ilham Ma'mum

Rabu, 3 Ogos 2011

TRIV RAMADHAN 1

By : Selimutsura


Assalamualaikum, ahlan bikum

inshaAllah di sepanjang bulan yang berkat ini, blog www.najmeeqamar.blogspot.com akan berkongsi ilmu, amal dan pengalaman melalui slot Trivia Ramadhan. Kupasan kisah-kisah Nabi, perjalanan ibadah puasa, tips-tips, dan apa-apa yg berkaitan dengan bulan yang barakah ini. Moga ia memberi sedikit input tentang hikmah ibadah di bulan Ramadhan.

Trivia Ramadhan 1
(Kisah – Kisah Pengajaran)

Pohon Kurma Berbuah Tiba-Tiba

Sumber : Himpunan 40 Kisah Mukjizat Nabi Muhammad SAW
Penerbit : Galeri Ilmu
Penulis : Zuraimi Ismail
Muka surat : 110-114
Disediakan & ditaip semula : Selimutsura

Nabi Muhammad SAW tidak pernah menghampakan siapa sahaja yang datang mengadu masalah kepadanya. Sehinggakan jika orang yang dating itu meminta sesuatu yang tidak dapat Nabi SAW berikan, Baginda SAW akan menyuruh orang itu mendapatkannya di pasar.

Beli secara berhutang dan hutang itu akan dibayar oleh Nabi SAW nanti. Jika masalah yang dapat diselesaikan  atau ditolong dengan cepat, Nabi Muhammad SAW tidak akan melengah-lengahkannya.

Pada suatu hari, seorang sahabat bernama Jabir bin Abdillah r.a datang mengadu hal kepada Nabi Muhammad SAW. Jabir menghadapi satu masalah yang tidak mampu diselesaikan.

Ayahnya meninggal dunia dengan meninggalkan hutang yang banyak. Jabir menghadapi kesusahan kerana orang-orang yang memberi hutang kepada ayahnya datang menuntut hutang mereka daripada Jabir.


“Apa yang harus saya buat wahai Rasulullah? Jabir bertanya, selepas menceritakan masalah yang dihadapinya. “Saya tidak mempunyai wang atau harta untuk membayar hutang ayah saya yang sangat banyak.”

Nabi Muhammad SAW tidak segera menjawab. Barangkali member peluang kepada Jabir bertenang sebentar. Baginda SAW sangat memahami masalah sahabatnya yang setia itu. Nabi SAW cuba sedaya upaya yang boleh.

“Oh, ya saya cuma memiliki sebatang pohon kurma. Tetapi sudah dua tahun pohon kurma itu tidak berbuah. Jika pokok itu berbuah, mungkin ringan sedikit masalah saya,” kata Jabir lagi.

“Tunjukkan di mana  pohon kurma itu,” kata Nabi Muhammad SAW.
Jabir membawa Nabi SAW ke tempat pohon kurma yang dia katakana. Memang benar pohon itu tidak berbuah. Keadaannya seperti tidak bermaya hendak hidup lama. Nabi Muhammad SAW mengelilingi pohon itu sambil  membaca doa.

Selesai berbuat demikian, Baginda SAW menyuruh Jabir memanjat pohon itu. Sungguh luar biasa. Pohon kurma yang tadinya tidak berbuah telahpun mengeluarkan buah yang banyak. Buahnya pula sudah masak dan dan boleh dipetik.

Tidak terucap betapa gembiranya Jabir dengan kejadian yang sangat ajaib itu. Dapatlah dia melunaskan hutang-hutang yang ditinggalkan oleh ayahnya. Ada yang perlu dibayar dengan buah-buah kurma segar itu dan ada yang perlu dibayar dengan wang hasil daripada jualan kurma itu.

Selepas semua hutang ayahnya dijelaskan, Jabir mendapati kurma masak berkat MUKJIZAT Nabi Muhammad SAW itu masih banyak lagi di atas pokok. Jabir bin Abdillah r.a memanfaatkan pula lebihan kurma itu dengan bersedekah.

Besar sungguh kemuliaan dan rahmat yang Allah SWT turunkan bersama kekasihNya, Nabi Muhammad SAW. Dalam kisah Jabir bin Abdillah r.a ini, dia bukan sahaja beroleh pahala kerana melunaskan semua hutang peninggalan ayahnya, tetapi juga mendapat lebih ganjaran pahala dengan bersedekah.

Rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukan sahaja untuk kebaikan di dunia, malah turut menjanjikan kebaikan di akhirat. Rahmat yang menjadikan keimanan seseorang kepada Allah SWT semakin teguh dan kuat.

Ia juga menjadikan rasa cinta, kasih dan sayang orang Islam kepada Nabi Muhammad SAW semakin bertambah-tambah. ^^.)

(Info Ramadhan)

Rasulullah SAW sempat sepanjang hayatnya berpuasa sebanyak 9 kali Ramadhan sejak disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah.

Sumber: Rujuk al-Sahih, al-Tahrir wa al-Tanwir


Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...