ilham Ma'mum

Khamis, 11 Julai 2013

Emas Syahadah

By : Selimutsura


لا اله الا الله محمد رسول الله



Lafaz itu tetap sama, kalimah syahadah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat r.a. Kalimah tauhidik لا اله الا الله saatnya para Nabi menyeru kepada umatnya memperhambakan diri pada Tuhan yang hak, Tuhan semesta alam. Kalimah ini jugalah yang menafikan apa jua entiti, bentuk dan kuasa penyembahan selain Allah Azza wa Jalla.

Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a, mempertahankan Islam bukan hanya sekadar kalimah, tetapi pengisian yang tersirat pada lafaz syahadah.


Bagaimana Bilal bin Rabah disiksa kerana mempertahankan ketauhidan kpd Allah Taala.


Bagaimana Handzalah syahid kerana mempertahankan Iman kepada Allah dan Rasul.


Bagaimana keluarga Ammar bin Yasir, bapa dan ibunya dibunuh kerana mempertahankan iman yang terpancar disanubari.


Bagaimana pula, dengan kalimah "bukan sekadar kalimah" ini Saidina Umar al-Khattab dimuliakan di dalam Islam, menguburkan kegelapan dan memacak panji kesucian.


Bagaimana pula dengan kalimah ini, bangsa Turki Uthmaniyyah mampu membuka Kota Konstantinople (1453) dengan menguasai 2/3 dunia.


dan dengan kalimah ini jugalah kita menjadi seorang muslim samada secara warisan mahupun memeluk Islam.




فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ 

"Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" (Muhammad:19)

Disinilah kekuatan yang diraih oleh mereka yang terdahulu berjuang menegakkan kalimah tauhid. Mempertahankan Islam bukan sekadar kalimah tetapi secara prinsipnya bermula dari kekuatan dalaman yang luar biasa iaitu keyakinan dengan faham (ilmu) bahawa Allah Taala hanyalah satu - satunya yang berhak disembah, apa jua yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w bukanlah rekaan seorang penyair, tetapi membenarkan apa yang telah diwahyukan kepada nabi - nabi sebelumnya.


بَلْ جَاءَ بِالْحَقِّ وَصَدَّقَ الْمُرْسَلِينَ


(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya). (As-Saffat:37)

Setiap hari, kita solat 5 waktu sehari semalam. Rugilah orang yang meninggalkan solat. Pada masa yang sama sekurang - kurangnya kita menyebut syahadah sebanyak 9 kali sehari. 9 kali kita mengislahkan iman kepada Allah, sebagai persaksian bahawa aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad utusan Allah.

Acapkali iman kita menurun, tidak konsisten, saham akhirat merudum dan melonjak naik di perimeter yang berbeza. Suhu suam - suam kuku, menyebabkan iman terasa lemah dan malas untuk beribadah, kata - kata yang keluar pula banyak yang sia - sia, lebih bahaya lagi apabila merasa seronok, relax, hepy melakukan maksiat. Nauzubillah.

Apa yang berbeza, masakini cabaran kepada umat Islam terlalu besar. Tiada "shield" atau "protection" yang kuat bagi mempertahankan iman umpama "Rumah Pasang Siap", iaitu kebanyakkan penganut muslim hari ini mewarisi sisi Islam mereka melalui ibu dan bapa. Celik dan bangun sudah beragama Islam. 

Di dunia pekerjaan pula, segelintir kita melabelkan tugas muslim hanyalah solat, zakat, haji, nikah dan harta. Boleh saya katakan, Islam separuh masa atau sepenuh masa? Kita salah memilih jalan, mahu menjadi hamba duit, harta, kemewahan dan perkara tahyul menghantui masyarakat pada hari ini. Oleh kerana itu, Kekuatan syahadah yang kita zahirkan tidak sekukuh orang - orang terdahulu.

أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي جَمْرَةَ سَمِعْتُ زَهْدَمَ بْنَ مُضَرِّبٍ سَمِعْتُ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ قَالَ عِمْرَانُ : فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ إِنَّ بَعْدَكُمْ قَوْمًا يَشْهَدُونَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُونَ وَيَخُونُونَ وَلاَ يُؤْتَمَنُونَ وَيَنْذُرُونَ وَلاَ يَفُونَ وَيَظْهَرُ فِيهِمْ السِّمَنُ

Maksudnya:
Syu'bah telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Abu Jamrah, aku mendengar daripada Zahdam bin Mudarrib, aku mendengar daripada'Imran bin Husain r.anhuma, dia berkata : “Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka.” Imran berkata :”Aku tidak tahu samaada disebut selepas kurunnya dua kurun atau tiga kurun. Kemudian sesungguhnya selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji dan tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman.

(Riwayat al-Bukhari)

Jika solat pun kita susah nak "settle" apalagi perkara lain yang dituntut di dalam Islam. Renung dengan dalam, selami sanubari kita. Mengoreksi penciptaan diri dan manusia, tidak dapat lagi lari dari lingkungan syahadah. 

Mereka bukan hanya mempertahankan "kalimah" pada lapisan luaran tetapi intipati perjuangan yang dituntut oleh Islam. Perkara asas adalah kewajipan menuntut ilmu tidak mengira yang kecil mahupun warga tua. Dengan ilmu melahirkan faham dan kesedaran akan kewujudan paksi keimanan yang kukuh. 

Pak Ustaz pun satu, selalu mudah sebut "kita kena ikut al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan" "KEMBALI pada al-Quran al-Hadis". Ayat - ayat ini terlalu luas, umum untuk diterjemah dalam kehidupan masyarakat. Macam mudah sangat! Apa praktikalnya? Bagaimana pula caranya? Tahap pemikiran masyarakat berbeza, apa yang kita mahu sampaikan mestilah jejak di atas bumi, di atas tanah sebenar bukan di awang - awangan.

Seharusnya begini, "Kita perlu kembali pada al-Quran dan al-Hadis..bagaimana? Carilah ilmu tentang al-Quran al-Hadis, bersama pengajian di madrasah atau seminar2 yang pelbagai, ini antara siri pengukuhan ilmu bagi memantapkan akidah dan ibadah. Tak perlu lah kita melabelkan orang - orang yang disekitar kita, yang paling baik tingkatkan diri dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. 

Berikan contoh, tasawwurkan. Allah itu satu, apa buktinya? Surah al-Ikhlas ada jawapan, dan realiti masyarakat cth: Kalau ketua kampung ada 10 orang apa akan jadi? Sedangkan 2 orang pun karakternya berbeza. Ini baru ilmu dan praktikal. Tetapi tidak semua ayat al-Quran ada praktikal dan dibentuk bahkan perlu pada keyakinan IMAN sahaja cth: gambaran syurga dan neraka, pahala dan dosa. Ini kecantikan Islam yang tidak pada agama lain.

Kesannya, kita akan memahat erti "kalimah syahadah yang betul". Bila iman itu betul, segala bentuk ibadah yang kita tuntut dan pelajari dan diamalkan mudah - mudahan diterima Allah S.W.T. Lorong-lorong menuju ke arah kebaikan (akhlak) menjadi senang, walaupun ada onak dan duri namun muslim yang kuat imannya, pada sisi hati dia tahu, keyakinan untuk meletakkan dirinya pada paras hamba Allah yang cemerlang.

Iman yang meningkat bukan dengan rasa-rasa, bila ada rasa-rasa timbul riak dan rasa hebat, sepatutnya kita lebih rendah hati, rendah diri pada Allah, merasai kekurangan yang banyak, dan ter-motivasi untuk menjadi Muslim yang berkeyakinan tinggi, fikrah al-wadih di dalam merealitikan Islam sebagai cara hidup.



لا اله الا الله محمد رسول الله


Semangat juang dari kalimah ini, meletakkan mulianya insan disisi Allah Taala, menyeberang jambatan usia, warna kulit, pangkat, kekayaan dan sempadan negara. Dengan itu, Allah Taala redha, dan keutamaan keredhaan Allah itu sangat bernilai berbanding segunung emas setinggi gunung EVEREST.

Wallahua'lam, mohon teguran.

menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
KDK Kuala Lumpur|3 Ramadan 1434H|12 Julai 13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...