By : Selimutsura
Eimam Ukail keletihan berjoging di Taman Tasik Titiwangsa, terkenal dengan tasiknya yang luas. Antara taman rekreasi yang menjadi pilihan orang ramai untuk beriadah di Lembah Klang. Dia pun melabuhkan punggung di kerusi batu, mengambil nafas selepas dua kali membuat pusingan sekeliling tasik.
Panorama tasik tampak cantik diserikan lagi dengan pancuran air pancut setinggi 20 kaki, di balik pepohonan kelihatan pencakar langit berkembar tertinggi di dunia, ditemani bangunan-bangunan lain bagaikan cendawan tumbuh bugar. Ada saja konstruk batu-bata baru yang akan naik saling bertanding lebih tinggi.
Sayup-sayup angin pagi menyapa. Sang suria masih segan-segan memperkenalkan dirinya, tatkala unggas-unggas sudah menawan angkasa. Eimam tergumam mengilas pandangannya di dasar tasik, rerumpai begitu sesak, sekali-sekali ada beberapa anak ikan bermain di sekitar rerumpai tersebut. Dilempar satu batu..'bluurrrp...' tenggelam ke dasar tasik.
Dia berdiri semula, selepas 10 minit berehat.
Kali ini, Eimam hanya berjalan biasa. Mahu saja dia berlari semula namun dia sudah penat, kakinya bagai diikat pemberat. Mentari menjadi begitu hangat, apatah lagi dalam keadaan berpeluh, keringat semakin laju membasahi jersi Harimau Malaya kuning hitam.
"Sedapnya kalau dapat minuman sejuk masa-masa letih macam nih..nikmatnya.." Genta hati Eimam. Lalu dia terlihat sepasang kekasih, begitu mesra sekali. Lelaki itu memimpin tangan kekasihnya, walaupun sudah tidak mampu untuk berlari, hanya berjalan kecil. Seorang pakcik dan makcik dalam lingkungan 60-an. Wajah mereka tua, tetapi semangat bagaikan pasangan pengantin baru. 'Macam belangkas'. Baguslah.
Singgah di satu gerai, Eimam pun memesan air mineral dan air tin.
Bismillah..
Diteguk air minuman itu, menghilangkan sedikit dahaga. Riuh-rendah kanak-kanak sudah tidak dipeduli, walaupun gerai itu terletak di ruang tempat rekreasi kanak-kanak seperti buaian, jongkang-jongket, gelungsur dan sebagainya. Ada juga Ibu Ayah yang sedang sibuk bermain badminton bersama anak-anak mereka, santai bergelak tawa. Sekumpulan pelajar sekolah beruniform pengakap sedang berkawad di tapak luas berdekatan gerai.
Satu tempat yang paling Eimam gemari adalah ke trek kereta kawalan jauh. Para pemain berdiri di rumah tinjau, mengawal dari jauh kereta-kereta lumba mereka. Mereka sedang bersaing, ditujah laju dan kawalan belok. Seakan-akan seperti berada di FI Circuit, Sepang. Sudah jelas pemenangnya adalah pemilik kereta BMW merah, berbadan besar berbaju belang.
Selesai meninjau-ninjau trek kereta, Eimam mengambil kereta dan berlalu pulang.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Begitu cantik susunan dan aturan Sang Pencipta. Bagaimana matahari, tidak melulu menurut nafsunya untuk memancarkan cahaya. Air-air menelusuri dari hulu ke hilir tanpa sedikitpun derhaka mahu ke hulu semula, menjadi tempat teduh lebih 70% hidupan, malahan 2/3 dunia adalah air, jasad manusia juga majoriti 65% mengandungi air.
Allah Taala sudah menetapkan sukatan.
Hadirnya manusia atas dunia, sebagai pelengkap kepada ketaatan kepada ALLAH. Selaan hembusan nafas kita, keluar masuk oksigen dan karbon dioksida membekalkan fungsi yang berbeza. Proses kitaran jantung yang berterusan membolehkan proses metabolisme sempurna. Kalau jantung itu tidak taat, lenyaplah hayat serta-merta.
Allah Taala "menggunakan kawalan jauh/wireless" mengatur sisi kehidupan makhluk.
Kalau kita sudah tua, memerlukan teman penolong. Mahu menguruskan kerja-kerja rumahpun kita menggunakan khidmat "amah". Menumpang kepakaran-kepakaran orang lain, kerana pengetahuan begitu terhad, bahkan kudrat tidak lah seperti "superman". Tanpa yang membantu, dan idea yang pelbagai kita tidak mampu membuat gerai makan.
Allah Taala "Tidak meminta pembantu, atau dibantu".
Jangan kita hanya berfikir, ALLAH Taala mengatur hanya kehidupan di bumi sahaja.
Bagaimana pula di Marikh, Zuhal, Pluto dan planet-planet lain? Alam bima sakti kita hanyalah kecil berbanding dengan alam bima sakti yang lain. Tidak mustahil alam yang lain.
"ALONE..only One."
Allah Taala, tiada yang sejawatan denganNya. Allahuakbar.
Apakah kita masih gagal mentaatiNya?
Asal kejadian dari salur yang hina.
Menjadi pembantah yang keras,
Padahal lemah dan sangat perlu dibantu.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Ayat-ayat Cinta
- {Aj-Jathiyyah | 36} Allah Pemilik Jagatraya
- {Al-Fathir | 15} Manusia Perlu Dibantu
- {Ar-Rum | 21} Kasih Sayang Allah yang Mengikat
Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.