ilham Ma'mum

Jumaat, 6 Jun 2014

Running Papa 1

By : Selimutsura

Pernahkah kita menonton rancangan "Running Man"? Rancangan Korea yang sangat diminati oleh anak - anak muda masakini, termasuklah anak - anak tua macam kami ni. Namun begitu ini bukanlah perkongsian tentang rancangan tersebut, tetapi alangkah indahnya jika rancangan Running MAN tersebut ditukar kepada "Running PAPA" menjadikan bahan hiburan lebih bermakna dengan pengajaran berkaitan kekeluargaan.

Saya jadikan slot RUNNING - PAPA sebagai tajuk utama bagi beberapa episod yang akan dikongsi bersama. Kini, dengan syukur dan takzim pada Allah Taala saya sudah bergelar PAPA pada 28hb Mei 2014 yang lalu bersamaan 29 Rejab 1435H, hasil pengorbanan lebih 9 bulan isteri saya mengandung, terima kasih MAMA! Kita mulakan dari sebelum kelahiran, kerana waktu itu adalah debaran bagi setiap pasangan yang bakal bergelar ibu dan ayah. InshaAllah. 
-----------------------------------------
RUNNING - PAPA (Episod 1)

Bakal Ayah

Kronologi awalnya, kami bernikah pada 17 Syawal 1434H di Masjid Ubaidah al-Jarrah. Serba - serbi putih dan disambut secara sederhana. Majlis kesyukuran pula diraikan pada esoknya 24hb Ogos 2014 di Taman Tasik Datuk Keramat, gabungan 2 pasangan pengantin dalam satu majlis. Alhamdulillah segalanya selesai dengan barakah dan baik sekali.

Sebulan lebih perkahwinan, kami dikurniakan kegembiraan dengan khabar bakal lahir seorang umat Muhammad di dalam rahim isteri saya. Pada saat dan waktu itu, umpama tidak percaya yang saya bakal menimang cahaya mata. Sebelum ini, di zaman - zaman single dulu tak dapat bayangkan bagaimana menempuh perasaan itu, dan melihat kawan - kawan yang mempunyai anak - anak kecil, berlari ke sana ke mari, gurauan dan tangisan si kecil mula membuai difikiran. Alhamdulillah, positif hamil dan saya merahsiakan kecuali pada ahli keluarga terdekat saja.

Saya mula menelaah dan mencari bahan bacaan berkaitan kehamilan, tanggungjawab kekeluargaan terutama sebagai bakal ayah, lebih fokus lagi isu berkaitan hukum - hakam dalam Islam tentang kelahiran. Buku, google, FB, dan beberapa nasihat dari sahabat - sahabat yang berpengalaman menjadi inspirasi sepanjang tempoh kehamilan.

Bukan tugas yang mudah, jika kita tidak ada ilmu. Tanpa ilmu , kita bakal hilang sabar apatah lagi menempuh dugaan 9 bulan lebih sebelum isteri beranak.

----------------------------------------------------------------
Bakal Ayah wajib Sabar

Serius saya katakan, para suami wajib sabar. Bukan saja emosi isteri tetapi juga bakal ayah. Bagaimana suami perlu sabar? Dan mengapa wajib sabar?

Suami perlu bijak mengawal keadaan. Selaku ketua rumah, seorang suami seharusnya memahami isteri. Keadaannya, sakitnya, bebannya dan luahannya. Balik - balik ke rumah dari pejabat, merahkan senyuman padanya. Lontarkan jauh - jauh segala permasalahan tempat kerja dan pinjamkan telinga anda untuk mendengar luahan isteri.

Waktu hamil adalah waktu perhatian saya pada isteri.

Ini yang bakal anda lakukan, memasak, mengangkat barang, membasuh dan menyidai baju, membasuh pinggan, pergi ke pasaraya, memcuci tandas, menyapu sampah, dan lain - lain termasuk menyuap makanan. Kenapa?

Kerana dialah yang mengendong anak saya, ke mana - mana sepanjang tempoh 9 bulan lebih. Kasihan atau tidak, saya akan memastikan kesihatan ibu dan anak (dlm perut) dalam keadaan yang baik. 

Bakal ayah, untuk trisemester yang pertama itulah penjagaan yang paling rapi. Ibu hamil dilarang menolak, menarik dan mengangkat sesuatu barang sekalipun seberat 1kg. Rahim ibu mula adalah rapuh, tetapi kukuh saat melahirkan.

Oh! Sabar, itulah kekuatan.

-------------------------------------------------
Rajin Berdoa

Satu barang yang mudah dibuat tetapi ringan dilupakan adalah doa. Doa adalah penghubung kasih dan cinta antara kami. Doa menjadi sumber kekuatan buat bakal ibu dan ayah untuk menempuh ujian yang mendatang. 

Apa yang dirasai, itulah apa yang ibu dan ayah kita rasai sewaktu dulu. Keperitan ibu melahirkan sukar untuk dibayangkan. Tak terbayang pun!

Saya selalu, mendoakan akan keselamatan, kesejahteraan buat isteri dan anak dalam keadaan yang baik, lahir dalam cara yang baik, dan kesudahan melahirkan dalam keadaan yang baik. Saya kongsi kan,

"Ya Allah, berilah kesejahteraan dan keselamatan buat isteriku dan anakku, permudahkan dengan cara yang baik, jangan dibebani isteriku dengan sesuatu beban, ringankan mereka dengan kasih sayangMU, sihatkan mereka berdua dalam rahmatMU, Rabbi yassir wa la tua'assir."
Setiap kali lepas solat fardhu saya hulurkan doa, mengadap sang Maha Pencipta memohon bantuan. Isteri saya juga meng-amin-kan.

------------------------------------------------------------
Aura Positif

Kata - kata secara langsung adalah alat dan cara komunikasi paling berkesan, bukan sms atau whatsup dan chat. Ini bagi mengelakkan "double meaning" antara pasangan suami dan isteri. Penyampaian maklumat juga lebih tepat, diiringi belaian dan romantiknya pasangan itu.

Kata - kata yang baik, menghasilkan suasana yang sihat. Sihat minda, sihat hati dan secara tidak langsung sihat fizikal. Kata - kata suami banyak memberi kesan kepada isteri, dan anak di dalam perutnya. 

Oleh itu, para ustaz dan ustazah banyak menasihati kita supaya mengamalkan bacaan al-Quran, disamping memahaminya apatah lagi ketika ibu mengandung. Al-Quran adalah mukjizat, dan syafaat buat pengamalnya, pembaca dan yang mendengar. Aura al-Quran memberi kesan yang mendalam kepada kandungan.

Kata dan sikap yang positif, menebar marakkan positif buat bakal anak soleh.

Saya dan isteri, berkesempatan menghabiskan satu hari satu juz, sekurang - kurangnya dalam sehari membuka kitab al-Quran. Bacalah walau hanya baca alif lam mim, pahala huruf dikira. InshaAllah.

--------------------------------------------------------------------------
Redha, ketentuan.

Tiada harga yang boleh dinilai, melainkan redha sebagai bayaran. Rezeki Allah tidak siapa menduga, lambat dan segera, dan tidak mampu menahannya dan tidak siapa mampu menolaknya. 

Ada orang 10 tahun kahwin baru dikurniakan anak. Ada juga di uji Allah Taala anak, lahir dan diambil semula oleh Allah pada waktu itu juga. Lautan ujian tidak terduga, lautan rahmat Nya lebih luas jangan diduga.

Bakal ayah dan ibu inilah sikap kita, saya redha apa jua keputusan Allah Taala. Hikmah itu mahal, dan Allah beri petunjukNya melalui hikmah yang tersembunyi. Setiap bakal ibu dan ayah akan melalui skrip yang berbeza. 

Saya faham begini, istimewanya kita di sisi Allah selama 20 tahun membesar kita tidak pernah diabaikan oleh Allah S.W.T. Tidak ada salahnya, jika Allah S.W.T mahu mengambil semula barang pinjamannya.


Oh! syukurlah, bakal ayah!
---------------------------------------------------------------------------------------

Bersambung- RUNNING - PAPA (Episod 2)

Abu Najmi al-Muzzammil
Setapak Permai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...