ilham Ma'mum

Selasa, 31 Julai 2012

Jangan serik bila diuji

By : Selimutsura


Saya masih ingat, selepas tamat sekolah 2004 dan memperoleh keputusan SPM yang tak berapa baik. Saya menanam anggur, panggilan ke IPTA tak kunjung tiba dan rayuan pun tidak dilayan. Saya berasa kecil hati, apatah lagi memalit luka dihati kedua orang tua yang mengharap sesuatu yang lebih bagus, mahu anaknya ke menara gading.

Sedih dan kasihan melihat mereka, mengerah keringat membanting tulang setiap hari. Namun saya memusnahkannya. Saya memohon pada Allah, biarlah ujian ini membakar saya. Menangis. 


Kerja pertama selepas tamat sekolah, saya adalah promoter kedai baju Hob Nob di Isetan, Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Bekerja selama 12 jam, masuk jam 10 pagi balik 10 malam. Bolehlah saya menambah sedikit duit kocek, boleh juga bantu Emak dan Abah sikit.

Gaji pertama saya, RM 650 sebulan dan OT. Telefon bimbit pertama nokia tot tet tot, sikit simpan untuk belanja, yang lebih saya bagi Emak dan Abah. Penatnya kerja, berdiri menunggu pelanggan. Kalau tiada pembeli, itulah masa paling membosankan..berdiri macam patung. Bila ramai pelanggan, waktu itulah paling sibuk dan meletihkan. "Oh..begini rupanya kerja, demi sesuap nasi bukan mudah". Deram hati saya.

Kawan-kawan ramai yang melanjutkan pengajian, mendengar mereka ramai yang mendapat tawaran untuk sambung belajar dalam dan luar negara. Mereka sudahpun belajar, sementara saya masih di pusat pengajian membeli belah, Kuala Lumpur. Saya menunggu lagi, mana tahu ada peluang rayuan.

"Nanti, aku janji tolong kau masuk belajar ok!Jangan risau confirm! Ayah aku ada cable" Kata Aszman (bukan nama sebenar). Itu adalah janji seorang kawan, tapi setelah setahun saya menunggu. Tanpa khabar dan berita, rupa-rupanya dia sudahpun menyambung belajar di sebuah ipta terkemuka. Saya tidak sedih tapi terkilan.

Saya tiada duit, macam mana nak sambung belajar. Kesian pula emak dan Abah, adik-adik ramai nak guna duit untuk persekolahan. Hingga satu tahap saya memadamkan impian untuk sambung belajar. Selepas tidak tahan kerja di KLCC, melihat sana-sini pemandangan yang menyakitkan dan suasana kerja yang tidak sesuai dijiwa saya pun berhenti.

Sekali lagi saya menanam anggur di rumah. Lipat dan sidai kain, basuh pinggan, tolong-tolong emak kat rumah, pergi pasar dengan abah, tidur, makan, solat mestilah tak lupa. Sekali-sekala emak bagi RM10, katanya upah. Terima kasih emak! Sambil terharu menemani. Kerja kat rumah lebih mulia, seronok berbanding tempat lama.


Masih segar dalam ingatan, Ramadhan 2005. Saya membantu Tn. Salim mengacau bubur lambuk di kedainya depan lorong. Biasalah bulan Ramadhan, kalau asyik duduk rumah alamatnya terlelap memanjang kalau dilayan. Mengagihkan bubur lambuk kepada setiap orang yang melalui sebelum waktu berbuka. Saya berdoa mudah-mudahan diberkati amal jariahnya amin.

Tn. Salim bersimpati dengan keadaan yang saya hadapi. Budak tak lulus masuk universiti, menggagau mencari peluang. Namun saya tak mengharapkan belas ehsan orang, anggapan yang kuat inilah masanya saya diuji. Saya masih rasa syukur, ini adalah anugerah terindah oleh Allah S.W.T dalam proses kehidupan. "GAGAL sekali, tak mungkin ku jatuh lagi..iyah! Tn. Salim menghulurkan surat tawaran untuk sambung belajar ke sebuah kolej Islam. Saya menerimanya dengan gembira. Akhirnya..Ya Allah."


Pernah terlintas di sudut hati. "Boleh ke masuk belajar mana nak cari duit?" Katanya masuk belajar dulu bayar kemudian. Tertera pada surat tawaran, pinjaman disediakan. "Alamak berhutang la pulak." Saya menggarukan kepala. Lama juga memikirkan, untuk menerima masuk ataupun tidak. Bila teringat emak, abah adik-beradik, kesusahan yang saya hadapi, nekad saya teruskan juga.


"Ya Allah, andai inilah jalan yang terbaik dariMu
aku ini hamba, menerima dengan redha. Ku pasrah dan percaya ada rahsia disebaliknya.
Mudahkan jalanku Ya Allah untuk menimba ilmuMu." Amin...

Ujian belum terhenti lagi, saya menghadapi krisis identiti selama beberapa bulan belajar. Identiti untuk meneruskan pengajian samada kekal kos/kursus multimedia atau tukar kursus. Saya memang meminati grafik, multimedia..senang cerita yang berkaitan dengan kesenian-perisian komputer. Tetapi timbul rasa ragu-ragu dalam hati, banyak mengganggu fikiran yang membuat saya tidak senang duduk.

Fikiran mengganggu, "Kau senang kerja nanti kalau ambil kos multimedia ni, kalau kos islamik-islamik ni nanti kau nak jadi apa?"...seketika saya buntu, "Betul ke aku ni?"

Saya memujuk hati dengan solat sunat dua rakaat dan berdoa, saya pun mengubah keputusan, dan keputusan inilah yang mengubah perjalanan hidup saya. Saya dimarahi oleh Dekan ketika itu, dan tertunduk tapi kali ini saya tak mahu mengalah. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan buat emak abah bangga. Hati dan jiwa saya semakin kuat pada jalan yang Allah luruskan.

Alhamdulillah, kini saya mampu tersenyum. Bersyukur. 
Hanya Allah yang tahu segalanya susah saya. Emak, abah, adik-beradik saya dan teman-teman yang dekat dengan saya. Ketika susah saya di kolej, pernah difitnah, dicerca dan tidak disukai, kesempitan duit, jatuh bangun ketika belajar, tekanan dan sebagainya. Dihujungnya Allah memberi manis, untuk saya rasai.

Saya rindu saat itu, andai ia datang lagi..ia adalah sebuah pengembaraan yang menarik. Akan ku tawan Konstantinople, dengan payah dan jerih seperti Sultan Muhammad al-Fateh. Kembara menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendah dibumiNya.
Saya juga makhluk riang! macam orang lain.
Saya tidak serik untuk susah, tak takut untuk hadapinya sekali lagi. Padahal ramai lagi orang yang lebih susah! Iyah!InshaAllah. Saya juga insan biasa, mahu lakukan yang terbaik!

Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.

Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
54000 Datuk Keramat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...