ilham Ma'mum

Ahad, 15 Mei 2016

Guru adalah Pendakwah

By : Selimutsura

Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu, kali ini tersentuh hati untuk melontarkan sesuatu. Saya masih tidak pasti sama ada kewujudan BLOG masih dirasai kerana majoriti warga dunia telah berubah angin ke MukaBuku, Twitter, Whats app dan item - item baru.

Termasuklah saya.

16 Mei 2016, saya memandu kereta ke pejabat, selepas menghantar isteri dan anak - anak fikiran ini menjadi sayu. 10 minit yang lalu, isteri saya meluahkan isihati sebagai seorang guru muda yang sudah mendidik masuk tahun ke enam. Adakalanya, dia sedih dan runsing menginsafi dirinya sebagai pendidik. Renyah dan payah tugas seorang pendidik dulu tidak sama dengan zaman dini. Murid dulu tidak sama dengan waktu kini. Lain gelanggang berbezalah cabaran. Ada masa tika, dia seronok berkongsi gambar "ucapan Selamat Hari Guru", sambil menarik nafas yang dalam. Sesahnya bernafas.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ini yang inginku katakan.

Tugas sebagai pendidik adalah tugas yang sangat mulia. Tidak semua orang diberi peluang untuk menjadi seorang pendidik. Penyambung warisan sunnah dan amal soleh para Rasul dan Nabi yang tidak dirasai oleh diriku. 

Kau lah insan terpilih, untuk mendidik. Salah satu sifat junjungan besar mulia Nabi Muhammad SAW adalah Tabligh iaitu menyampaikan. Pendidik, menyampaikan dengan mengajarkan ilmu "direct" kepada sasaran iaitu murid (dipanggil mad'u). 

Ku tahu kau berdepan, ejekan dan tohmahan, tidak dihargai dari segenap penjuru. Namun jangan cepat terasa hati, segera kuat dan sabarlah kerana Allah, kita bahagia menjadi penyabar. Ingati, bahawa Nabi kesayangan kita. Lebih teruk dicaci dan dihina. Penduduk Taif, melemparkan sampah dan batu ke wajah dan tubuh insan mulia ini. Tapi apakah jawapan yang tersemat dihatinya?

Rasulullah mendidik dirinya sabar. Kerana Baginda tahu, yang mengubah seseorang itu bukan dirinya tetapi Allah Taala. Mintalah pada Allah SWT. Pohonlah...seribu kekuatan agar dibantu dengan ribuan tentera Allah untuk membantu kerja - kerja mu sebagai seorang pendidik.

Guru...pengorbanan yang tidak mampu dibalas. Sekalipun seorang raja membayarmu dengan lautan emas dan permata.

Oh guru, aku tidak mahu mengucapkan terima kasih! Kerana ungkapan itu tidak layak buat kalian!

Hanya syurgalah, layak buat mu, wahai insan yang bernama guru...aminnn...

Selasa, 1 September 2015

Istimewanya 31 Ogos bagi ku

By : Selimutsura


Genap 31 ogos 2015, sudah 31 tahun Abah dan Emak diranjau susah senang dlm bahtera suami & isteri.
Banyak ilmu dan pengalaman yg boleh dipetik, bermula dari benih hingga menghasilkan buah yang siap utk dimakan.
Alhamdulillah, 8 orang adik beradik, abah dan emak besarkan di bandar KL penuh cabaran, ketika Abah bekerja sbg kerani bergaji kurang RM 200..emak pula menguli kuih seawal 4 - 5 pagi.
Berboncengkan motorsikal selama 25 tahun, membawa 3 anak sekaligus termasuk raga motor. Pagi petang dan malam. Bila hari raya, berderet 10 orang berjalan kaki berkunjung rumah sanak taulan. Ini yg abah dan mak ajarkan berziarah walau apa keadaan.
Abah dan emak adalah kemilau ku, rumah sewa KL, dua bilik. Aku berbaring lengan di depan pintu, dan pula dapur. Adik2 berhimpit belajar, solat dan tidur. Ingat, abah pandai urut. Kami jg membesar dgn hasil urut tradisi. Kami berlapan di antara 2 bilik. Juga dapur sbg tempat menyiapkn kerja sekolah.
Rumah papan 2 bilik, separuh batu. Kini masih ada, adik mewarisi menyewa. RM 300 sebulan mana nak cari kat KL. Bila singgah, senyum, ketawa dan menangis. Abah selalu pesan, sabar...manis nya nanti kita akan rasa.
Kini 8 adik beradik berdiri. Kakak Ainie Chan Aril Edy seorang graduasi Engineering Poli Shah Alam sekarg semangat menyambung Pjj UTM, aku graduasi Kuis & UKM, Fasihah Musbah pla graduasi Uitm SA, Muhd Izzat Al-Amin graduasi Kolej Mara, Fara Hani pla kini di Uitm Melaka, Muhammad Zaidi Arif yg ke 6 di Poli Muadzam, Qilah Miki dan @amira Nur Amy Nadiabijak pandai di sek men serendah.

Tiada lafaz dan kata, syukur seluas2 nya pd Allah, memahami jiwa org yg sabar. Hidup ini, rajin kita memberi. Banyak yang kan datang melimpah.

Aku bangga dengan Mak dan Abah. Doaku...bisikku, rinduku dan cintaku.

Salam ulangtahun dari anakmu, ampuni aku. Memel dan isteri Ummu Najmi Hamizah, menyayangimu berdua selalu.

Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Saujana Melawati, Kuala Lumpur

Rabu, 27 Mei 2015

Running Papa 3

By : Selimutsura


Jauh sudah saya berlari, pecut hingga tidak sempat nak melanjutkan cerita selepas "Running Papa 1 & 2". Arigato kozaimasss...ala kulli hal.

Pada RP ep1 & ep2 saya berkongsi lebih kepada persediaan awal secara teori dan praktikal sebelum menempuh alam "Papa, Abi, Abah, Abuya, Daddy, Baba, Babu...dan Mamu. Bapaknya!

Syukur, pada Allah Taala.

Kali ini, saatnya ketika mahu menerima kelahiran. Apakah yang perlu seorang suami perlu lakukan, apabila isteri di waktu genting untuk melahirkan cahaya mata di labour room.

Duduk diam?
Membaca doa?
Membaca majalah sambil goyang kaki?
Teman isteri "dalam labour room"?
atau anda berada di kejauhan (kerja luar kawasan)?
---------------------------------------------------------------------------------

Teman & Memori Indah

Isteri akan rasa tenang dan gembira jika suami berada disampingnya apatah lagi disaat ini. Luangkan masa anda, sebaiknya ambillah cuti dan rasailah pengalaman ini bersama. 

Dari mata turun ke hati, si suami memandang isteri. Saya menemani isteri dihospital sepanjang 2 hari 3 malam. Beri kata - kata semangat, dan pujian agar dirinya rasa dihargai dan penantian selama 9 bulan lebih sangat bermakna. Sambil - sambil itu, saya dan isteri berkongsi cerita - cerita indah saat berkenalan dan perkahwinan dulu. Ini mengembalikan memori 1001 cinta kami berdua seakan - akan masih baru diikat jodoh oleh Allah SWT.

Dalam tempoh di labour room, pergerakan isteri saya terbatas. Sementara menunggu "exactly time" melahirkan. Saya memberi pesanan supaya sama - sama redha dengan ketentuan Allah. Apapun yang berlaku inilah jihad yang paling indah bagi seorang wanita untuk dilalui.

Selama 2 jam menunggu, pinggang terasa sakit dan kebas. Urutlah kakinya, sendi - sendi yang lenguh, dan kepala. Anda bacakan ayat - ayat dari surah lazim, zikir dan selawat.
---------------------------------------------------------------------------------

Solat Taubat & Doa Kemudahan

Saya menunaikan 2 rakaat solat taubat di surau hospital sementara menunggu masa isteri. Pada waktu ini, saya meletakkan serendah - rendah diri kepada Allah, dengan mengakui kesalahan dan kesilapan sebagai hambaNya yang lemah.

Dibimbangi, dosa - dosa itu menjadi sebab ketidaklancaran tempoh kelahiran dan saat melahirkan. Nauzubillah.

"Berserah diri" dan bermuhasabah diri. Sebutlah terang - terang permintaan dan hajat kepada Allah kerana Dialah yang memegang nyawa isteri dan anak.

Buang jauh - jauh ego dan lagak, pada waktu ini tidak ada tempat lagi melainkan seagungnya pada Allah.

-------------------------------------------------------------------------------

Romantic Time

Inilah "romantic time"

Peluang suami mengakui kesilapan dan kesalahan, dan bermaaf - maafan. Meluahkan ayat - ayat cinta, pasti membuat si isteri lebih tenang. Sekurang - kurangnya ini mampu meringankan beban isteri, tekanan perasaan dan kontraksyen.

Kami bersuap - suap makan dan minum di dalam bilik.

DAN memberi pandangan mata yang secomel - comelnya. Senyum selebar - lebarnya. Seumpama cinta pandang pertama, dan jatuh ke lubuk hati yang dalam.

Selain itu, belikan hadiah yang "simple" seperti coklat, bunga kegemaran atau kad ucapan. Masa romantis sangat penting, jangan sia - sia kan kerana kita tidak tahu bilakah waktu tersebut kan berulang lagi.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Berzikir dan berselawat bersama

Setiap dari kita mahukan suasana yang damai dalam kelahiran, tanpa gangguan masalah kerja, masalah sibuk, dan sebagainya. Terapi yang paling sahih adalah dengan berzikir dan berselawat pada junjungan Rasulullah SAW.

Dengan zikir, gerakan lidah dan mulut, serentak dengan hati. Pemikiran dan fokus bersama adalah Allah dan Rasulullah SAW. Ini menyuburkan kasih sayang antara suami isteri.

Sambil memengang perut ibu, mengalunkan zikir dan selawat. Apatah lagi, saat itu ibu memejamkan mata, berehat. Ini membantu mengendurkan urat - urat kekejangan, memberi kerehatan jiwa. 

Sangat membantu.

----------------------------------------------------------------------------------------

Itu saja, perkongsian mudah kali ini. Maaf atas "tak update".

Selamat beroleh cahaya mata, anugerah Allah.

Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Saujana Melawati, Kuala Lumpur

Selasa, 10 Mac 2015

Hidup Perlu Pada Kesedaran

By : Abu Najmi al-Muzzammil

Berkunjung mesra Pn. Hjh Rohani Datuk Mohd Shahir (Pakar Kewangan)

Banyak perkara telah berlalu pergi. Kini usiaku sudah menjangkau hujung 20an. Kalau dulu saya merasakan diri budak belasan tahun yang baru merangkak dan mahu mencuba semuanya. Alhamdulillah sepanjang tempoh sejarah hidup ku, banyak pelajaran dan pengajaran dari nikmat dan mehnah yang Allah Taala jadualkan. Kerana saya sedar!

Terdetik kembali untuk sama bermuhasabah (saya), pengisian hidup sewaktu awal remaja terutama apabila menamatkan zaman sekolah menengah. Pada ketika itu, berat saya 50 kilo dan ukur lilitan pinggang sekitar saiz 27 (Susah nak dapat balik saiz tu). Kawan - kawan ibarat doktor dan pakar bagi saya, meminta pendapat dan berkongsi cerita. Gelak tawa dan tangis di alam persekolahan.

Tamat zaman sekolah, masing - masing berjauhan dengan tujuan hidup masing - masing. Yang mendapat keputusan "Mumtaz" atau "straight A's" berpeluang menyambungkan pengajian ke universiti terkemuka luar dan dalam negara. Namun saya, kurang usaha dan banyak main setakat menunggu rayuan IPTA ketika itu. Ini saya sedar!

Apabila ramai rakan - rakan sudahpun belajar dan berjaya mencapai impian ke universiti, saya masih di pasaraya KLCC sebagai promoter baju Hob Nob (2005). Keputusan SPM tidak membantu saya untuk melanjutkan pelajaran ke IPT awam. Daripada saya terus menunggu rayuan yang telah ditolak akhirnya, saya mengambil keputusan "orang muda" bekerja membantu ahli keluarga. Kerana sedar diri!

Adik - beradik 8 orang dan saya anak ke 2, sangat mencabar. Bagi membantu abah dan mak saya bekerja selama setahun. Banyak pengalaman dan motivasi diri terdidik, kerana bukan mudah bagi saya yang gagal memberi kegembiraan kepada kedua orang tua akan keputusan peperiksaan yang tidak berapa cantik. Namun abah dan mak tidak pernah kecewa kerana mereka tahu keupayaan saya. Abah mak orang yang sedar!

Abah sebagai kerani, emak pula menjual kuih donut, pau sambal, dan pau kukus (Rindunya kuih muih emak). Saya tahu abah susah, dan emak bersusah - payah. Harga kesusahan mereka (dalam fikiran saya remaja umur 18 tahun) perlu dibayar dengan "result" SPM yang bagus. Namun itu tidak berlaku, di samping kawan - kawan seronok dalam kejayaan. Saya hanya menerima kalung tangisan sendiri.

Selepas setahun, oleh kerana orang tua saya tidak mahu melihat saya ketinggalan mereka meminta saya sambung pengajian. Otak remaja saya berfikir "Mana nak dapat duit? Yuran, makan, buku lagi." Terpang - pang iklan PTPTN kan ada! Untuk masuk belajar saya perlu ada sumber kewangan. Saya pun menjual "Dadih" di depan rumah dan area masjid di Damansara. Kerana saya sedar!

Alhamdulillah, Saya masuk belajar ke KUIS. Yuran PTPTN cukup untuk yuran pengajian sahaja selebihnya saya perlu usahakan. Abah dan mak ada beri duit, tetapi duit itu ku simpan dan jarang sekali menggunakannya apatah lagi meminta. Bahkan sepanjang 4 tahun di KUIS saya bekerja sambilan dan rajin ke program motivasi bagi membantu abah dan mak dalam kos pengajian. Kerana saya sedar!

Dulu saya sekolah menengah "aliran agama" tetapi ia hanya aliran saja kerana ada beberapa subjek agama seperti Bahasa Arab, Syariah Islamiyyah, Usuluddin dan Tasawwur Islam. Bila masuk ke KUIS saya mohon Dip. Information Technology & Graphic, kerana minat dan pernah menjadi editor pereka grafik (masa di SMAKL). 

Selama sebulan jiwa saya mula resah, tak sedap hati. Banyak keraguan yang timbul dan persoalan - persoalan dengan "track" hidup yang saya pilih. Satu hari, saya mula berfikir "kenapa IT dan tidak pengajian Islam?" Dalam otak ketika itu berumur 19 tahun terlintas (Mungkin Allah nak aku belajar agama kot, aduhhh..jiwa kacau) Remaja Beb!

Saya berjumpa dengan DEKAN Fakulti, dan ingin menukar kos. Tegas Ustazah Ainan memberi kesedaran yang tinggi pada saya untuk tidak membuang masa belajar dan membazir duit. Hati saya berat sekali, ada juga orang bercakap "kalau ambil pengajian Islam ni dapat kerja ke?"
Jaulah Masjid Hasan Thani, Casablanca Morocco (2007)

Selama 6 semester dan 1 semester pendek, alhamdulilah saya berjaya melakukannya. Segalanya dengan bantuan Allah Taala, doa abah dan mak, keluarga dan rakan - rakan. Tidak pernah miss "Anugerah Dekan" selama 3 tahun pengajian Diploma di KUIS. Tidak disangka saya terpilih ke bumi Maghribi (Morocco) belajar bahasa Arab selama sebulan pada 2007. Itulah hadiah dari Allah yang paling indah dalam hidup saya. "I miss it so much".

Dan dari itu saya sedari, Allah lah yang memberi cahaya kesedaran dalam diri ini. Apabila kita tidak nampak jalan, Allah melorongkan cahaya ke dalam hati hambaNya menuju jalan kejayaan.


Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Saujana Melawati, Kuala Lumpur


Isnin, 8 Disember 2014

Jejak Tamadun Islam & Kembali

By : Selimutsura

Dengan Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

Lama sudah tidak menulis, ada lebih 3 bulan. Kesibukan pun tidak, separa sibuk dengan program, dakwah, nasyid dan keluarga. Anakanda Najmi Yusuf pun kini sudah berumur 6 bulan lebih, pembesaran pesat Najmi sangat mengujakan. Alhamdulillah.

Najmi sudah pandai merangkak kecil, memaut tangan, menanduk kepala, dan senang cerita, serba - serbi berpotensi untuk lebih cepat berjalan. Ada orang kata, usia sekarang boleh diberi makan makanan penyek seperti bubur, kisaran buah dan sebagainya. Nanti dulu-lah, biar betul - betul saya dan isteri bersedia.

Mohon maaf, bagi yang sudi membaca blog saya ini. Kesuntukan waktu itu, adalah kelemahan saya yang menyusun jadual. Kali ini perkongsian-nya moga - moga lebih istiqamah, dan mantap berbanding zaman pra-universiti dan mahasiswa dulu.

Kini kampus saya adalah keluarga dan masyarakat.

Sejak akhir - akhir ini, saya bercenderung untuk mengkaji dan mengumpul sejarah Islam di Eropah. Secara umumnya, banyak sumber dan maklumat telah dijejak oleh para sejarawan atau muarrikhin (kenapa tidak sejarahwan),arkeologis, dan ahli akademik. 

Dan mengapa Eropah? Kenapa tidak di Asia Tenggara?

Saya berperibadi, sejarah wajib lebih telus dan jujur. 

Sejarah kita

Di negara yang saya cintai, bila sebut Melaka. Terpapar difikiran, surat khabar, iklan, dan media luas ini, rating tertinggi adalah Kota A'Famosa, Kota Portugis bukan Masjid Kampung Hulu, Kling dan Tengkera. Pengimarahan Kota Portugis (Penjajah, Pemusnah masjid dan surau) lebih hebat.

Adakah Kota A'Famosa dibina dari runtuhan Kota Melaka? Atau runtuhan masjid - masjid, surau dan musolla?

Itulah hakikat, Melaka Bandaraya Bersejarah.

Siapa tahu tentang Kota Lukut? Lukut kat mana tu..kalau kita tanya anak - anak Malaysia. Tak tauuu! Lukut di tepi gantang.

Kota Lukut, Bukit Raja, Port Dickson adalah kubu pertahanan, kubu ekonomi, kubu kemahsyuran Islam sebagai pusat pemerintahan Raja Jumaat ibn Raja Jaafar, seorang muslim berketurunan Melayu Bugis.

Senario Industri Hiburan Malaysia

Masa kecil saya lebih kenal, Doraemon, Son Goku, Suria Baja Hitam, Ultraman Cicak, Maskman, Cybercop dan Usop Sontorian. Melangup depan TV merah tengok kuasa - kuasa yang ada pada mereka. Kelakar! Habis musnah rumah dan bangunan. Upin Ipin, sedikit sebanyak meningkatkan daya kritis dan manfaat dunia kartun kanak - kanak, dan dewasa.

Doktrin ini wujud hingga kini. Sangat jarang kisah kartun hero kita seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Dol Said, Maharaja Lela, dan lain - lain.

Mungkin cerita rakyat orang putih, lebih syok berbanding filem dinegara kita yang tidak berimbang. Lawak hingga lagha (sia-sia), gengster hingga jahat itu hebat, cinta hingga bermaksiat, hantu pocong hingga khurafat.

Rosak akidah umat, rosak juga akhlak. Yang untung siapa? Yang kaya siapa?

Hiburan yang tidak berilmu, di zaman teknologi bertamadun.


Sambung master

Isteri saya ada mengesyorkan supaya melanjutkan pengajian Master dalam bidang sejarah dan peradaban. InshaAllah, jawapan ringkas dan padat.

Tidak mudah, bila sudah bekerjaya untuk terjun semula ke dunia kampus. Banyak faktor strategi perlu distruktur semula memandangkan Ijazah Sarjana Muda dulu pun pengajian jarak jauh.

Masa, tenaga dan wang ringgit itu semua kurniaan dari Allah Taala, kita perlu bijak memanfaatkannya. Najmi Yusuf pun sedang membesar, saya banyak memberi masa dan ruang untuknya, malahan isteri juga seorang pendidik.

Sejarah adalah pelajaran umat, bukan mengimbau atau mengenang. Tetapi belajar dan ambil pengajaran darinya. Mengapa? Kenapa? Bagaimana? Siapa? Bila?

Sejarah pupus, kerana kita yang tidak endah. Bangunnya sejarah, membina tamadun dari strategis dan bijaksana orang dahulu. Jatuhnya tamadun pula dari ketamakan dan kepentingan duniawi orang terdahulu.

Kita ini mewarisi tamadun dari sejarah masa silam.

Jejak Tamadun Islam | Al-Andalus


Tahu atau tidak, bumi Sepanyol, Portugal, Perancis, dan Kepulauan Lautan Balerik pernah menjadi pusat tamadun Islam terkuat di Eropah. Pintu Islam ke Eropah terawal adalah melalui Selat Gibraltar, dan bahagian selatan Sepanyol. Wilayah Islam yang bertapak selama 780 tahun dan dikenali sebagai Balad al-Andalus. Dari sinilah, Islam mula tersebar luas hingga ke kawasan jajahan Kristian ke Eropah melalui beberapa faktor:

1- Jihad perang 
2- Perdagangan (berkumpulan/individu)
3- Perkahwinan (Raja/Rakyat)
4- Akademik (Para ilmuan/Penterjemah)
5- Hiburan Islami (Syair/adat setempat)
6- Hubungan diplomatik (pemerintah/pengembara)

Ini baru mukaddimah.

Sebelum Panglima Tariq Ibnu Ziyad & Musa Ibn Nusayr (Gabenor Afrika Utara) bersama seangkatan tentera Umayyah menyeberangi selat Gibraltar sebagai misi jihad besar - besaran pada 711 (m). Mereka telah menghantar seorang perisik bernama Tarif Ibnu Malik dan anak buahnya untuk memantau pergerakan musuh di negara Visigoth (nama sebelum Andalus) yang mendarat di pantai Tarifa, Sepanyol.

Nama Gibraltar berasal dari nama Jabal Tariq, dan Bandar Tarifa pula dari nama Tarif Ibnu Malik.

Saya bagi hint sikit, Islam pada zaman ini berjaya menguasai lebih 90% Sepanyol dan Portugal hanya selama kurang 5 tahun ekpedisi jihad mereka.


Sejarah tetap tinggal sejarah. Lebih dalam lagi, saya mahu mengoreksi emas - emas kegemilangan Islam di Andalusia. Setidak - tidaknya kita dapat belajar dari sejarah (ibrah) yang pelbagai, sebagai salah satu sumber pendidikan jiwa, dan mental.

Anak - anak yang menghargai sejarah, belajar darinya, menimbulkan kesan dan prihatin, untuk bekal saya, isteri, anak - anak, dan keluarga menuju akhirat. Saya tidak tahu bagaimana perkaitannya tetapi di dalam al-Quran dan hadis banyak cerita - cerita sejarah yang Allah streaming-kan secara langsung,  tentang Para Anbiya' dan Auliya', para solehin, Firaun, dan para pendusta agama, para pemerintah yang adil dan zalim, dan kisah terdahulu.
Semoga Allah memberi kefahaman, dan keberkatan. Amin.

Terima kasih sudi bertamu.




Al-Faqir Abu Najmi Al-Muzzammil@Selimutsura
Setapak, Kuala Lumpur

Selasa, 1 Julai 2014

Running Papa 2

By : Selimutsura

Kini saya sedang berlari, menjadi papa idaman buat keluarga. Sudah semestinya Rasulullah S.A.W. adalah contoh yang terbaik. InshaAllah itu tekad buat bakal bapa.

Superman! Batman! Spiderman! Ultraman!

Oh bukan! Hero!

Running - Papa, episod kali ini saya akan berkongsi dengan persediaan terutama bakal bapa yang sedang menanti tempoh 9 bulan lebih saat kelahiran anak dan beberapa keutamaan kepada isteri adalah sewajarnya para suami ambil tahu dan selalu lah membuat panggilan atau "prihatin dan perhatian".

Di episode 1, saya mengemukakan para bakal bapa perlu bersedia dalaman dan luaran untuk menempuhinya. Mukaddimah awal dalam Running - Papa adalah persediaan ruhaniah dan mental yang kuat. Orang lelaki tidak dapat lari dari sifat keegoan kerana memang sikap lelaki didorong oleh sifat kepemimpinan.

Usah dicabar kesabarannya, itu ayat yang biasa kita dengar kan? Maka terserlahlah kelelakian yang ada dalam diri. Awas! Lelaki yang sabar itu lebih kuat berbanding lelaki yang berbadan sasa ok!

--------------------------------------------------------------

Urus kewangan anda "Mind-set"

Ini lah antara topik hangat dalam mendirikan dan menguruskan rumahtangga. Bila anda sudah berkeluarga, isteri dan anak - anak adalah keutamaan bagi seorang suami dan bapa. 

Masa bujang, semua masa dan keperluan adalah hak diri sendiri. Kalau gaji RM 2000, nilai itu jugalah menjadi kiraan perbelanjaan untuk simpanan peribadi dan perbelanjaan sendiri, samada pemberian untuk orang tua, atau kewajipan - kewajipan yang lain seperti hutang dan sedeqah.

Kemuncak perkahwinan juga menelan belanja yang banyak bersesuaian dengan kemampuan dan zaman. Jika kita bijak mengatur tatacara pengurusan kewangan, InshaAllah dengan gaji minima RM 1000 pun boleh diatur. Sebelum menyusun, bakal suami mesti mencari pekerjaan yang menjamin. Ini adalah realiti kehidupan yang kita perlu jelas dari sudut kebenaran berkeluarga. 
Orang bujang, anda tidak ada masa untuk pembaziran, tetapi memanfaatkan masa untuk memantapkan status kewangan.
Orang muda, tidak salah untuk memiliki zaman muda-mudi, tetapi zaman muda lah masa untuk memilih jalan, anggap lah anda adalah kereta baru, segak dan cantik. Bayangkan pemandu memandu anda hanya dengan 30KM/J menuju pulang ke kampung Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Lumpur. Oh fikir - fikirkan. Mungkin 3 hari baru sampai.

Kali ini pula anda sedang menuju ke dunia PAPA. Duit sekali lagi menguji anda. Aduuuuh....stresss? Mengapa stress?

Tak cukup? Tak boleh nak shopping2 apa yg aku nak?

Nanti dulu, hai bakal papa. Sabar...inshaAllah bukan tak cukup tetapi belum cukup. Itukan lebih baik, sangkaan pada yang positif.

Boleh shopping, lagi seronok bersama isteri dan anak2. Keluarga bahagia kan!

Duit aku duit aku la, duit kau duit aku? Pelik. Secara umum mudah saja, harta tidak kekal, dan pemilikNya adalah ALLAH, bila saja boleh ambil balik. Kalau Allah tarik nyawa kita, kereta dan rumah bakal jadi milik orang lain. 


Duit RM10 dalam kocek kita pagi ini belum tentu menjadi milik kita, kekal. Barangkali nanti isi minyak motor dan tol. Tak pun rezeki peminta sedeqah. Ini semua datang dari Allah, dan kembali.
--------------------------------------------------------------------------

Suami Isteri sepakat, membawa berkat!

Konsep berkeluarga wajib membantu. Mendirikan dan menguruskan keluarga bukan tugas individu tetapi "team work". Inilah fokus kita.

Dalam mengatur kewangan, saya dan isteri sama-sama bekerjaya jadi kami berbincang dan bertolak ansur. Apa sumbangan yang boleh dibuat, dan solusi mengatasi masalah lebih awal. Umpama kita mahu ke medan peperangan, pastinya komander akan menyusun strategi dulu bagi menghadapi segala masalah berdepan dengan musuh. Di dalam keluarga juga begitu, bersedia lebih awal kerana kita tak tahu mana satu ombak yang bakal ditempuh.

Ini adalah idea isteri saya, bijak! Terima kasih tak terhingga =) Sebelum ini saya tak nampak, tetapi bila buat macam ini...memang hati jadi tenang.

Tetapi inilah persediaan awal kami sebelum 9 bulan saat melahirkan Najmi Yusuf Ibni Muhammad Muzzammil al-Jawi.

a) Buat jadual perbelanjaan harian/ list senarai: Contoh

- Bayar kereta
- Bayar sewa/beli rumah
- Bil air/elektrik
- Pasar kami
- Belanja Hospital/Bersalin
- Anak Soleh (Belanja baju,peralatan NewBorn)
- Aqiqah
- Mak Abah/Mertua
- Percutian/simpanan

Serba ringkas ini lah keperluan yang kami buat. Setiap duit2 tersebut kami simpan dalam sampul yang dilabel. Jadi apa jua perbelanjaan yang keluar berdasarkan keperluan yang telah ditetapkan.

Ada seorang kawan berseloroh, "wah banyak duit. Anak baru lahir dah buat aqiqah." Mudah saja kira-kira, Jika anda simpan RM 100 dari awal anda tahu isteri telah hamil, setiap 9 bulan sudah memadai untuk dapat RM 900. 

Nak buat kambing golek, kambing kuzi dan sebagainya silakan. Nak tergolek pun tak pe hihi oleh kerana aqiqah ialah tanggungjawab dan hak anak, kami buat plan yang terbaik. InshaAllah.

Duit lebihan gaji itulah duit belanja peribadi masing - masing untuk membeli hajat. Tetapi sebagai suami, lebihan itu elok dibelanjakan sebaiknya.

Alhamdulillah, saya bersyukur dengan susunan yang telah Allah Taala susunkan kecukupan tersebut. Sebelum ini memang rasa tak cukup, tetapi isteri saya cakap belum cukup. InshaAllah, nanti Allah tambah lagi.

MashaAllah! Bila kita kembali pada Allah Taala, kita akan dapat pulangan yang baik. Inilah berkat!
---------------------------------------------------------------------------------

Side "Jobs"

Nak masuk "toilet pun bayar pe" hihi itulah yang boleh kita simpulkan. Segalanya duit. Kita pun berkejar - kejar  mencari sumber kewangan untuk keluarga. Apatah lagi kami duduk di bandar, perlu banyak berjimat dan mencari kerja - kerja tambahan bagi mengisi keperluan hidup.


Kalau mahu kaya, bukan mudah. Perlu ada usaha yang kuat, doa dan tawakkal. Paling susah adalah untuk istiqamah. Mengambil perniagaan sebagai mencontohi Rasulullah s.a.w dan para sahabat, saya dan isteri sepakat mencuba "simple bisnes" iaitu menjual secara online susu kambing Better Goat Munif Hijjaz.

Sahabob-sahabobah yang nak order boleh laluan terus ke FB Pages kami Original Better Goat Munif Hijjaz =) tak pun emel kepada saya selimutsura@gmail.com.

Alhamdulillah, dengan perniagaan yang kami jalankan sedikit sebanyak sangat membantu, dan permintaan dari pelanggan tetap amat menggalakkan.

--------------------------------------------------------------------

Sekadar ini dahulu perkongsian saya buat episode - 2. Running papa!

Bersambung lagi, Oh hebatnya mempunyai anak =) Allahuakbar


Abu Najmi al-Muzzammil
Setapak Permai

Jumaat, 6 Jun 2014

Running Papa 1

By : Selimutsura

Pernahkah kita menonton rancangan "Running Man"? Rancangan Korea yang sangat diminati oleh anak - anak muda masakini, termasuklah anak - anak tua macam kami ni. Namun begitu ini bukanlah perkongsian tentang rancangan tersebut, tetapi alangkah indahnya jika rancangan Running MAN tersebut ditukar kepada "Running PAPA" menjadikan bahan hiburan lebih bermakna dengan pengajaran berkaitan kekeluargaan.

Saya jadikan slot RUNNING - PAPA sebagai tajuk utama bagi beberapa episod yang akan dikongsi bersama. Kini, dengan syukur dan takzim pada Allah Taala saya sudah bergelar PAPA pada 28hb Mei 2014 yang lalu bersamaan 29 Rejab 1435H, hasil pengorbanan lebih 9 bulan isteri saya mengandung, terima kasih MAMA! Kita mulakan dari sebelum kelahiran, kerana waktu itu adalah debaran bagi setiap pasangan yang bakal bergelar ibu dan ayah. InshaAllah. 
-----------------------------------------
RUNNING - PAPA (Episod 1)

Bakal Ayah

Kronologi awalnya, kami bernikah pada 17 Syawal 1434H di Masjid Ubaidah al-Jarrah. Serba - serbi putih dan disambut secara sederhana. Majlis kesyukuran pula diraikan pada esoknya 24hb Ogos 2014 di Taman Tasik Datuk Keramat, gabungan 2 pasangan pengantin dalam satu majlis. Alhamdulillah segalanya selesai dengan barakah dan baik sekali.

Sebulan lebih perkahwinan, kami dikurniakan kegembiraan dengan khabar bakal lahir seorang umat Muhammad di dalam rahim isteri saya. Pada saat dan waktu itu, umpama tidak percaya yang saya bakal menimang cahaya mata. Sebelum ini, di zaman - zaman single dulu tak dapat bayangkan bagaimana menempuh perasaan itu, dan melihat kawan - kawan yang mempunyai anak - anak kecil, berlari ke sana ke mari, gurauan dan tangisan si kecil mula membuai difikiran. Alhamdulillah, positif hamil dan saya merahsiakan kecuali pada ahli keluarga terdekat saja.

Saya mula menelaah dan mencari bahan bacaan berkaitan kehamilan, tanggungjawab kekeluargaan terutama sebagai bakal ayah, lebih fokus lagi isu berkaitan hukum - hakam dalam Islam tentang kelahiran. Buku, google, FB, dan beberapa nasihat dari sahabat - sahabat yang berpengalaman menjadi inspirasi sepanjang tempoh kehamilan.

Bukan tugas yang mudah, jika kita tidak ada ilmu. Tanpa ilmu , kita bakal hilang sabar apatah lagi menempuh dugaan 9 bulan lebih sebelum isteri beranak.

----------------------------------------------------------------
Bakal Ayah wajib Sabar

Serius saya katakan, para suami wajib sabar. Bukan saja emosi isteri tetapi juga bakal ayah. Bagaimana suami perlu sabar? Dan mengapa wajib sabar?

Suami perlu bijak mengawal keadaan. Selaku ketua rumah, seorang suami seharusnya memahami isteri. Keadaannya, sakitnya, bebannya dan luahannya. Balik - balik ke rumah dari pejabat, merahkan senyuman padanya. Lontarkan jauh - jauh segala permasalahan tempat kerja dan pinjamkan telinga anda untuk mendengar luahan isteri.

Waktu hamil adalah waktu perhatian saya pada isteri.

Ini yang bakal anda lakukan, memasak, mengangkat barang, membasuh dan menyidai baju, membasuh pinggan, pergi ke pasaraya, memcuci tandas, menyapu sampah, dan lain - lain termasuk menyuap makanan. Kenapa?

Kerana dialah yang mengendong anak saya, ke mana - mana sepanjang tempoh 9 bulan lebih. Kasihan atau tidak, saya akan memastikan kesihatan ibu dan anak (dlm perut) dalam keadaan yang baik. 

Bakal ayah, untuk trisemester yang pertama itulah penjagaan yang paling rapi. Ibu hamil dilarang menolak, menarik dan mengangkat sesuatu barang sekalipun seberat 1kg. Rahim ibu mula adalah rapuh, tetapi kukuh saat melahirkan.

Oh! Sabar, itulah kekuatan.

-------------------------------------------------
Rajin Berdoa

Satu barang yang mudah dibuat tetapi ringan dilupakan adalah doa. Doa adalah penghubung kasih dan cinta antara kami. Doa menjadi sumber kekuatan buat bakal ibu dan ayah untuk menempuh ujian yang mendatang. 

Apa yang dirasai, itulah apa yang ibu dan ayah kita rasai sewaktu dulu. Keperitan ibu melahirkan sukar untuk dibayangkan. Tak terbayang pun!

Saya selalu, mendoakan akan keselamatan, kesejahteraan buat isteri dan anak dalam keadaan yang baik, lahir dalam cara yang baik, dan kesudahan melahirkan dalam keadaan yang baik. Saya kongsi kan,

"Ya Allah, berilah kesejahteraan dan keselamatan buat isteriku dan anakku, permudahkan dengan cara yang baik, jangan dibebani isteriku dengan sesuatu beban, ringankan mereka dengan kasih sayangMU, sihatkan mereka berdua dalam rahmatMU, Rabbi yassir wa la tua'assir."
Setiap kali lepas solat fardhu saya hulurkan doa, mengadap sang Maha Pencipta memohon bantuan. Isteri saya juga meng-amin-kan.

------------------------------------------------------------
Aura Positif

Kata - kata secara langsung adalah alat dan cara komunikasi paling berkesan, bukan sms atau whatsup dan chat. Ini bagi mengelakkan "double meaning" antara pasangan suami dan isteri. Penyampaian maklumat juga lebih tepat, diiringi belaian dan romantiknya pasangan itu.

Kata - kata yang baik, menghasilkan suasana yang sihat. Sihat minda, sihat hati dan secara tidak langsung sihat fizikal. Kata - kata suami banyak memberi kesan kepada isteri, dan anak di dalam perutnya. 

Oleh itu, para ustaz dan ustazah banyak menasihati kita supaya mengamalkan bacaan al-Quran, disamping memahaminya apatah lagi ketika ibu mengandung. Al-Quran adalah mukjizat, dan syafaat buat pengamalnya, pembaca dan yang mendengar. Aura al-Quran memberi kesan yang mendalam kepada kandungan.

Kata dan sikap yang positif, menebar marakkan positif buat bakal anak soleh.

Saya dan isteri, berkesempatan menghabiskan satu hari satu juz, sekurang - kurangnya dalam sehari membuka kitab al-Quran. Bacalah walau hanya baca alif lam mim, pahala huruf dikira. InshaAllah.

--------------------------------------------------------------------------
Redha, ketentuan.

Tiada harga yang boleh dinilai, melainkan redha sebagai bayaran. Rezeki Allah tidak siapa menduga, lambat dan segera, dan tidak mampu menahannya dan tidak siapa mampu menolaknya. 

Ada orang 10 tahun kahwin baru dikurniakan anak. Ada juga di uji Allah Taala anak, lahir dan diambil semula oleh Allah pada waktu itu juga. Lautan ujian tidak terduga, lautan rahmat Nya lebih luas jangan diduga.

Bakal ayah dan ibu inilah sikap kita, saya redha apa jua keputusan Allah Taala. Hikmah itu mahal, dan Allah beri petunjukNya melalui hikmah yang tersembunyi. Setiap bakal ibu dan ayah akan melalui skrip yang berbeza. 

Saya faham begini, istimewanya kita di sisi Allah selama 20 tahun membesar kita tidak pernah diabaikan oleh Allah S.W.T. Tidak ada salahnya, jika Allah S.W.T mahu mengambil semula barang pinjamannya.


Oh! syukurlah, bakal ayah!
---------------------------------------------------------------------------------------

Bersambung- RUNNING - PAPA (Episod 2)

Abu Najmi al-Muzzammil
Setapak Permai

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...