By : Selimutsura
Subuh yang tenang,
Kelihatan anak-anak ikan guppy riang ria berenang-renang di dalam akuarium barunya, ada kapal kecil yang sudah karam berlubang di atas dan tengah badan kapal, seekor ikan bandaraya menyedut-nyedut di sudut hujung dedaun rumpai.
"Indahnya alam kalian, walaupun hanya dalam akuarium rasa terpesona melihatnya apatah lagi jikalau di dasar lautan yang dalam, Maha Suci Allah yang tidak menciptakan ini dengan sia-sia" Hemat hati ku melihat akuarium yang kakak baru beli semalam. Makanan palet diberikan sebanyak 3 kali sehari.
Pagi ini agak berlainan sejuknya, biasanya bila wuduk kulit-kulit ini boleh menahan, gigilnya lain macam. alhamdulillah sepanjang bulan ini diri teruji dengan ujian kesihatan diri, mungkin bebanan dan tekanan kerja-kerja luar yang tak sudah-sudah. Memikirkan antara tanggungjawab dan amanah, tetapi badan juga memerlukan kerehatan yang optimum. Mesin pun akan rosak, komputer pun akan "hang!", apatah lagi kita manusia makhluk fitrah memohon pada Allah melindungi diri dari kejahatan makhlukNya.
"Ya Allah Ya Tuhanku, lindungilah aku dari kejahatan jin dan manusia yang mahu memudaratkan ku, tiada yang boleh memudaratkan dan memberi keizinan selain Engkau Ya Allah, Al-Malikul Quddus..aminnn"
Sedar tak sedar rupanya ada yang mahu datang bertandang, "harumanis Ramadhan" label baru jenama tempatan, agak-agaknya apakah kejayaan kita pada Ramadhan yang lepas? Silang ganti setiap tahun menempuh bulan yang mulia, koreksi semula amalan diri dan muhasabah sebentar merenung Ramadhan yang lalu. "Sambil bertongkat dagu, menarik nafas sesalan, apakah sesalan itu?".
Ramadhan 1418H (1997)
"Tuk, kalau Mamat puasa cukup sebulan ni, Atuk nak hadiahkan apa tahun ni?". sengaja mengacau Atuk yang bersandar di kerusi malasnya sambil membaca surat khabar. Atuk cakap "ada la nanti kita tunggu". "Yahooo!!!, berjaya jugak aku". Atuk sangat sayangkan cucu-cucunya, sanggup berkayuh basikal ke pekan mencari mercun dan bunga api untuk kami adik-beradik, faham-faham je la jalan kampung kan, Sg. Sumun tu merupakan ladang pokok kelapa. Jalan penuh lecah dan lumpur. Teringat kami anak-beranak berjalan kaki, mengendong beg ke kampung. Menjadi makanan nyamuk yang kelaparan.
Riuh rendah rumah atuk dengan gelagat kami adik-beradik bermain bunga api dan mercun apatah lagi jarak rumah-rumah jiran agak jauh. Malam itu seumpama milik kami, hanya Allah yang Tahu. Meriam badak berdengung menggegar rumah papan atuk nenek.
Hadith Junjungan Mulia SAW, yang maksudnya :
"Diberikan kepada umatku pada bulan Ramadhan lima perkara yg tidak diberikan kpd mana-mana Nabi sebelumku,
1. Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan, Allah memandang kepada mereka. Barangsiapa yang Allah pandang kpd mereka maka Dia tidak akan sesekali menyeksa mereka.
2. Bau busuk mulut-mulut orang yang berpuasa di waktu petang lebih wangi di sisi Allah Taala (pada hari kiamat lebih wangi dari kasturi).
3. Para Malaikat memohon keampunan utk mereka pada setiap hari dan malam.
4. Allah memerintahkan SyurgaNya dengan firmanNya : (Buatlah persiapan dan berhiaslah utk hamba-hambaKu) Hampirlah mereka dapat berehat drpd keletihan dunia utk datang ke negeriKu & kemuliaanKu.
5. Apabila sampai malam terakhir Allah mengampunkan mereka semua.
lalu berkatalah seorang lelaki : adakah malam itu malam LailatulQadar?,
Baginda SAW menjawab : Tidak, tidakkah kamu melihat kpd para pekerja yang bekerja, sebaik saja mereka selesai bekerja maka upah mereka pun diberikan". (Riwayat Al-Baihaqi)
Berbaik sangkalah terhadap ganjaran Ramadhan oleh Allah Taala kepada kita, mohon keredhaan moga puasa kita tidak tergantung..aminnnn..
"Abg mel, jom temankan pergi kedai TERUSJAYA (TJ)beli bahan-bahan untuk buat biskut", kata adik. Dari kecil lagi kedai runcit ini menjadi pilihan tapi kini sudah berpindah di tepi jalan menghala ke Stesen LRT Datuk Keramat, kedai borong yang menjual barangan runcit dengan harga yang berpatutan. Pemiliknya dulu ada 3 atau 4 kedai tapi sekarang ada sebuah je, mungkin persaingan zaman sekarang adanya Pusat Membeli Belah yang pesat membangun.
Tiap-tiap malam adik ana melihat "Kitab Secret Recipe" nya, untuk menguli dan mengadun biskut resepi sendiri. Rumah menjadi kilang membuat biskut, ana pula menjadi kilang DBKL untuk merasa setiap cubaannya. "Hmmm yang ni sedap, yang ni pun sedap, tapi yang ini pun sedap, tersalah lantik panel perasa la adik ana ni".^0^ Biskut-biskut ini bagi memenuhi tempahan, menambah rezeki keluarga, menyambut bulan yang mulia Ramadhan al-Mubarak nanti.
Ana teruja melihat suasana di Mesir, Jordon, Syria dan di Morocco, mereka menyambut malam-malam Ramadhan dengan biskut-biskut raya, pakaian-pakaian yang cantik-cantik, minum halib, menghias rumah dengan lampu-lampu yang aneka warna, suasana menghidupkan malam Ramadhan yang indah penuh barakah, dan jangan lupa waktu terpenting dan memuncak iaitu menghidupkan sepertiga malamnya dengan Qiamullail, bertahajjud menyembah pengampunan kepada Rabbul Jalil. Titisan airmata pada malam itu adalah teramat sempurna jika kita mengambil peluang ini.
"Ya Allah, andai inilah Ramadhan terakhirku..."
Hijrah Ramadhan,
Ramai orang sudah "set mind"~ sebelum kedatangan Ramadhan lagi atau 3,4 bulan pun dah tercapai akalnya,
Rumah warna apa, baju warna apa, set pinggan mangkuk, set sofa dan ruang tamu, bahkan lagu raya pun sudah berkumandang..aduh yai~ haddoi! (ala-ala Jozan) tapi adakah pernah kita fikirkan apa persediaan kita menghadapi Ramadhan al-Mubarak? Adakah menunggu dengan mengira hitungan hari-hari di bulan Ramadhan? Atau saja penyusunan setiap malam nya dengan malam yang biasa sama sahaja?
Ramadhan merupakan satu Madrasah, sama ada dipenghujungnya kita peroleh keputusan A, A+,A- atau sebaliknya nauzubillah. Sebuah madrasah yang kita masuk ke dalamnya dengan perasaan yang GEMBIRA dan diakhirnya kita memperoleh KEMENANGAN inshaAllah, bulan Al-Quran, bulan pendidikan, bulan maghfirah, bulan teristimewa di sisi Allah Taala, merupakan hadiah buat hambaNya yang mahu ke Madrasah Syurga. Kutiplah sebanyakmana sijil di Madrasah ini :
1. Sepersepuluh awal - Sijil Rahmah
2. Sepersepuluh pertengahan - Sijil Maghfirah
3. Sepersepuluh Terakhir - Sijil Pembebasan dari api Neraka
inshaAllah amin, Madrasah Ramadhan ini kita peroleh MUMTAZ!!! (^^.)
~Ana dengan rasa rendah diri mohon kemaafan kepada semua yang mengenali ana, salah silap harap dimaafi, diteguri, dibetulkan ye..segalanya Allah aminnn...~
Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.