Ramadhan diumpamakan sebagai satu "kem motivasi". Sebuah perkampungan perkhemahan yang mengumpulkan pelbagai latar belakang, karakter dan asal usul dikalangan peserta. Kebiasaan perkhemahan menjalankan kem selama 3 hari 2 malam dan melibatkan banyak aktiviti bagi meningkatkan daya fikiran, semangat jiwa dan ketrampilan diri. Matlamat akhir perkhemahan tersebut adalah untuk melahirkan watak - watak yang berguna selepas "bergraduasi" dari kem motivasi itu. Tempoh tamat apa yang diperoleh melalui kem tersebut bukanlah berakhir di kem sahaja tetapi kesan dan implikasi yang berterusan hasil motivasi selama 3 hari 2 malam.
Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.
(Al Baqarah: 183).
Allah s.w.t melebihkan keistimewaan bulan Ramadhan berbanding bulan yang lainnya seperti yang kita ketahui saban tahun. Bulan dimana al-Quran diturunkan, bulan dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka, amal ibadah sunat menyamai pahala ibadah wajib, bulan pengampunan segala dosa kecuali dosa syirik dan dosa besar wajib disusuli dengan taubat nasuha, solat tarawikh. Banyak tawaran - tawaran "MEGA SALE", "PROMOSI" dan "24 JAM" diberi oleh Allah Taala kepada sekalian muslimin, serta malam LailatuQadar yang menyamai 84 tahun amal ibadah seseorang.
Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al Muwatha’, dia telah mendengar dari seorang ahlul ilmi tsiqah yang telah mengatakan: “Sesungguhnya telah diperlihatkan usia-usia umat sebelumnya kepada Rasulullah Saw, atau apa yang telah Allah kehendaki dari hal itu, dan sepertinya usia umat beliau tidak mampu menyamai amalan yang telah dicapai oleh umat-umat sebelumnya, maka Allah memberi beliau Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.” (HR. Malik).
Sedar atau tidak, pasaraya - pasaraya besar mahupun kedai runcit juga mengambil peluang dengan tawaran - tawaran hebat. Harga diskaun, harga melambung naik, makanan beraneka jenis, lauk - pauk yang tidak terkira, minuman panas dan berais, perabot jati, kain - kain tekstil, dan hiasan itu ini situ dan sini. Orang yang tidak mampu mula berhutang, dan orang kaya melupakan orang - orang yang lebih memerlukan.
Ramadhan bukan lagi "syiar" tetapi "trendy" dan musim berfesyen. Di bulan ini sahaja mahu memakai tudung dan bulan lain terdedah. Yang lelaki pula, bulan ini saja ke masjid dan bulan lain tidak ambil kesah. Inilah "TREND" yang saya maksudkan. Tidak terlepas juga, "bazaar Ramadhan" bolehkah saya menilai? Ia adalah BAZAAR RAMADHAN? Diistilahkan sebagai pesta makanan, pesta membeli - belah, pesta meraih keuntungan yang banyak, dan pesta menjamu mata dengan barang - barangan yang sebenarnya tidak "dalam list" untuk membelinya. Mungkin BAZAAR itu jadi BAZIIIIR.
Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik sedekah iaitu sedekah di bulan Ramadhan.”
(HR.Tirmidzi)
Tidak salah kita meraikan Ramadhan dengan kemeriahan, kemuliaan dan kelebihannya. Kita sebenarnya salah mengagungkan Ramadhan dengan pelbagai pesta dan jualan. Kerana Ramadhan akan pergi dan datang kembali jika diizinkan Allah Taala. Cuba anda bayangkan andai ini adalah Ramadhan yang terakhir, sudah pasti banyak kerugian pada saham - saham akhirat. Apatah lagi amal ibadah kita pun tidak cukup dan sempurna. Solat pun masih lalai dan leka, puasa kerana terpaksa dan tidak ikhlas, Isteri dan anak - anak pula diabaikan. Inilah saat dan ketika, Allah memberi waktu untuk kita mengembara kembali ke dalam "UNIVERSITI RAMADHAN" yang sebenar.
Selama tempoh 3 semester yang dinilai sebagai ujian sama ada lulus dan gagal berdasarkan pointer pahala yang kita kumpulkan. Pada semester pertama memperoleh rahmat Allah, semester kedua diberikan pengampunan, dan semester yang terakhir mendapat pembebasan dari api neraka. InshaAllah.
Ramadhan perlu kita lihat dari kacamata Islam bukan kacamata penjual dan pemborong. Tarbiyyah yang didirikan didalam diri, membentuk umat Islam yang bersyukur dan pemurah bukan tamak dan haloba, bersederhana dengan keperluan bukan berlebih - lebihan dengan keinginan hawa nafsu, kita dihidangkan dengan pahala berganda dan dosa diampunkan bukan makanan yang enak dan lazat, berlumba - lumba menginfakkan harta bukan berlumba - lumba mengumpul harta, pucuk pangkalnya kembali kepada niat asal dan matlamat kita dijadikan oleh Allah Taala.
Mudah - mudahan kita semua, umat Islam bergraduasi dengan Ijazah mumtaz, dan cemerlang. Bersederhana dan berterusan menunaikan ibadah semata - mata bukan kerana Ramadhan tetapi kerana Allah Subhanahu wa Taala. Jadikan al-Quran sebagai teman di dunia, di akhirat al-Quran menjadi teman kepadanya.
Allah Ta’ala berfirman: “Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan atas petunjuk itu, serta pemisah antara haq dan batil”. (Al Baqarah: 185)
Wallahua'lam, mohon teguran.
menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
KDK Kuala Lumpur|9 Ramadan 1434H|18 Julai 13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan