ilham Ma'mum

Khamis, 11 Julai 2013

Emas Syahadah

By : Selimutsura


لا اله الا الله محمد رسول الله



Lafaz itu tetap sama, kalimah syahadah yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat r.a. Kalimah tauhidik لا اله الا الله saatnya para Nabi menyeru kepada umatnya memperhambakan diri pada Tuhan yang hak, Tuhan semesta alam. Kalimah ini jugalah yang menafikan apa jua entiti, bentuk dan kuasa penyembahan selain Allah Azza wa Jalla.

Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat r.a, mempertahankan Islam bukan hanya sekadar kalimah, tetapi pengisian yang tersirat pada lafaz syahadah.


Bagaimana Bilal bin Rabah disiksa kerana mempertahankan ketauhidan kpd Allah Taala.


Bagaimana Handzalah syahid kerana mempertahankan Iman kepada Allah dan Rasul.


Bagaimana keluarga Ammar bin Yasir, bapa dan ibunya dibunuh kerana mempertahankan iman yang terpancar disanubari.


Bagaimana pula, dengan kalimah "bukan sekadar kalimah" ini Saidina Umar al-Khattab dimuliakan di dalam Islam, menguburkan kegelapan dan memacak panji kesucian.


Bagaimana pula dengan kalimah ini, bangsa Turki Uthmaniyyah mampu membuka Kota Konstantinople (1453) dengan menguasai 2/3 dunia.


dan dengan kalimah ini jugalah kita menjadi seorang muslim samada secara warisan mahupun memeluk Islam.




فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ 

"Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" (Muhammad:19)

Disinilah kekuatan yang diraih oleh mereka yang terdahulu berjuang menegakkan kalimah tauhid. Mempertahankan Islam bukan sekadar kalimah tetapi secara prinsipnya bermula dari kekuatan dalaman yang luar biasa iaitu keyakinan dengan faham (ilmu) bahawa Allah Taala hanyalah satu - satunya yang berhak disembah, apa jua yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w bukanlah rekaan seorang penyair, tetapi membenarkan apa yang telah diwahyukan kepada nabi - nabi sebelumnya.


بَلْ جَاءَ بِالْحَقِّ وَصَدَّقَ الْمُرْسَلِينَ


(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya). (As-Saffat:37)

Setiap hari, kita solat 5 waktu sehari semalam. Rugilah orang yang meninggalkan solat. Pada masa yang sama sekurang - kurangnya kita menyebut syahadah sebanyak 9 kali sehari. 9 kali kita mengislahkan iman kepada Allah, sebagai persaksian bahawa aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad utusan Allah.

Acapkali iman kita menurun, tidak konsisten, saham akhirat merudum dan melonjak naik di perimeter yang berbeza. Suhu suam - suam kuku, menyebabkan iman terasa lemah dan malas untuk beribadah, kata - kata yang keluar pula banyak yang sia - sia, lebih bahaya lagi apabila merasa seronok, relax, hepy melakukan maksiat. Nauzubillah.

Apa yang berbeza, masakini cabaran kepada umat Islam terlalu besar. Tiada "shield" atau "protection" yang kuat bagi mempertahankan iman umpama "Rumah Pasang Siap", iaitu kebanyakkan penganut muslim hari ini mewarisi sisi Islam mereka melalui ibu dan bapa. Celik dan bangun sudah beragama Islam. 

Di dunia pekerjaan pula, segelintir kita melabelkan tugas muslim hanyalah solat, zakat, haji, nikah dan harta. Boleh saya katakan, Islam separuh masa atau sepenuh masa? Kita salah memilih jalan, mahu menjadi hamba duit, harta, kemewahan dan perkara tahyul menghantui masyarakat pada hari ini. Oleh kerana itu, Kekuatan syahadah yang kita zahirkan tidak sekukuh orang - orang terdahulu.

أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي جَمْرَةَ سَمِعْتُ زَهْدَمَ بْنَ مُضَرِّبٍ سَمِعْتُ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ قَالَ عِمْرَانُ : فَلاَ أَدْرِي أَذَكَرَ بَعْدَ قَرْنِهِ قَرْنَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا ثُمَّ إِنَّ بَعْدَكُمْ قَوْمًا يَشْهَدُونَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُونَ وَيَخُونُونَ وَلاَ يُؤْتَمَنُونَ وَيَنْذُرُونَ وَلاَ يَفُونَ وَيَظْهَرُ فِيهِمْ السِّمَنُ

Maksudnya:
Syu'bah telah mengkhabarkan kepada kami, daripada Abu Jamrah, aku mendengar daripada Zahdam bin Mudarrib, aku mendengar daripada'Imran bin Husain r.anhuma, dia berkata : “Telah bersabda Rasulullah s.a.w : “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka.” Imran berkata :”Aku tidak tahu samaada disebut selepas kurunnya dua kurun atau tiga kurun. Kemudian sesungguhnya selepas kamu ada satu kaum yang bersaksi sebelum diminta menjadi saksi, mereka mengkhianati dan tidak dipercayai, mereka berjanji dan tidak menepati, dan jelas pada mereka tanda-tanda as-Siman.

(Riwayat al-Bukhari)

Jika solat pun kita susah nak "settle" apalagi perkara lain yang dituntut di dalam Islam. Renung dengan dalam, selami sanubari kita. Mengoreksi penciptaan diri dan manusia, tidak dapat lagi lari dari lingkungan syahadah. 

Mereka bukan hanya mempertahankan "kalimah" pada lapisan luaran tetapi intipati perjuangan yang dituntut oleh Islam. Perkara asas adalah kewajipan menuntut ilmu tidak mengira yang kecil mahupun warga tua. Dengan ilmu melahirkan faham dan kesedaran akan kewujudan paksi keimanan yang kukuh. 

Pak Ustaz pun satu, selalu mudah sebut "kita kena ikut al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan" "KEMBALI pada al-Quran al-Hadis". Ayat - ayat ini terlalu luas, umum untuk diterjemah dalam kehidupan masyarakat. Macam mudah sangat! Apa praktikalnya? Bagaimana pula caranya? Tahap pemikiran masyarakat berbeza, apa yang kita mahu sampaikan mestilah jejak di atas bumi, di atas tanah sebenar bukan di awang - awangan.

Seharusnya begini, "Kita perlu kembali pada al-Quran dan al-Hadis..bagaimana? Carilah ilmu tentang al-Quran al-Hadis, bersama pengajian di madrasah atau seminar2 yang pelbagai, ini antara siri pengukuhan ilmu bagi memantapkan akidah dan ibadah. Tak perlu lah kita melabelkan orang - orang yang disekitar kita, yang paling baik tingkatkan diri dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. 

Berikan contoh, tasawwurkan. Allah itu satu, apa buktinya? Surah al-Ikhlas ada jawapan, dan realiti masyarakat cth: Kalau ketua kampung ada 10 orang apa akan jadi? Sedangkan 2 orang pun karakternya berbeza. Ini baru ilmu dan praktikal. Tetapi tidak semua ayat al-Quran ada praktikal dan dibentuk bahkan perlu pada keyakinan IMAN sahaja cth: gambaran syurga dan neraka, pahala dan dosa. Ini kecantikan Islam yang tidak pada agama lain.

Kesannya, kita akan memahat erti "kalimah syahadah yang betul". Bila iman itu betul, segala bentuk ibadah yang kita tuntut dan pelajari dan diamalkan mudah - mudahan diterima Allah S.W.T. Lorong-lorong menuju ke arah kebaikan (akhlak) menjadi senang, walaupun ada onak dan duri namun muslim yang kuat imannya, pada sisi hati dia tahu, keyakinan untuk meletakkan dirinya pada paras hamba Allah yang cemerlang.

Iman yang meningkat bukan dengan rasa-rasa, bila ada rasa-rasa timbul riak dan rasa hebat, sepatutnya kita lebih rendah hati, rendah diri pada Allah, merasai kekurangan yang banyak, dan ter-motivasi untuk menjadi Muslim yang berkeyakinan tinggi, fikrah al-wadih di dalam merealitikan Islam sebagai cara hidup.



لا اله الا الله محمد رسول الله


Semangat juang dari kalimah ini, meletakkan mulianya insan disisi Allah Taala, menyeberang jambatan usia, warna kulit, pangkat, kekayaan dan sempadan negara. Dengan itu, Allah Taala redha, dan keutamaan keredhaan Allah itu sangat bernilai berbanding segunung emas setinggi gunung EVEREST.

Wallahua'lam, mohon teguran.

menjadi tinggi disisi Allah Taala
Selimutsura
KDK Kuala Lumpur|3 Ramadan 1434H|12 Julai 13

Rabu, 19 Jun 2013

Pemuda Bertopi Mengkuang

By : Selimutsura

..glurp..glurp..glurp..

"Wah, puasnya!!! Terik sungguh, pekena se-das air sejuk memang lega." Pemuda berambut ikal itu bersandar di sebatang pohon kekabu diletakkan topi mengkuang dan di silang tangan ke belakangnya, mata pun dipejam..pohon kekabu itu lah satu-satunya tempat yang paling sesuai untuk berehat.. Ia menjadi medan para petani melelapkan mata, mengadu jerih, meluah rasa, hiba dan gembira.

Angin menghembus siulan, padi-padi menguning turut teruja mendendang puisi dan cinta pada Pencipta. Nyanyian beburung yang hinggap di pohon kekabu menjadikan suasana tidak keruan, cakap-cakap kecil beburung itu mengejutkan pemuda tersebut. Di dongakkan kepala ke atas terdapat sarang burung tempua. Bercicipan anak-anak burung yang kelaparan menunggu kepulangan ibunya.

"..Hebat, rumah kecil tapi bahagia, Allah bagi kau burung tempat tinggal di atas yang diperbuat dari ranting-ranting kayu sahaja, rumah kau burung tidaklah nampak kukuh kerana tergantung dan terdedah, namun kau ibu burung merasai ia cukup selamat dengan meninggalkan anak-anakmu di atas, dan anak-anak burung menunggu-nunggu kepulangan ibumu dengan sambutan, dan ibumu datang menghulurkan..begitulah kasih sayang, apatah lagi kasih sayang Allah Azza wa Jalla..yang Maha Luas dan Maha Hebat.."

Pemuda itu memakaikan topinya, dia mengambil cangkul dan beg sandang berisi botol air. Dia memandang semula ke atas, anak-anak burung tempua itu semakin bising kerana ibu burung telah sampai mendaratkan makanan ke mulut-mulut anaknya. Satu per satu makanan disua.

"..Aku diberi tempat tinggal yang lebih baik, namun aku lebih senang berada sini wahai burung, lebih tenang, lebih sejuk dan kalau pun suara bising itu datang dari alam ciptaan Allah..ini lebih ku sukai, kerana di sini banyak kasih sayang..

...aku berdiri, angin pun memberi kasih sayangnya, aku duduk..tanah pun memberikan kasih sayangnya, aku bersandar..kekabu memberikan kasih sayangnya, dan ketika aku haus..air ku teguk sepuas-puasnya itulah juga nikmat kasih sayang dari Allah S.w.t kepada setiap hamba, lebih hebat kepada sesiapa, benda, tumbuhan, haiwan, gunung, laut..semuanya."

Pemuda itu pun berlalu, berjalan pulang membawa sebungkus nasi dan botolnya. Dia anak yatim piatu..namun hatinya ada Allah S.w.t, memegang erat kasih sayangNya dengan perginya dua insan kesayangannya.

Kalau lah tiada angin, tegak kaku padi-padi tanpa lambaian.
Kalau lah tiada pohon kekabu, suara beburung pun tidak menjadi teman
Kalau lah tiada kasih sayang Allah Azza wa Jalla, tiadalah pemuda puas minum air, tiadalah kenyang anak-anak burung, tiadalah dan tiadalah..dan tiadalah..

Bagaimana Allah membahagi kasih sayangNya? Jangan kita fikirkan, apakah kita sudah membahagikan kasih sayang pada semua orang? Termasuk makhluk-makhluk Allah S.w.t yang lain.

Selamat mengundang kasih sayang Allah Taala dalam kehidupan, barulah kasih sayang yang lainnya datang. Wallahualam sekian.


merendah hati dibumi Allah
Selimutsura 
Kampung Dato' Keramat, KL
9 Syaaban/18 Jun 2013

Khamis, 6 Jun 2013

Aku Mencintaimu

By : Selimutsura



Aku mencintaimu, 
karna kau seumpama bintang
meski jauh kau tetap dekat

meski terkadang diam kau tetap bercahaya
jauh di relung jiwa

Aku mencintaimu, karna kau seperti Dian
yang menyala-nyala di dalam dada
menghangatkan jiwa
terus hidup dalam segala cuaca

Aku mencintaimu, karna aku harus mencintaimu
rukuk dan sujudku membuatku rindu

kukatakan padamu
Aku mencintaimu

yah…
Aku mencintaimu..
kau dengar itu..
Aku mencintaimu karna rukuk dan sujudmu pada Tuhanmu
Aku mencintaimu
karna kita… satu jiwa …yang padu

(Relung jiwa Ustaz Ilyaz membaca syair oleh Ayatul Husna KCB)

Jalan Ipoh. 07062013. 11.49 Pagi
Selimutsura
Menjadi hamba yg tinggi disisi DIA, menjadi rendah dibumi DIA.

Rabu, 5 Jun 2013

Bertemu Insan Agung - Rasulullah s.a.w

By : Selimutsura

Ya Rasulullah
Bila saja namamu disebut - sebut
Jantung ku menjadi hampa
Aku asyik menangis
Di mana boleh ku jumpa
Agar hatiku tenang
Istimewa benar yang mampu mengunjungimu
di Madinah, Kota Cahaya
Lebih bertuah, sahabat-sahabatmu
walaupun sekelumit melihat
Iras wajahmu yg mulia
Inikan pula, kini ku hanya menatap jejak
yang kau tinggalkan

Ya Rasulullah
Aku tidak pandai mengirim cinta
Tidak bisa mendengar kisah jerih mu
Walaupun hanya kisah Bilal dan cintanya
Menambah sebak

Di mana kan ku usir airmataku

Sedangkan ia sudah mencintaimu

Aku mahu jadi seperti mereka
Kuatnya jiwa mempertahankan mu
Kerasnya jasad sanggup diluka
Benak hati, menanggung sakit
Tak terubat dan tiada ubat
tetapi
Bila namamu berkumandang
Allah...hatiku sungguh sayu
tetapi aku malu
Cintaku tidak sehangat cintamu yg mulia

Ya Allah, kalau boleh ku mahu berpeluang bersama Rasulullah s.a.w
Walaupun mustahil orang seperti aku, mahu menatapnya yang mulia di dalam mimpi sekelip-pun.

Ku percaya

Benar-benar cinta itu, membawa pada apa yang dicinta
Nanti di syurga.
Amin.

*Tidak semua antara kita yang mampu membuat semua sunnah Rasul, kemampuan itu ialah apa yang kita usahakan untuk istiqamah, bukan melakukan banyak tetapi tidak konsisten, dan jangan anggap mencintai Nabi s.a.w hanya dengan beramai-ramai, bahkan duduk seorang diri sambil mengingati, dan airmata mengalir itu lebih mendalam pada jiwa, duduk berseorangan sendirian itu juga sunnah Rasulullah s.a.w. 

Sekadar kesedaran, dan kongsi apa yang terbuku. Saya bukanlah orang baik, tetapi mahu jadi baik..inshaAllah =)

05062013
Jam 11.19 mlm
KDK
Kampung Datuk Keramat

Selimutsura


Isnin, 3 Jun 2013

Di Belahan Jiwa

By : Selimutsura

Di Belahan Jiwa



Dengan namamu Ya ALLAH
Kubelai lafaz saktiku
Merelakan tirai cintaMu
 Mengisi ruang jiwaku

Kau hadirkan belahanku
Ternoktah di malakut Mahfuz
Rembulan sudah berteman
Yang tersurat lama tersirat

Dengan namamu Ya ALLAH
AgamaMu dipersada cintaku
Meraba sinar yang membisu
Terangnya jalan disuluh cemburu

Kau hadirkan sebelah jiwaku
Sebagai suri dan pembantu
Penyeri dan pengukuh cintaku
BuatMu dan Rasul

Di belahan jiwa
Ku titipkan dia



04062013 – 1.17 Pagi-Selimutsura 

Khamis, 23 Mei 2013

Hati Seluas Langit

By : Selimutsura

Bismillah..

Lama sudah tidak ku tulis diwarkah ini. Kalau ditinggalkan lama ia akan karam. Saat hati sudah mula rindu semula untuk menulis, banyak lontaran idea dan karya yang Allah Taala ilhamkan. Mudah - mudahan Allah memudahkan, dan meluaskan ilmu yang tersimpan agar tidak terus membeku menjadi ketulan ais, harap - harap ais itu akan mencair dibawah sinaran cahaya keimanan, inshaAllah.

Allah membukakan pintu - pintu rezeki yang luas. Seadanya pelbagai perkara datang dan pergi sebagai satu filem kehidupan. Ia berputar memainkan segala cerita, detik genting dan balik semula kembali reda. Ketetapan Allah mencakupi timbangan keadilanNya, Maha Mengetahui yang terang dan sesuatu yang tersembunyi di carta hati.

Subhanallah, bagaimana Allah Taala menciptakan makhluk yang bernama hati? Maksud saya bukan hati yang berbentuk itu, tetapi hati yang mempunyai rasa, tersentuh bila melalui fasa-fasa kehidupan. Bila dapat perkara yang seronok, hati pun tersenyum, berkenan katanya. Apabila terkena perkara yang sedih dan luka, hati juga akan menangis, merajuk. Allahuakbar..hebat sungguh Allah, tetapi hati yang menangis kerana merasai keseronokan beribadah kepada Allah itu, adalah satu tahap yang tinggi.

Masa yang diberikan Allah terlalu singkat, kita disibukkan dengan pelbagai perkara. Kadang-kadang hati ini merasa sempit, terhimpit. Saya takut menjadi benak dan lelah, sukar untuk menghela dan menghembus nafas. Sebagai muslim perlu tahu, kesukaran itu disusuli dengan kemudahan, Allah Taala bukan sengaja tetapi Dia tahu kemampuan makhlukNya, bagaimana seekor semut mengangkat bebanan 5 kali ganda lebih besar dari saiznya yang kecil?

Hati yang bersih mampu membawa sebesar manapun bebanan yang ditanggung. Waktu kita diuji Allah, diberi penghalang dan pelbagai masalah bukan Allah tidak mendengar rintihan dan permintaan tetapi itulah peringkat-peringkat kafarah, bagi melebur dosa-dosa yang berkunjung dihati. Hati putih, jasad perbuatan juga akan putih. Ini antara jalan penyucian hati untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Namun begitu, jangan kita sangka hanya dengan cara kesusahan dan kesukaran itu sahaja bentuk ujian. Kebaikan dan kesenangan juga merupakan ujian yang tidak nampak oleh mata kasar. Dengan mata hati yang bersih, orang-orang beriman sentiasa berhati-hati dengan pujian, pemberian dan buaian prasangka baik pada diri. Allah Taala menghadirkan solusi dengan membuang pakaian bangga diri dan riak, barulah hati benar-benar akan merasai halawatul-iman.

Alhamdulillah, begitulah serba ringkas yang mampu saya sisipkan sebentar diruang ini. Cinta saya pada penulisan blog ini masih beraja dihati.

Sekian kali, wassalam.

Malam Jumaat, 24hb Mei 13
Jam : 1.23pg

Rabu, 8 Mei 2013

Selimutsura - Rooftop Prince

By : Selimutsura
Usahawan Cendoi Makan Sendiri
Subhanallah, segarnya dunia beriring tasbih. Lihatlah gumpalan awan yang berupa pelbagai, di langit biru ia dipandu oleh angin, membawa muatan rahmat dan hikmat. Bagaimana ia boleh bertahan tidak menimpa bumi selagi belum menerima arahan? Lihat pula sehelai demi helai, dedaunan gugur ditiup angin di balik jendela kereta, daun - daun kering hanya mengikut rentak tiupan, bertebaran memenuhi tanah rata. Bagaimana ia boleh gugur ke bumi jika sudah menerima perintah?

Sukar tak menafsirkan bahasa-bahasa saya? Saya mahu sama kita berfikir, tentang alam sekeliling, yang ianya juga makhluk Allah. Bagaimana ia taat, mengapa ia taat, apakah simpulan yang serupa sedangkan kita juga makhluk Allah, kitaran kehidupan yang bermula dengan setitis kehidupan ke dalam rahim. Lalu membahagikan kehidupannya bersama makhluk lain, apatah lagi dianugerahkan makhluk paling di cintai Allah sebagai penyelamat. Segalanya bermula dari seketul daging, baik-maka baiklah seluruhnya dan sebaliknya.

-Tribute- Untuk blog penulisan terbaru saya, inshaAllah "------------.blogspot.com" Rahsia..

Pada blog ini, penulisan lebih serius dan matang, nantikan apa sebenarnya tema blog kali ini. Mudah-mudahan ilmu yang digarap di dalam blog ini memberi manfaat, lebih menyeronokkan timbul kesedaran buat pembaca-pembaca. 

Blog "Najmeeqamar.blogspot.com" sejak 2009  banyak membantu saya alhamdulillah, ia sebagai tempoh ujian bagi saya mengasah bakat dan meningkatkan gaya penulisan blog. Nama pena tetap sama saya sebagai "Selimutsura", biarkan nama ini sentiasa rimbun di hati para pembaca, menambah syahdu dengan mengingati Allah dan junjungan Nabi Muhammad s.a.w...InshaAllah.

Just a simple greeting from me, Selimutsura- ~Rooftop Prince~(^^,)

Blog ini "Najmeeqamar.blogspot.com" akan lebih kepada Diari hidup saya.

Blog baru nanti akan diwar-warkan ya! Syukran jami'an bi ihtimamikum~
Mudah-mudahan ini permulaan yang baik..aminnn..

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...