ilham Ma'mum

Rabu, 27 Jun 2012

Saya Mahu Menjadi al-Fateh 2

By : Selimutsura
Bersama Syamsul menghirup angin Casablanca
Belajar dari orang Turki
Tut..tut..tut..saya menerima satu pesanan sms, malam tadi.
"Selam u aleykum saya malam ini akan pulang Istanbul, saya akan datang ke Malaysia September, jumpa lagi insaAllah" - Fatih Kaya

Sambil ku tersenyum melihat mesej tersebut. Fatih Kaya, seorang sahabat Turki yang baik hati. Saya sangat mengagumi cucu-cicit Sultan Uthmaniyyah ini. Rupa-rupanya sudah hampir 2 tahun saya mengenali Agabey Fatih. Bahkan wajahnya iras-iras Sultan Muhammad al-Fateh, kulit cerah, hidung mancung, rambut hitam berselang putih, bertubuh tegap seperti tentera. Anggapan saya, mungkin rupa bentuk Jannisari dan tentera Uthmaniyyah itu begini. Wallahua'lam.


Nasilsin? (apa khabar?)
jawab: Iyiyim, tesekkur edirim. (khabar baik, terima kasih) kalau bahasa KL - Trimas!

Bila bertemu pertama kali, seperti sejak lahir berkenalan. Betapa eratnya silaturrahmi  kami umpama adik-beradik yang sedang duduk hari-hari bercakaran yang memberi kesan. maksudku bercakaran itu berkongsi cerita, ilmu dan pengalaman. Apatah lagi saya ini ilmunya kurang, banyak yang perlu diperbaiki InshaAllah.

Akhi Mukhlis, sahabat yang memperkenalkan saya dengan Fatih dan Harun. Hari pertama layanan sangat istimewa seperti tetamu kehormat, makan masakan turki dan memang begitulah cara mereka menghormati tamu. Fatih begitu fasih berbahasa Melayu, kadang-kadang tercengang dibuatnya kerana terlalu petah berkata. Mereka menguasai bahasa ibunda kita, saya? Sultan Muhammad al-Fateh menguasai 6 bahasa.

Mukhlis- Teman pengajian saya semasa di Sek.Men.Agama Kuala Lumpur, sudah bernikah dengan bunga dari Turki yang bernama Aslihan Guven. Alhamdulillah, dikurniakan seorang bidadari Nilufer. Saya asyik memasang telinga mendengar kisah, bibit-bibit cinta antara 2 benua mereka, Rabbunallah..Hua a'lamu,itu sudah tertulis di luuh mahfuz.

Waktu-waktu yang lapang, saya melangkah berkunjung ke rumah mereka. Cay (teh) sudah tidak asing lagi bagi saya. Uniknya cay Turki sangat halus rasanya, murni dimulut, yang membuatkan saya suka apabila gula di campur asing. Boleh mengawal penyakit kencing manis yang dihidapi lebih 60% penduduk Malaysia.

Apa yang menarik? Tentang Fatih, dia sangat bersungguh untuk saya ke Istanbul bumi syuhada', bumi yang menjadi saksi kebenaran hadith Rasulullah S.A.W. Siapa yang tidak kenal dengan Sheikh Jalaluddin ar-Rumi dengan Mathnawi-nya, tokoh sufi yang alim-moga Allah merahmati. Siapa pula As-Syahid Abu Ayub al-Ansari, sahabat Rasulullah S.A.W yang mewasiatkan untuk dikuburkan berdekatan tembok Kostantiniyyah. Siapa pula yang mengibarkan panji Islam di puncak keruntuhan Byzantium, kalau bukan Hasan Ulubate tika Sultan Muhammad al-Fateh dan Sheikh Samsuddin mengoborkan semangat. Subhanallah!


Saya sangat mencintai sejarah, gambar-gambar kenangan sirah perjuangan Rasulullah S.A.W dan anbiya', para sahabat yang gemerlap bak bintang di jendela angkasa, tabi' tabiin yang mulia-moga Allah merahmati, wali-waliyullah, dan alim-ulama-salaf-khalaf-mua'sirah. Meneladani Tuan Guru Hj. Hadi Awang, menggunakan metode penceritaan sirah dan sejarah sebagai hujah, kerana sejarah itu pasti-akan berulang kembali. Belajarlah dari sejarah!


Sejarah kita ada kesan yang luas, terutama kehidupan. Segenap penjuru yang telah ditempuhi ke atas diri masing-masing adalah sejarah. Sejarah mampu mengubah ammarah jadi ramah, mengubah si miskin jadi si poket penuh, mengubah duri jadi mawar, mengubah si rendah jadi tinggi, walau papa tapi kaya dengan ilmu, iman, akhlak. (itu maksudku). Setinggi langit pun istana, jika tiada yang maksud ku itu, sia-sia.


Dia Fatih, akan menepuk dibelakangku dengan kuat sekali kadang terdengar bunyi "kedebuk!" itu la tanda kemesraaan seorang abang kepada adiknya. Bukan sengaja, saya pun sudah biasa. Mungkin itu lebih memberi kesan kepada ukhwah kami. Masakan Maqlubey, dihidang dan dijamah bersama dalam talam..berkat-berkat.


Hari ini hanya mesej ringkas dari saya, ishaAllah ada yang seterusnya untuk tajuk ini. Masih berhutang tentang strategi al-Fateh dan kaitan dengan kerajaan-kerajaan Islam sebelumnya. Mohon maaf segalanya, masa sangat cemburu, sepanjang hidup kita adalah student, memperbaiki diri menjadi tinggi disisi DIA, menjadi hambaNYa serendah di bumi. Amin. =)

Jumaat, 22 Jun 2012

Menuju Ramadhan Terindah

By : Selimutsura
Salamullahi alaikum wa rahmatullahi barakatuh, dengan harapan berseri-seri mendakap cita-cita, menuju menjadi hambaNya yang tinggi disisi Dia, dan serendah hambaNya dibumi.


InshaAllah! Ramadhan yang dinanti bakal tiba, celik pejam celik kita sudah kembali ke penghulu segala bulan. Ketertinggiannya dalam daurah autoriti buat umat Nabi Muhammad S.A.W khususnya, kita wajib bersyukur  kerana dimuliakan oleh Allah dengan adanya Nabi terbaik, umat terbaik, ganjaran terbaik, lipat ganda pahala terbaik, ampunan yang seluas-luasnya, dijanji kemuliaan oleh Allah sebaik-baiknya.


Ramadhan, bulan penyucian dan pembersihan rohani dan jasmani. Sebelum menuju ke gerbang Ramadhan terindah, ingin saya kongsikan siraman ilmu dari siri pengajian bersama Ustaz Zamri al-Mantop yang saya telah cernakan dalam buku nota. Betapa pentingnya kaitan REJAB dan SYAABAN dalam menjayakan misi ke RAMADHAN.


Ejaan REJAB tiga serangkai (Ra|Jim|Ba)
Ra= Rasulullah S.A.W
Jim= Jibrail A.S
Ba= Buraq


Rejab, Isra-Mikraj yang penuh keajaiban keimanan!Solatlah!
Tanggal 27 Rejab, kekasih Allah-Nabi Muhammad S.A.W telah dibawa menaiki buraq bersamanya Malaikat Jibril A.S. Pernah diriwayatkan (kitab Fathul Bari) bahawa ketika itu Rasulullah S.A.W dirumah isterinya Ummu Hani. Perjalanan Nabi Muhammad S.A.W bermula dari situ. Para ulama pernah membincangkan ada yang menyatakan masa perjalanan Nabi Muhammad S.A.W mengambil masa satu malam sahaja, bahkan lebih cepat dari itu dalam jangka hanya 15 minit. Ini tidak mustahil. Subhanallahh!


Perkara pertama yang dilakukan Baginda S.A.W tiba di Masjid al-Aqsa ialah menunaikan solat sunat terlebih dahulu. Bukan singgah makan dulu, nak singgah R&R mana, atau nak shopping dulu. SOLAT adalah ibu segala kerja. Uniknya bulan rejab ini adalah pensyariatan waktu solat. Penting ke? Hebat sangatkah? 


Memang hebat dan penting! mana tidaknya hinggakan Rasulullah S.A.W perlu berhadapan dengan Allah di Sidratul Muntaha, melepasi langit-langit yang lain dan persinggahan yang paling hujung. Malaikat Jibril dan Buraq pun tidak boleh melepasinya. Tetapi insan agung ini yang bernama Muhammad, bertemu Allah begitu dekat sekali umpama jarak antara busur panah. Allahuakbar..50 solat yang disyariatkan kepada kalian awalnya, Rasulullah S.A.W ulang-alik bertemu Allah, merayu agar dikurangkan dan tidak membebankan umat.


Solat yang 5 itupun umatnya tidak penuh. Rasa terbeban pun ada. Betapa sayangnya Nabi kita. Hingga mahu meninggalkan dunia, masih dibibirnya menyebut umatku..umatku..
Sebelum Baginda S.A.W meninggal dunia, 3 perkara ini perlu anda tahu, sedihnya huhu
1. Rasulullah S.A.W mengingati umatnya (Ummati..ummati)
2. Rasulullah S.A.W membasahkan tangannya ke dalam bejana air, dan menyapu ke wajah dan anggota. (Betapa sakitnya sakaratul-maut jika umatnya tahu)
3. Rasulullah S.A.W menyelak tirai, berasa lega melihat Saidina Abu Bakar usai mengimamkan SOLAT.


Mengambarkan pada kita, utama solat itu mengatasi ibadah yang lain. Perkara pertama yang pasti dipersoalkan! SOLAT! Jangan tinggal! Tak kira lah..kita nak main bola ke, pergi memancing ke, main Play Station ke..langsaikan SOLATmu. Bereh ^^)
Hukum Susu vs Hukum Arak
Ketika Rasulullah S.A.W diperjalankan, Baginda terdengar satu panggilan di sebelah kiri dan kanannya yang memanggil nama Muhammad. Tetapi Rasulullah S.A.W tidak menoleh ke kanan atau ke kiri. Lalu Jibril A.S menyatakan bahawa suara tersebut adalah panggilan dari kaum yang mengingkari Allah dan menyekutukannya iaitu Yahudi dan Nasara.


Rasulullah S.A.W diberi pilihan oleh Jibril A.S, untuk memilih di kanan SUSU dan di kiri ARAK. Lalu Baginda Muhammad S.A.W memilih susu, yang bersih, yang suci, yang indah. Susu dibahaskan oleh Ulama adalah fitrah.


Kita bayangkan SUSU lembu, warnanya putih, bersih dan cantik bahkan asli diambil melalui perahan. Langsung meminumnya selepas memerah. Tanpa melalui banyak campurtangan manusia.


Tetapi arak, melalui satu proses yang banyak campurtangan manusia. Sudah tidak asli, diperam, dicampur dengan bahan-bahan asid, banyak keserabutan yang ditambah. Sudah tidak fitrah.


Pilihan yang dibuat oleh Baginda S.A.W adalah pilihan yang tepat dan dekat dengan fitrah. Sebab itu, Undang-undang Islam adalah undang-undang fitrah! (Hudud, Qisas dan Takzir) dan kita labelkan sebagai hukum SUSU. Manakala Undang-undang ciptaan manusia adalah hukukm arak. Kenapa? Apa bukti? Apa kaitan antara SUSU dan Hudud? ARAK dan Undang-undang Ciptaan?


Contoh, anda ada anak yang berumur 17tahun, baru lepas SPM dan memperoleh keputusan 12A1, menjadi pengarang jantung anda, disayangi. Tiba-tiba anak tuan\puan telah dilanggar oleh mat rempit yang sengaja melulu. 
A. Dengan ini mahkamah ciptaan manusia menjatuhkan hukuman penjara dan denda kepada mat rempit tersebut, kalau dia insaf, insaflah..kalau tidak? Apa perasaan anda? Adakah setimpal dengan hukuman itu?


B. Kita lihat pula hukum SUSU, sabit kesalahan Qisas bunuh balas bunuh. Pihak keluarga mangsa akan dibela, diberi pilihan :
1. Meneruskan hukuman balas bunuh, setimpal dengan kesalahan kerana sengaja.
2. Memberi kemaafan tetapi mat rempit dikenakan DIAT (Bayar Ganti) - nilai nyawa seseorang ketika zaman khulafa' ar-Rasyidin sebanyak 100 ekor unta= RM 500,000. Kalau sekarang? Walaupun kita tahu bahawa harta tidak boleh diganti dengan nyawa anak, tetapi Islam membela ahli keluarga mangsa dalam menuntut keadilan.
3. Memaafkan terus (redha)-ini memerlukan kesabaran yang tinggi, bukan mudah memaafkan orang.


Sempena pilihanraya yang dijangka entah bila-kan tiba, saya pun tak tahu! Kita perlu membuat pilihanraya dalam diri terlebih dahulu. Sebagai contoh solat subuh anda, samada cincai boncai atau kusyuk tawaduk. Bila azan berkumandang, Assolatu Khoirumminan-nauum! (Solat lebih baik dari tido!) atau An-nauumu Khairumminas-solahh! (Tido lebih baik dari solat!). Rasanya ramai yang tido atau bangun?


Saya menuding pada diri ini. Kalaulah mereka tahu betapa besarnya fadhilat solat berjemaah, luasnya rahmat majlis ilmu, besarnya keampunan Allah. Sudah pasti kita akan merangkak-rangkak menuju ke saf yang pertama, Berkejar-kejar menuju ke majlis ilmu, teresak-esak memohon ampun.


Sekurang-kurangnya memberi sedar selama ini, apakah pilihan yang kita pilih? Hijau atau Biru? nak Hiburan Islam ke K-POP? Pilih lah sendiri, nak HUKUM SUSU ke HUKUM ARAK? =)


Syaaban, palingkan wajahmu!
Kiblat pertama, disyariatkan oleh Allah menghadap ke Baitul Maqdis. Kaum Yahudi dengan angkuh mengejek-ejek Nabi kita Muhammad S.A.W dan umat Islam kerana menghadap ke kiblat mereka. Disamping itu, berat di sanubari Rasulullah S.A.W untuk berqiblatkan Baitul Maqdis yang merupakan qiblat musuh utama iaitu orang-orang Yahudi. Perlu kita tahu juga bahawa, Baginda S.A.W sering keluar malam dan mendongak-dongak ke langit berharap agar diturunkan wahyu menukar arah Qiblat. Cinta Nabi Muhammad S.A.W kepada Kaabah iaitu qiblat Ibrahim A.S sangat memuncak. Firman Allah Taala yang bermaksud :


“Dan Kami sering melihat kamu mendongak-dongakkan kepalamu (Nabi Muhammad) ke langit. Maka (pada hari ini) Kami tukarkan bagi kamu ke arah Qiblat yang kamu suka. Oleh yang demikian, hadapkanlah wajahmu ke Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada maka hendaklah kamu mengadap ke arahnya. Sedangkan mereka yang telah diberikan al-Kitab (Yahudi) itu benar-benar tahu bahawa hal ini adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan tidaklah Allah SWT alpa terhadap apa yang mereka lakukan. {144} 


Dan sekiranya kamu datangkan segala bukti kepada mereka yang telah diberikan al-Kitab kepadanya (Yahudi), tidaklah mereka itu mengikut Qiblat kamu. Dan kamu juga tidak akan sekali-kali mengikut Qiblat mereka. Bahkan mereka sesama mereka juga tidak mengikut Qiblat antara satu dengan yang lain. Dan sekiranya kamu mengikut hawa nafsu mereka selepas datangnya kepada kamu pengetahuan, maka sesungguhnya kamu adalah dari golongan yang zalim. {145} 


Mereka yang Kami berikan al-Kitab itu (Yahudi dan Nasrani), mereka mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka. Akan tetapi sebahagian daripada mereka itu senantiasa menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui. {146}


Kebenaran itu adalah datangnya dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali kamu tergolong dari kalangan orang yang zalim. {147}” | al-Baqarah


Bangsa Yahudi dan Nasara sangat mencemburui umat Islam hinggakan mereka sanggup berpakat dan bersekongkol untuk menyesatkan umat Islam mengikut cara hidup mereka. Bangsa Yahudi hingga satu tahap beranggapan bahawa Malaikat Jibril silap memberi wahyu kepada keturunan Bani Ismail, sepatutnya diberikan kepada Bani Israel. Ini diperjelaskan dalam Firman Allah yang bermaksud :


"Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (Al Baqarah: 120)


Tetapi kita lihat masakini, banyaknya MUSLIM yang suka pula terikut-ikut dengan style dan trend orang-orang Yahudi. Masakan ada yang turut berbangga dengan gaya dan cara hidup sedemikian. Perasan atau tidak? Bulan Syaaban ini, orang-orang Yahudi dan Nasara memenuhkan dan MENYIBUKKAN masa kalian (umat Islam) dengan SPORTS, MOVIES, OLIMPIK, SMOKEs, EURO 2012, SEX dan banyak lagi. Nanti bulan Ramadhan lagi hebat! Mereka menipu umat Islam, melekakan umat Islam supaya lupakan TAHAJJUD, lupakan SOLAT, lupakan JEMAAH, lupakan MAJLIS ILMU dan lupakan semuanya, IKUTLAH KAMI (YAHUDI NASARA). Anda sedar? atau tidak sedar? Tepuk dada tanya IMAN.


Benarlah sabda Rasulullah S.A.W yang maknanya :
“Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan
 sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki
 lubang-lubang biawak.”

Sahabat bertanya:
“Siapakah mereka itu ya Rasulullah?”

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menjawab:
 “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.” 
(HR Muslim)

Bukan maksud saya, SUKAN, TENGOK MOVIE tak boleh. Tetapi inilah realiti umat Islam. Kita dibuai, disogok, dileka, ditipu..akhirnya kita menjadi MUSLIM ILUSI bukan MUSLIM REALITI. 
Sudah tiba masanya, palingkan wajahmu dari YAHUDI seumpama palingnya wajah Nabi Muhammad S.A.W dari qiblat orang-orang YAHUDI, bukan kerana qiblat itu tetapi kepada orang-orang Yahudi yang tidak pernah redha dengan umat Islam, mereka memusuhi para Rasul, dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin yang memerlukan pembelaan! Anda lah yang memilih..untuk jadi MUSLIM REALITI atau MUSLIM ILUSI. Bersama-sama kita koreksi diri, selamat menuju Ramadhan yang terindah!


Wallahu'alam, mohon tegur =)
Surau Ikhlasiah, Datuk Keramat 2012



Selasa, 19 Jun 2012

Saya mahu menjadi al-Fateh 1


By : Selimutsura

SEMINAR 1453
Bismillah, Seluruh pujian buatMu duhai Tuhan yang esa

Saya terpanggil untuk menulis lagi, seingat saya saranan Ustaz Hasrizal ketika seminar di PWTC tentang E-Book, untuk tidak serik menulis dan terus berkarya sebanyak mungkin dalam sehari, kerana manfaat dan kesannya bukan pada hari yang sama, tetapi masa akan datang. Sebagai maklumat penting buat generasi yang bakal datang.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya telah menghadiri Seminar 1453 (Membina karekter Muslim Produktif) pada 17 Jun 2012/ 27 Rejab yang dianjurkan oleh OneHeart Solution, Ibrah Paradigm, Malaysian-Turkish Dialogue Society bersama rakan media rasmi Munsyeed.com dan Milenia. Bertempat di Auditorium Utama UIA, Gombak. Ini adalah inisiatif yang sangat baik direncana, dan syukur sekali lagi kepada Allah telah membuka jalan buat saya untuk duduk dalam seminar ini. Jangka waktu jam 8.30 pagi - 10.00 malam. Walaupun saya sempat melarikan diri sebentar tengahari memenuhi undangan walimah di Tabung Haji.

Ahli panel yang dipertontonkan seperti Ustaz Syaari Abd Rahman, iaitu penulis buku bestseller yang bertajuk BERFIKIR GAYA AL-FATEH dan GAYA KEPIMPINAN AL-FATEH. Ustaz Hj. Hasrizal Abdul Jamil, mewakili Synergy Training & Consultancy, saya anggap beliau sebagai sifu dalam penulisan saya. Pengalaman dan peristiwa pengembaraannya ke TURKI diceritakan panjang lebar dalam karangan beliau SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH, alhamdulillah saya sudah habis mengamatinya. Selain itu Tn. Amin Idris (Pengacara TV AL-HIJRAH), Dr. Amirullah Hj. Abdullah  (Pengasas Ubat Gigi Mukmin) dan Tn. Aizuddinur Hj. Zakaria (Auditor, Price Waterhouse).

KEBENARAN HADITH, 800 TAHUN KEMUDIAN
Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
" Akan dibuka Kota Kostantinople itu, 
maka PEMIMPINnya adalah sebaik-baik pemimpin,
maka TENTERAnya adalah sebaik-baik tentera"

(Direkodkan oleh Imam Ahmad)
Al-fateh, satu gelaran yang besar buat insan bernama Muhammad, pada usianya seawal 11 tahun sudah mula memegang jawatan sebagai pemimpin muda. Semangat jihad, Daya fikir yang tinggi, kebijaksanaan melangkau usia remajanya, mahu membuktikan sabda Baginda S.A.W yang berusia 800 tahun itu benar-benar akan tercapai. Kepakarannya dalam selok-belok ilmu peperangan diambil ibrah dari kisah perang zaman Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh Fathu Makkah, bukan datang untuk menghancurkan, meruntuhkan dan apatah lagi membantai kalangan yang lemah, tetapi MEMBUKA KOTA kepada IMAN. Tiada paksaan, tiada pembantaian, mesej yang jelas.

Selepas Rumeli Hissari dibina selama 149 hari. Strategi mental ini menngugat musuh.

Cantiknya peristiwa bersejarah ini, merekodkan Sultan Muhammad II digelar AL-FATEH bukan PENAKLUK. Beliau dibantu oleh pembantu-pembantu yang hebat, As-Sheikh Samsuddin al-Wali merupakan Ulama, ikon penting dalam membakar semangat Sultan Muhammad tatkala baginda seakan-akan ditimpa keremukan jiwa kerana gugurnya 200 tenteranya di darat dan kekalahan Palta oglu kepada 3 Kapal besar dari Genoa, yang memimpin armada Uthmaniyyah di Golden Horn, Marmara. 
Kota Kostantinople telah 12 kali percubaan dilakukan sejak zaman sahabat Rasulullah S.A.W, zaman Khilafah Umayyah, Abbasiyyah, Kerajaan Seljuk dan Sultan OSMANli sebelum ini. Rantai pemusnah kapal menutupi jalan ke Selat Bosphorus, dan tembok 3 lapisan menyukarkan mana-mana bala tentera untuk menembusinya. Meriam Urban@Basilica kepakaran Hungarian, merupakan teknologi persenjataan yang terhebat ketika itu meremukkan tembok Kostantinople melalui hentaman 300-400kg satu peluru. Diceritakan untuk "load" peluru mengambil masa 2jam sekali tembak memberi kesan yang hebat.Subhanallah!

MISI MUSTAHIL, SYAHID ATAU MATI
Surat Sheikh Samsuddin ada menyebut,

"Hari ini kau kalah, esok kau akan menang!"

"Biasalah, hero menang masa akhir-akhir." Seloroh Ustaz Syaari.
Apa yang menakjubkan saya, bagaimana strategi Sultan Muhammad al-Fateh, dan tenteranya membawa kapal-kapal perang sebanyak 70-72 buah, ditarik oleh ribuan ekor lembu, ribuan tentera, menggunakan minyak haiwan pada kayu-kayu golek. Gaya fikir dan tenaga yang luar biasa ini dibuat dalam jangkamasa sehari. 

Di saat mereka Kostantin (Raja Pollolojus) sukaria atas kekalahan tentera Osmanli di benteng dan lautan, strategi al-Fateh berjaya melekakan mereka, pemindahan kapal melalui GALATA sukses dilakukan. Bayangkan jarak pemindahan kapal tersebut sejauh 4.8 kilometer lebih.

Apabila segala strategi telah dilakukan, teknologi canggih dipergunakan, kepakaran demi kepakaran, pengorbanan berskala diluar akal, bahkan dalaman yang luar biasa dan akhirnya, Sultan Muhammad al-Fateh memastikan spiritual tentera berada ditahap yang tinggi. Selepas 54 hari, bermandi darah terbit seorang pemuda mengibarkan bendera Uthmaniyyah panji Islam ke tembok tertinggi hingga dia gugur syahid, ini seperti membaling petrol dalam api, memarakkan lagi semangat jihad di kalangan tentera dan Jannisari.

Hassan Ulubate, nama pemuda tersebut.

MUHAMMAD AL-FATEH & MUHAMMAD RASULULLAH S.A.W

Tanggal 20 Jamadilawal 857H, bersamaan 29 Mei 1453M tarikh keramat bagi umat Islam, Kota Kostantinople dibuka oleh Sultan Mehmet al-Fateh (The Opener) pada usia 21 tahun. Apa yang berlaku selepas kota berjaya ditawan Khilafah Turki Uthmaniyyah, baginda menggunakan kaedah syarak, dengan menjadikan hanya satu sahaja gereja terbesar mereka iaitu HAGIA SOFIA menjadi masjid dan selebihnya kekal peranan sebagai gereja. Masjid bukan sekadar lambang syiar Islam, tetapi strategi politik Islam membina pusat pemerintahan. Nama Kostantinople ditukar kepada ISLAMBOL, seramai 80 hamba berdarjat kerabat dibebaskan dari menjadi hamba dengan menggunakan duit Sultan sendiri.

Bahkan, Sultan Muhammad II menghantar pasukan keselamatan bagi mengawal keselamatan penduduk kota, khuatir akan sesuatu yang tidak diingini berlaku disetiap jalan-jalan dan tempat-tempat tinggal. MashaAllah, inilah didikan Rasulullah S.A.W ketika memasuki Kota Makkah, menjadi ikutan Sultan Muhammad al-Fateh. Cintanya pada Nabi Muhammad S.A.W bukan saja diungkapkan dalam karya-karyanya, tetapi sudut pandang dan perilaku juga.

Begitu produktifnya karekter (akhlak) Sultan Muhammad II, hinggakan HAGIA SOFIA yang ditukar menjadi masjid, tidak dipadam ukiran-ukiran dan gambar-gambar Nabi Isa @Jesus, Siti Maryam @Mary dan sebagainya bagi menjaga sensitiviti penganut kristian. Hanya ditutupi dengan rentangan kain putih sahaja.

Sultan Muhammad al-Fateh berpesan, barangsiapa yang menukarkan fungsi Hagia Sofia selain daripada masjid, laknatlah keatasnya.
Tertera ayat al-Quran surah al-Fath (7) pada lambang panji Uthmaniyyah dan mulut meriam urban yang berbunyi :
{Innaa fatahna laka fatham-mubina}
“Sesunggunya KAMI telah memberi kepadamu kemenangan yang nyata”

Secara tafsirannya, membuktikan sekuatmana persiapan yang dilakukan pengakirannya adalah dengan izin Allah, memberi kemenangan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Tiada kekuatan dan daya melainkan dari Allah Subhanahu wa taala. Sultan Muhammad al-Fateh adalah manusia biasa seperti kita, tetapi tinggi daya juang, tinggi daya iman, tinggi juga daya ilmu, sangat kritis dan kreatif.

Sultan Muhammad al-Fateh, karekter contoh yang mencontohi Nabi Muhammad S.A.W sebagai qudwah hasanah dalam menghadapi rakyat, tentera dan musuh secara fizikal dan spiritual. Kemenangan dipihak Islam bukan kemenangan secara luaran tetapi dalaman, insyaAllah menjadi al-Fateh dalam menawan kota hati.

InsyaAllah, banyak ingin saya kongsikan lagi tercatat pada catitan ini masih belum dikembangkan. Apakah strategi-strategi kejayaan al-Fateh? Apa perkaitannya dengan pemerintah2 sebelum ini? Tunggu yang seterusnya sabar menanti ^^
Saya mahu menjadi Muhammad al-Fateh!

ALLAH RAZI OLSUN!
ALLAH EMANET OL!
Semoga Allah meredhaimu!
Semoga Allah menjagamu!
                                               
Malam selepas Seminar 1453, Uia Gombak

*Kalau ada salah, tolong betulkan, sedang perbaiki diri menjadi tinggi disisi ALLAH, menjadi hamba serendahnya.

Isnin, 18 Jun 2012

Ujian itu Tarbiyyah, Sabar itu Indah

By : Selimutsura


Allah Taala mendidik hambaNya dengan menurunkan pelbagai ujian. Ujian sebagai "tester" sejauhmanakah penilaian dan pemahaman hamba dalam soal pergantungan dan pengharapan. Alhamdulillah, ku bersyukur pada Allah biar ujian itu pahit tetapi yang lebih memahat di dalam jiwa, apabila Allah Taala serta dengan tiba-tiba menggantikannya dengan perkara yang lebih baik. Terkadang kita hamba disaat lemah, banyak percubaan yang mengundang, tertewas juga kadangnya.


Ceria dan mendungnya kehidupan adalah warna-warni hidup. Tak enak ubi yang direbus tanpa garam yang masin, tak enaklah pelam muda yang masam tanpa kicap dan gula. Selepas diberi ujian, barulah terasa enaknya ujian. Mesrakanlah dengan ucapan alhamdulillah, walaupun duit dikocek sudah kehabisan, sedangkan begitu ramai yang dipenuhkan koceknya meninggalkan Tuhan.

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)" 
(Al-Baqarah :214)

Allah tidak pernahkan jauh, meninggalkan hambaNya seorang meraba-raba penyelesaian akan ujian yang dihadapi. Jawapan dan tarbiyyah Allah sangat eksklusif bagi hamba-hambaNya. Setiap orang diajarkan tarbiyyah berbeza, bahkan jawapannya juga berbeza. Proses kehidupan membentuk manusia lebih baik, memperbaiki diri menjadi yang terbaik.


Kita seharusnya mencedok kisah silam, sejarah yang terbukti. Ketabahan umat Islam zaman lampau terutama tika zaman Rasulullah S.A.W. Bagaimana keperitan, penderitaan yang di alami hinggakan kesan ujian tersebut mengobrak emosi, menjengah sampai menggoyahkan iman. Bukan itu saja, nyawa menjadi taruhan supaya boleh merobek teguh iman dalam sanubari. Hebatnya para sahabat Nabi S.A.W, bukan kecil-kecil iman mereka.



"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
(Al-Baqarah :155)


Kita selalu merungut, menyalahkan yang lain padahal pada masa yang sama kita sudah ditewaskan oleh emosi yang memercik, SYAITAN yang membisik, hati membentak dan ragut dijentik. Aduh, sayangnya emosi itu menjadi alasan ketidaksiumannya kita. Bagaimana mahu mengubatinya? Mencari penjuru lalu menangis sudahkah selesai?


Tidak! Seharusnya kita sendiri harus memandu sendiri. Mulakan dari gear mula, mencari titik permulaan tersebut yang terkandung di dalam jiwa. Muhasabah diri, menimbang-tara peribadi, kau akan menemui rapuhnya hatimu dalam mencintaiNya, kesetiaanmu tidak setulus cintaNya, saat itu tangisanmu sangat berguna.


Selepas tangis, pasti kamu akan mulai bangkit. Allah akan mengisi lompang-lompang pertanyaanmu, satu jawapan sudah cukup untuk kamu. Tiada diskriminasi, kamu miskin kamu kaya, kamu pangkat kamu biasa. Asalkan kamu dekat, dan Allah Taala lebih dekat.


Taman menjadi subur kembali dengan adanya hujan Allah menurunkan, layulah jika hanya ada cahaya mentari saja. Begitu juga hati, dengan adanya tangis Allah menyuburkan jiwa semula, terbitnya pula pelangi yang indah.


“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Thalaaq :3)


Bak sajak Hilal Asyraf :


Kadang susah biar kita bijak bersyukur,


kerana manusia itu sering melupai,

kadang sakit biar kita beringat,


kerana manusia itu sering meninggi diri,

kadang dosa itu biar kita sedar,


kerana manusia itu sering bongkak dalam kalbunya nanti.

Cabaran itu juga daripada Tuhan,


tidakkah kita memerhatikannya dengan mata hati?



Kata sisi akhirku untuk tajuk ini, moga Allah beri aku petunjuk :


{Cabaran dan halangan itu dari Allah, menghias untuk kamu menjadi tinggi, mulia disisi Dia}


Artikel ini ku kongsi, selepas ku temui jawapannya ^^ Subhanallah!Syukrulillah!


Uia, Gombak

Khamis, 14 Jun 2012

Berilah aku kekuatan

By : Selimutsura

Aku menangis dan terus menangis


Kau anugerahkan aku keluasan kemurahanMu


Memang selalunya


Aku sukar dan susah






Mana bisa mampu


Hamba membicarakan akan kehebatanMu


Mengungguli setiap segala


Kadang ajaib sungguh


BalasMu




Saat aku ditekan


Beban yang ku tanggungi


Aku serah dan hadap padaMu


Hingga esak-esakku


makin rapuh




Ya Allah, jika inilah jalannya


Kau berikan ku ujian yang hebat-hebat


Aku tahu Kau mahu aku menjadi Mukmin yang hebat


Berikan aku kuat dan sabar


Genggamku hanyalah mencintaiMu..


huhu Maafkan aku Ya Allah..maafkan aku..berilah aku kuat..



Jumaat, 8 Jun 2012

Dia Gergasi, Aku Semut

By : Selimutsura



Aku semut, dia gergasi.

Semut itu berlari-lari cemas menuju ke satu kawasan yang lebih selamat. Wajahnya pucat lesi, bila disergah beberapa ekor lebah yang cuba merampas makanan mereka. Saat bertempiaran semua menyelamatkan diri, dia tidak sedar sejauhmana lariannya asal selamat. Terkejut, tika melihat dihadapan dia sampai di satu tempat, sangat luas, sejuk pula tu. Semut menginjak-injak kakinya. “ini bukan tanah, atau rumput..tempat apa ini? Semut menggosokkan matanya, bagai tidak percaya.

Aku memerhatikan semut itu, keseorangan sendiri. Bagai hilang arah dan tuju, ku menjemputnya dengan persoalan di dalam hati. Tanyaku :
“Apa yang kau buat kat sini?”
“Seorang sendiri tanpa semut yang lain, kau sesat ke?”
“Bagaimana Allah menetapkan engkau untuk ke sini?
Tempat ni tiada gula-gula, mahupun makanan. Bagaimana nak hidup kat kawasan yang luas macam ni?” Aku tersengih.

Perhatiannya memandang ke arah aku. Kelip-kelip matanya, muncung tak sudah sambil pipi ditongkat dua belah tangan.
“Aku tahu la aku kecik, kau tu besar..kan Allah dah bagitau kita hidup ada tujuan. Membuat persembahan buat Tuan bumi ini, sujud dan taat.”
“Sesat jalan tidak mengapa boleh cari, tapi jangan sesat mencari cahaya, paling takut kalau cahaya itu tak ada.”
“Itu sudah Allah tuliskan, rezekimu, jodohmu, ajalmu..yang perlu kau buat usahalah!”
“Aku bergantung kepada Allah, bukan pada kau..aku percaya denga kuat.” Aku membalas senyuman itu.

Bisik hati,
“Hmm..hebatnya, kau semut melangkah beribu-ribu batu untuk ke masjid. Tapi aku susah. Walaupun masjid beberapa langkah saja, liat sungguh macam ada pengikat yang kuat. Aku mesti macam kau! Aku mesti rajin!InshaAllah.” Sambil berdiri menggenggam tangan erat dan menunaikan solat zuhur yang belum ditunai kerana ralit dengan aksi seekor semut.

Kata hati,
“Apa yang dia merepek ni, mungkin tarian. Takpun persembahan kepada Tuan bumi juga seperti kami. Kejap tunduk, berdiri dan duduk. Haaaa..aku dah tahu, kau dengan cara kau, aku dengan cara pujian aku. MemujiNya dengan cara masing-masing. Kerana kita adalah hamba, aku kecik kau besar tapi cantiknya kita bila berTAQWA.”  Aku pulang dengan sedikit ilmu, untuk cerita pada koloniku. Bye-bye.. Salamualaikum!

Pesanku, lihatlah alam disekelilingmu..
kerana kau akan dapat belajar dari mereka..
mereka juga guru-guru yang sedang mengajar kamu..
mencari cahaya..menuju cinta yang agung..

Aku fahami kepercayaan itu walaupun ia mustahil dan tidak logik, kerana aku perlu menilai bukan dengan logik akal tetapi dengan iman. Allah Taala telah memberi jawapan : {Surah Jin | 16} yang bermaksud :

“Jika mereka itu tetap berada di atas jalan Allah, pasti Allah akan memberikan kepada mereka itu rezeki dan kekayaan yang melimpah ruah.”

Rezeki yang aku maksudkan adalah..nikmat iman, petunjuk.

Ahad, 3 Jun 2012

Memori Semalam

By : Selimutsura



Memori Semalam | 3 Jun | 9.00 Mlm

Malam semalam, bila ku melihat sahabatku selamat di ijab kabulkan ada sesuatu yang memanjang dalam hatiku. Cukup rasa terkesan, mahu saja mengalirkan airmata. Ku peluk erat tanda gembira dan syukur, kini dia sudah bergelar suami. Mematri janji dan tanggungjawab yang tinggi. Tahniah Amir Imran bin Samaon dan Nurain bt Jainal..!

Bersama-sama teman yang sudah lama meninggalkan zaman persekolahan, membayangkan zaman remaja yang sudah pergi meninggalkan, cukup menyentuh qalbu. Masing-masing semakin dewasa mengejar cita-cita, mahu berkeluarga, menggapai dunia yang berbeza. Tetapi mereka masih temanku yang lama, sifat yang sama, hati yang sama.

Redupnya malam semalam, ku seakan berada dalam tangisan antara kesedihan dan kegembiraan. Tak mampu mengucap kata-kata, seadanya terbalas dilubuk hati, gembira dapat bersua melihat wajah-wajah kalian, ku mencintai kalian kerana Allah..semoga cinta ini juga memanjang dalam hati kalian. =)

Gemas, kerana ukhwah | 2 Jun

Pemusafiran ku, kimi dan syahmi ke Gemas bukanlah dirancang. Saat-saat akhir membuat keputusan untuk ke Felda Sg. Kelamah tidak semudah yang disangka. Alhamdulillah, Syahmi dahulunya pernah belajar di ITQAN, Gemencheh memberi panduan GPS yang mudah untuk ke sana. Sangkaan Kimi, jarak Gemas itu umpama Kuala Lumpur dan Nilai. Akhirnya dia tersandar seketika. Jam 12 masih di Nilai.

Perjalanan yang jauh, pemandangan yang luas. Memang macam best bunyinya, tapi bila terperangkap dalam jem dari Nilai ke Seremban sangat-sangat sesak juga dihati. Rancanglah perjalanan anda! 2 jam perjalanan kami tiba juga di persimpangan Simpang Ampat, mengambil laluan ke Tampin.

Rehat & Rawat di Masjid Tampin, betul sebelah simpang. Selesai solat Jamak dan Qasar, kami meneruskan mencari Felda Sg. Kelamah. Akhirnya kami tersesat jalan, dan terlajak. Di lubuk hati, rasa ragu-ragu dengan laluan yang diambil. Seakan dari Bandar yang membangun menuju hutan yang suram. Kami mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Tanpa petunjuk arah, tempat majlis walimah. Kami meneruskan pencarian hinggalah menjumpai satu simpang ke Tugu Sg. Kelamah. Betul ke? Kimi mulai bimbang..dan Alhamdulillah selamat tiba juga kami di walimah Bro. Sham dan pasangannya Wahidah. Bertema biru laut. Kami tiba di Felda tersebut jam 3.15 minit petang. Seakan sedang berkemas-kemas.

Kami mengisi minyak perut sepenuhnya, bagi meneruskan perjalanan pulang yang jauh.
Barakallahulakuma =)

Ke Kampung seketika | 3Jun
Nenek belah abah semakin uzur. Teman-teman seusianya ramai yang sudah dijemput pulang. Nenek adalah yang bongsu. Nenek sihat, tetapi uzur dari segi fizikal. Dalam fikirannya, hanya yang diingat surah al-Fatihah, al-Ikhlas, dan ada beberapa ayat-ayat Quran. Terutama tentang kiamat, kekuasaan Allah Taala itupun ingat-ingat lupa. 

Nenek tidak mampu lagi solat. Memorinya luput sedikit demi sedikit. Tetapi aku kagum dengan nenek. Usia uzur itu, amalnya istiqamah dalam mentadabbur al-Quran masa sihatnya menjadi sebab dia masih ingat beberapa dari kalimat-kalimat agung tersebut.

Bila nenek membaca satu potong ayat quran, Tulijul laila finnahari, wa tulijunnahara fil laili,...wa tuhrijul mayyita minal hayyi...membuatkan aku sebak. Sambil ku pegang jemarinya, tidak berisi. Ya Allah..betapa hiba, betapa sedihnya aku. Nenek, meninggalkan memori yang kuat, memori yang menjadi bekal. 

Terbiasa bukan saja basah dibibir tetapi dihati.huhu semoga sihat nenek..

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...