ilham Ma'mum

Rabu, 6 Januari 2010

Mari Miliki "BUKU BARU TERBITAN INHAD 2010"


NajmeeQamar

BUKU BARU TERBITAN INHAD 2010, DAPATKAN SEKARANG DENGAN HARGA RM 80.00 SAHAJA.


PENULIS :

PENGARAH INHAD : USTAZ HJ. MOHD FARID RAVI ABDULLAH
PENYELIDIK INHAD : USTAZAH AFIFAH


SINOPSIS BUKU : IMAM AL-BUKHARI


Imam al-Bukhari, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju’fi al-Bukhari (194H–256H) adalah seorang tokoh Hadis yang paling unggul dalam sejarah perkembangan ilmu Hadis. Anak kelahiran Wilayah Bukhara ini terkenal dengan karya agungnya ‘Sahih al-Bukhari’ yang dinobatkan sebagai kitab kedua paling sahih selepas Kitab al-Qur’an. Sehingga ke hari ini karya beliau masih berbisa dan relevan di kalangan cendiakawan Islam dan masih berdaya menginspirasikan penghasilan lebih banyak karya-karya ilmiah yang bermutu tinggi.

Justeru, Biografi Imam al-Bukhari diterbitkan bagi menyampaikan tentang asal-usul, keperibadian, akhlak, pendidikan, pengajaran, konflik, sejarah kehidupan dan pemergian beliau ke rahmatullah bagi menyuntik aura semangat jitu beliau ke dalam jiwa para pembaca berbahasa Malaysia agar dapat menjadikan beliau seorang idola untuk berjaya. Lihatlah, walaupun beliau telah yatim sedari kecil, ia bukanlah satu alasan untuk terbiar ketinggalan dalam aspek pendidikan. Bahkan membuatkannya mara dengan lebih gigih. Malah telah berjaya membangkitkan revolusi canggih pembukuan ilmu melalui metode kajian akademik yang sangat sistematik dan komprehensif bermula dari peringkat awal pengajiannya lagi.

Anugerah memori fotografik dihargai sepenuhnya dan disalurkan oleh Imam al-Bukhari semanfaat mungkin pada jalan Allah. Dalam tempoh hidupnya, beliau dilaporkan telah menuntut dengan lebih daripada seribu (1018) orang guru – walhal insan zaman siber sekarang ini pun belum tentu mampu menuntut dengan 100 orang guru, sekalipun berpeluang mendapatkan pendidikan secara ‘online’. Betapa beliau tegar menjelajah negara-negara sekitar wilayahnya walau beratus ribu kilometer radius dengan hanya bergantung kepada pengangkutan tradisional.

Prodigi ini juga telah mula diberi kepercayaan mengajar ilmu Hadis sejak berusia 17 tahun lagi. Kehebatannya menjadi buah mulut orang ramai segenap ceruk rantau pada ketika itu. Hal ini membuatkan beliau diuji oleh khalayak ilmuwan berulang kali bagi mengesahkan khabar yang tersebar. Akhirnya, mereka semua terpaksa akur pada hakikat anugerah kehebatan beliau. Seolah-olah beliau diciptakan untuk memelihara dan memulihara ilmu Hadis semata-mata.

Hal ini telah memartabatkan status ‘mahaguru’ beliau dalam bidang Hadis. Beliau juga mewariskan saripati khazanah ilmu yang telah dikumpulkan melalui Wasiat Ruba’iyyatnya yang mengkagumkan buat bekalan para penuntutnya yang tidak terkira banyaknya. Ramai juga yang tidak senang dengan prestasi dan kemasyhuran beliau ini. Mereka menimbulkan begitu banyak mehnah dan tribulasi sepanjang perjalanan hidup beliau sehingga diusir hatta dari kampung halaman sendiri. Sekalipun terjejas kehidupan beliau dengan fitnah yang dilemparkan bahawa beliau pendokong ideologi al-Muktazilah: “al-Qur’an itu Makhluk”, namun, beliau tetap teguh mempertahankan akidah ahli Sunnah wa al-Jamaah. Pahit maung yang ditelan selama ini akhirnya membawa kepada ajal beliau di Khartank, Samarkand pada 1 Syawal 256H bersamaan 31 Ogos 870M.

ALAMAT PEJABAT :
Tel:+603-8925 4251 ext 1119/3394
Fax:+603-8926 6279
Emel:webmaster@inhad.org.m
y


Hadith Research Institute Selangor (INHAD)
SELANGOR INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY COLLEGE (KUIS),
Bandar Sri Putra, 43600 Bangi, Selangor, MALAYSIA

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...