melambung naik, makanan beraneka jenis, lauk - pauk yang tidak terkira, minuman panas dan berais, perabot jati, kain - kain tekstil, dan hiasan itu ini situ dan sini. Orang yang tidak mampu mula berhutang, dan orang kaya melupakan orang - orang yang lebih memerlukan



Ramadhan bukan lagi "syiar" tetapi "trendy" dan musim berfesyen. Di bulan ini sahaja mahu memakai tudung dan bulan lain terdedah. Yang lelaki pula, bulan ini saja ke masjid dan bulan lain tidak ambil kesah. Inilah "TREND" yang saya maksudkan. Tidak terlepas juga, "bazaar Ramadhan" bolehkah saya menilai? Ia adalah BAZAAR RAMADHAN? Diistilahkan sebagai pesta makanan, pesta membeli - belah, pesta meraih keuntungan yang banyak, dan pesta menjamu mata dengan barang - barangan yang sebenarnya tidak "dalam list" untuk membelinya. Mungkin BAZAAR itu jadi BAZIIIIR.


Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik sedekah iaitu sedekah di bulan Ramadhan.” 
(HR.Tirmidzi)

Tidak salah kita meraikan Ramadhan dengan kemeriahan, kemuliaan dan kelebihannya. Kita sebenarnya salah mengagungkan Ramadhan dengan pelbagai pesta dan jualan. Kerana Ramadhan akan pergi dan datang kembali jika diizinkan Allah Taala. Cuba anda bayangkan andai ini adalah Ramadhan yang terakhir, sudah pasti banyak kerugian pada saham - saham akhirat. Apatah lagi amal ibadah kita pun tidak cukup dan sempurna. Solat pun masih lalai dan leka, puasa kerana terpaksa dan tidak ikhlas, Isteri dan anak - anak pula diabaikan. Inilah saat dan ketika, Allah memberi waktu untuk kita mengembara kembali ke dalam "UNIVERSITI RAMADHAN" yang sebenar.

Selama tempoh 3 semester yang dinilai sebagai ujian sama ada lulus dan gagal berdasarkan pointer pahala yang kita kumpulkan. Pada semester pertama memperoleh rahmat Allah, semester kedua diberikan pengampunan, dan semester yang terakhir mendapat pembebasan dari api neraka. InshaAllah.

Ramadhan perlu kita lihat dari kacamata Islam bukan kacamata penjual dan pemborong. Tarbiyyah yang didirikan didalam diri, membentuk umat Islam yang bersyukur dan pemurah bukan tamak dan haloba, bersederhana dengan keperluan bukan berlebih - lebihan dengan keinginan hawa nafsu, kita dihidangkan dengan pahala berganda dan dosa diampunkan bukan makanan yang enak dan lazat, berlumba - lumba menginfakkan harta bukan berlumba - lumba mengumpul harta, pucuk pangkalnya kembali kepada niat asal dan matlamat kita dijadikan oleh Allah Taala.

Mudah - mudahan kita semua, umat Islam bergraduasi dengan Ijazah mumtaz, dan cemerlang. Bersederhana dan berterusan menunaikan ibadah semata - mata bukan kerana Ramadhan tetapi kerana Allah Subhanahu wa Taala. Jadikan al-Quran sebagai teman di dunia, di akhirat al-Quran menjadi teman kepadanya.


Allah Ta’ala berfirman: “Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan atas petunjuk itu, serta pemisah antara haq dan batil”. (Al Baqarah: 185)


Wallahua'lam, mohon teguran.

menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
KDK Kuala Lumpur|9 Ramadan 1434H|18 Julai 13

Khamis, 11 Julai 2013

Emas Syahadah

By : Selimutsura


لا اله الا الله محمد رسول الله



Lafaz itu tetap sama, kalimah syahadah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat r.a. Kalimah tauhidik لا اله الا الله saatnya para Nabi menyeru kepada umatnya memperhambakan diri pada Tuhan yang hak, Tuhan semesta alam. Kalimah ini jugalah yang menafikan apa jua entiti, bentuk dan kuasa penyembahan selain Allah Azza wa Jalla.

Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a, mempertahankan Islam bukan hanya sekadar kalimah, tetapi pengisian yang tersirat pada lafaz syahadah.


Bagaimana Bilal bin Rabah disiksa kerana mempertahankan ketauhidan kpd Allah Taala.


Bagaimana Handzalah syahid kerana mempertahankan Iman kepada Allah dan Rasul.


Bagaimana keluarga Ammar bin Yasir, bapa dan ibunya dibunuh kerana mempertahankan iman yang terpancar disanubari.


Bagaimana pula, dengan kalimah "bukan sekadar kalimah" ini Saidina Umar al-Khattab dimuliakan di dalam Islam, menguburkan kegelapan dan memacak panji kesucian.


Bagaimana pula dengan kalimah ini, bangsa Turki Uthmaniyyah mampu membuka Kota Konstantinople (1453) dengan menguasai 2/3 dunia.


dan dengan kalimah ini jugalah kita menjadi seorang muslim samada secara warisan mahupun memeluk Islam.




فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ 

"Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" (Muhammad:19)

Disinilah kekuatan yang diraih oleh mereka yang terdahulu berjuang menegakkan kalimah tauhid. Mempertahankan Islam bukan sekadar kalimah tetapi secara prinsipnya bermula dari kekuatan dalaman yang luar biasa iaitu keyakinan dengan faham (ilmu) bahawa Allah Taala hanyalah satu - satunya yang berhak disembah, apa jua yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w bukanlah rekaan seorang penyair, tetapi membenarkan apa yang telah diwahyukan kepada nabi - nabi sebelumnya.


بَلْ جَاءَ بِالْحَقِّ وَصَدَّقَ الْمُرْسَلِينَ


(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya). (As-Saffat:37)

Setiap hari, kita solat 5 waktu sehari semalam. Rugilah orang yang meninggalkan solat. Pada masa yang sama sekurang - kurangnya kita menyebut syahadah sebanyak 9 kali sehari. 9 kali kita mengislahkan iman kepada Allah, sebagai persaksian bahawa aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad utusan Allah.

Acapkali iman kita menurun, tidak konsisten, saham akhirat merudum dan melonjak naik di perimeter yang berbeza. Suhu suam - suam kuku, menyebabkan iman terasa lemah dan malas untuk beribadah, kata - kata yang keluar pula banyak yang sia - sia, lebih bahaya lagi apabila merasa seronok, relax, hepy melakukan maksiat. Nauzubillah.

Apa yang berbeza, masakini cabaran kepada umat Islam terlalu besar. Tiada "shield" atau "protection" yang kuat bagi mempertahankan iman umpama "Rumah Pasang Siap", iaitu kebanyakkan penganut muslim hari ini mewarisi sisi Islam mereka melalui ibu dan bapa. Celik dan bangun sudah beragama Islam. 

Di dunia pekerjaan pula, segelintir kita melabelkan tugas muslim hanyalah solat, zakat, haji, nikah dan harta. Boleh saya katakan, Islam separuh masa atau sepenuh masa? Kita salah memilih jalan, mahu menjadi hamba duit, harta, kemewahan dan perkara tahyul menghantui masyarakat pada hari ini. Oleh kerana itu, Kekuatan syahadah yang kita zahirkan tidak sekukuh orang - orang terdahulu.

أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي جَمْرَةَ سَمِعْتُ زَهْدَمَ بْنَ مُضَرِّبٍ سَمِعْتُ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ قَالَ عِمْرَانُ : فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ إِنَّ بَعْدَكُمْ قَوْمًا يَشْهَدُونَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُونَ وَيَخُونُونَ وَلاَ يُؤْتَمَنُونَ وَيَنْذُرُونَ وَلاَ يَفُونَ وَيَظْهَرُ فِيهِمْ السِّمَنُ

Maksudnya:
Syu'bah telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Abu Jamrah, aku mendengar daripada Zahdam bin Mudarrib, aku mendengar daripada'Imran bin Husain r.anhuma, dia berkata : “Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka.” Imran berkata :”Aku tidak tahu samaada disebut selepas kurunnya dua kurun atau tiga kurun. Kemudian sesungguhnya selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji dan tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman.

(Riwayat al-Bukhari)

Jika solat pun kita susah nak "settle" apalagi perkara lain yang dituntut di dalam Islam. Renung dengan dalam, selami sanubari kita. Mengoreksi penciptaan diri dan manusia, tidak dapat lagi lari dari lingkungan syahadah. 

Mereka bukan hanya mempertahankan "kalimah" pada lapisan luaran tetapi intipati perjuangan yang dituntut oleh Islam. Perkara asas adalah kewajipan menuntut ilmu tidak mengira yang kecil mahupun warga tua. Dengan ilmu melahirkan faham dan kesedaran akan kewujudan paksi keimanan yang kukuh. 

Pak Ustaz pun satu, selalu mudah sebut "kita kena ikut al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan" "KEMBALI pada al-Quran al-Hadis". Ayat - ayat ini terlalu luas, umum untuk diterjemah dalam kehidupan masyarakat. Macam mudah sangat! Apa praktikalnya? Bagaimana pula caranya? Tahap pemikiran masyarakat berbeza, apa yang kita mahu sampaikan mestilah jejak di atas bumi, di atas tanah sebenar bukan di awang - awangan.

Seharusnya begini, "Kita perlu kembali pada al-Quran dan al-Hadis..bagaimana? Carilah ilmu tentang al-Quran al-Hadis, bersama pengajian di madrasah atau seminar2 yang pelbagai, ini antara siri pengukuhan ilmu bagi memantapkan akidah dan ibadah. Tak perlu lah kita melabelkan orang - orang yang disekitar kita, yang paling baik tingkatkan diri dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. 

Berikan contoh, tasawwurkan. Allah itu satu, apa buktinya? Surah al-Ikhlas ada jawapan, dan realiti masyarakat cth: Kalau ketua kampung ada 10 orang apa akan jadi? Sedangkan 2 orang pun karakternya berbeza. Ini baru ilmu dan praktikal. Tetapi tidak semua ayat al-Quran ada praktikal dan dibentuk bahkan perlu pada keyakinan IMAN sahaja cth: gambaran syurga dan neraka, pahala dan dosa. Ini kecantikan Islam yang tidak pada agama lain.

Kesannya, kita akan memahat erti "kalimah syahadah yang betul". Bila iman itu betul, segala bentuk ibadah yang kita tuntut dan pelajari dan diamalkan mudah - mudahan diterima Allah S.W.T. Lorong-lorong menuju ke arah kebaikan (akhlak) menjadi senang, walaupun ada onak dan duri namun muslim yang kuat imannya, pada sisi hati dia tahu, keyakinan untuk meletakkan dirinya pada paras hamba Allah yang cemerlang.

Iman yang meningkat bukan dengan rasa-rasa, bila ada rasa-rasa timbul riak dan rasa hebat, sepatutnya kita lebih rendah hati, rendah diri pada Allah, merasai kekurangan yang banyak, dan ter-motivasi untuk menjadi Muslim yang berkeyakinan tinggi, fikrah al-wadih di dalam merealitikan Islam sebagai cara hidup.



لا اله الا الله محمد رسول الله


Semangat juang dari kalimah ini, meletakkan mulianya insan disisi Allah Taala, menyeberang jambatan usia, warna kulit, pangkat, kekayaan dan sempadan negara. Dengan itu, Allah Taala redha, dan keutamaan keredhaan Allah itu sangat bernilai berbanding segunung emas setinggi gunung EVEREST.

Wallahua'lam, mohon teguran.

menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
KDK Kuala Lumpur|3 Ramadan 1434H|12 Julai 13

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...