ilham Ma'mum

Selasa, 31 Julai 2012

Jangan serik bila diuji

By : Selimutsura


Saya masih ingat, selepas tamat sekolah 2004 dan memperoleh keputusan SPM yang tak berapa baik. Saya menanam anggur, panggilan ke IPTA tak kunjung tiba dan rayuan pun tidak dilayan. Saya berasa kecil hati, apatah lagi memalit luka dihati kedua orang tua yang mengharap sesuatu yang lebih bagus, mahu anaknya ke menara gading.

Sedih dan kasihan melihat mereka, mengerah keringat membanting tulang setiap hari. Namun saya memusnahkannya. Saya memohon pada Allah, biarlah ujian ini membakar saya. Menangis. 


Kerja pertama selepas tamat sekolah, saya adalah promoter kedai baju Hob Nob di Isetan, Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Bekerja selama 12 jam, masuk jam 10 pagi balik 10 malam. Bolehlah saya menambah sedikit duit kocek, boleh juga bantu Emak dan Abah sikit.

Gaji pertama saya, RM 650 sebulan dan OT. Telefon bimbit pertama nokia tot tet tot, sikit simpan untuk belanja, yang lebih saya bagi Emak dan Abah. Penatnya kerja, berdiri menunggu pelanggan. Kalau tiada pembeli, itulah masa paling membosankan..berdiri macam patung. Bila ramai pelanggan, waktu itulah paling sibuk dan meletihkan. "Oh..begini rupanya kerja, demi sesuap nasi bukan mudah". Deram hati saya.

Kawan-kawan ramai yang melanjutkan pengajian, mendengar mereka ramai yang mendapat tawaran untuk sambung belajar dalam dan luar negara. Mereka sudahpun belajar, sementara saya masih di pusat pengajian membeli belah, Kuala Lumpur. Saya menunggu lagi, mana tahu ada peluang rayuan.

"Nanti, aku janji tolong kau masuk belajar ok!Jangan risau confirm! Ayah aku ada cable" Kata Aszman (bukan nama sebenar). Itu adalah janji seorang kawan, tapi setelah setahun saya menunggu. Tanpa khabar dan berita, rupa-rupanya dia sudahpun menyambung belajar di sebuah ipta terkemuka. Saya tidak sedih tapi terkilan.

Saya tiada duit, macam mana nak sambung belajar. Kesian pula emak dan Abah, adik-adik ramai nak guna duit untuk persekolahan. Hingga satu tahap saya memadamkan impian untuk sambung belajar. Selepas tidak tahan kerja di KLCC, melihat sana-sini pemandangan yang menyakitkan dan suasana kerja yang tidak sesuai dijiwa saya pun berhenti.

Sekali lagi saya menanam anggur di rumah. Lipat dan sidai kain, basuh pinggan, tolong-tolong emak kat rumah, pergi pasar dengan abah, tidur, makan, solat mestilah tak lupa. Sekali-sekala emak bagi RM10, katanya upah. Terima kasih emak! Sambil terharu menemani. Kerja kat rumah lebih mulia, seronok berbanding tempat lama.


Masih segar dalam ingatan, Ramadhan 2005. Saya membantu Tn. Salim mengacau bubur lambuk di kedainya depan lorong. Biasalah bulan Ramadhan, kalau asyik duduk rumah alamatnya terlelap memanjang kalau dilayan. Mengagihkan bubur lambuk kepada setiap orang yang melalui sebelum waktu berbuka. Saya berdoa mudah-mudahan diberkati amal jariahnya amin.

Tn. Salim bersimpati dengan keadaan yang saya hadapi. Budak tak lulus masuk universiti, menggagau mencari peluang. Namun saya tak mengharapkan belas ehsan orang, anggapan yang kuat inilah masanya saya diuji. Saya masih rasa syukur, ini adalah anugerah terindah oleh Allah S.W.T dalam proses kehidupan. "GAGAL sekali, tak mungkin ku jatuh lagi..iyah! Tn. Salim menghulurkan surat tawaran untuk sambung belajar ke sebuah kolej Islam. Saya menerimanya dengan gembira. Akhirnya..Ya Allah."


Pernah terlintas di sudut hati. "Boleh ke masuk belajar mana nak cari duit?" Katanya masuk belajar dulu bayar kemudian. Tertera pada surat tawaran, pinjaman disediakan. "Alamak berhutang la pulak." Saya menggarukan kepala. Lama juga memikirkan, untuk menerima masuk ataupun tidak. Bila teringat emak, abah adik-beradik, kesusahan yang saya hadapi, nekad saya teruskan juga.


"Ya Allah, andai inilah jalan yang terbaik dariMu
aku ini hamba, menerima dengan redha. Ku pasrah dan percaya ada rahsia disebaliknya.
Mudahkan jalanku Ya Allah untuk menimba ilmuMu." Amin...

Ujian belum terhenti lagi, saya menghadapi krisis identiti selama beberapa bulan belajar. Identiti untuk meneruskan pengajian samada kekal kos/kursus multimedia atau tukar kursus. Saya memang meminati grafik, multimedia..senang cerita yang berkaitan dengan kesenian-perisian komputer. Tetapi timbul rasa ragu-ragu dalam hati, banyak mengganggu fikiran yang membuat saya tidak senang duduk.

Fikiran mengganggu, "Kau senang kerja nanti kalau ambil kos multimedia ni, kalau kos islamik-islamik ni nanti kau nak jadi apa?"...seketika saya buntu, "Betul ke aku ni?"

Saya memujuk hati dengan solat sunat dua rakaat dan berdoa, saya pun mengubah keputusan, dan keputusan inilah yang mengubah perjalanan hidup saya. Saya dimarahi oleh Dekan ketika itu, dan tertunduk tapi kali ini saya tak mahu mengalah. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan buat emak abah bangga. Hati dan jiwa saya semakin kuat pada jalan yang Allah luruskan.

Alhamdulillah, kini saya mampu tersenyum. Bersyukur. 
Hanya Allah yang tahu segalanya susah saya. Emak, abah, adik-beradik saya dan teman-teman yang dekat dengan saya. Ketika susah saya di kolej, pernah difitnah, dicerca dan tidak disukai, kesempitan duit, jatuh bangun ketika belajar, tekanan dan sebagainya. Dihujungnya Allah memberi manis, untuk saya rasai.

Saya rindu saat itu, andai ia datang lagi..ia adalah sebuah pengembaraan yang menarik. Akan ku tawan Konstantinople, dengan payah dan jerih seperti Sultan Muhammad al-Fateh. Kembara menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendah dibumiNya.
Saya juga makhluk riang! macam orang lain.
Saya tidak serik untuk susah, tak takut untuk hadapinya sekali lagi. Padahal ramai lagi orang yang lebih susah! Iyah!InshaAllah. Saya juga insan biasa, mahu lakukan yang terbaik!

Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.

Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
54000 Datuk Keramat

Isnin, 23 Julai 2012

Pingat Emas atau Pengat Panas!

By : Selimutsura

Alhamdulillah! 
Saya bahagia, saya suka, saya ceria bersama Pencipta saya, keluarga saya, kawan-kawan pejabat saya, tempat kerja saya, rezeki yang diberikan kepada saya hari ini, saya gembira dengan kerja yang saya buat dan akan buat hari ini.
Saya seorang yang sangat bahagia dan beruntung sekali!

Bila memetik kata-kata ini, apatah lagi melafazkannya, begitu menginjak-injak emosi dan spiritual saya. Terima kasih Prof. Dr. Muhaya! Saya teruja!
Bersama Ustaz Habiburrahman al-Shirazi (Penulis Terkenal KCB)
Besarnya nikmat Ramadhan kali ini

Subhanallah!Alhamdulillah!Allahuakbar!

Tahniah!Mabruk! buat kakak saya dan abang ipar, menyambut kehadiran seorang yang sangat istimewa di bulan mulia ini. Muhammad Izz Amsyar Affandi, doa Paman Memel mudah-mudahan jadi hero yang soleh, penyejuk jiwa ibu ayah, mewarisi semangat juang Allahyarham Wak Sungep@Tn. Guru Hj. Ghazali Hasbullah. InsyaAllah amin. Tahniah juga abah dan emak, menerima cucu pertama dalam keluarga. Sekarang dapat title baru "embah!"

Pagi-pagi Amsyar akan melaungkan azannya, mengejutkan penghuni-penghuni rumah untuk bangun bersahur. Rengekkan Amsyar begitu menyenangkan, sudah lama kami tidak mendengarnya. Rindunya saya pada tangisan adik-adik saya ketika kecil dulu. Hendak saja dicubit-cubit pipi yang merah itu. Amsyar menjadi tumpuan orang ramai seperti artis terkenal. Dikelilingi paparazzi yang mahu melaporkan berita-berita hangat sepanjang temu-mesra dengan Amsyar. Wow!

Lahirmu kedunia, sudah tertulis segala kenyataan dan realiti kehidupan. Selagi nyawa masih ada, Islam lah kamu, saya dan semua dalam perjalanan kehidupan. Jangan lupa dan dibuai-buai oleh jahatnya dunia. Ambillah ia sekadarnya, jangan semewahnya. Syaitan sentiasa berusaha untuk merebut teman ke neraka. "Aku bisikkan je..aku ajak je..aku tak suruh kau ikut, aku kan syaitan.."
Awas!
Prophetic Parenting sangat penting, dan segalanya bermula dari dalam rumah. Rumah merupakan kem ibadah buat kita dan anak. Bukan sahaja sebagai tempat berteduh dan beristirehat, akan tetapi sebagai tempat untuk ber-aktiviti. Saya terbaca satu artikel dari Islamic Montessori di web mereka anakkusoleh.com , salah satu organisasi pendidikan awal kanak-kanak yang baik untuk dicontohi. 5 perkara penting yang anak anda perlu jadi iaitu :
  1. Daei - Menjadi orang yang berusaha menghidupkan dakwah Nabi S.A.W
  2. Alim - Mengetahui selok-belok agama, suka majlis ilmu dll.
  3. 'Abid - Memelihara masa dengan ibadat spt zikir, doa, solat sunat dll.
  4. Khodim - Mahir(kelebihan) dan mudah berbuat kebaikan pada ibu, ayah dan masyarakat.
  5. Murabbi - Menjadi insan, yang mengajar orang lain melakukan kebaikan.
Muhammad Izz Amsyar Affandi, muga-mugi gusti Allah melimpahi rahmatNya amin. Malam ini menangis lagi tau! Kejut Paman!

Kualiti Ramadhan kita

Allahuakram!
Kali ini Ramadhan datang lagi..oh tidak! Ramadhan kali ini bukan Ramadhan tahun lepas. Kalau Ramadhan yang sama, sama je la tak da beza. Bangun sahur, pergi kerja, solat macam biasa, balik rumah, pergi bazar Ramadhan, buka puasa, solat terawikh, balik tidur..itupun kalau kuat bangun qiamullail.

Ramadhan kali ini BUKAN Ramadhan yang tahun dulu. Kalau itu saja amal ibadah kita, saya tidak tahu samada pingat apa yang patut diberikan. Buat mereka yang conscious, sedar untuk disedarkan betapa peri-pentingnya Ramadhan ini, kini. Ramadhan kini yang perlu ditumpukan perhatiannya. Jika tahun dulu, kita gagal memenuhi Ramadhan dengan mempergiat solat sunat dhuha, tadarus al-Quran, banyak doa dan zikir, banyakkan sedekah, jadikan ianya berlaku untuk kali ini. Anggaplah Ramadhan ini Ramadhan yang terakhir.
Jangan jadi macam ROBOT! Buat benda yang sama.

Sabda Rasulullah S.A.W :
كم من صائم ليس من صومه إلا الجوع والعطش

“Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.”


Kita tahu, Ibadah di bulan Ramadhan yang utamanya ialah puasa. Yakini, puasa bukan sekadar menahan makan minum,

Puasa mata
Puasa telinga
Puasa tangan
Puasa segala anggota termasuk hati dan akal dari perkara maksiat.

Bahkan bukan sekadar itu sahaja, adalah penyucian setiap anggota dari kejahatan lahir dan batin. Bulan membasuh dosa yang bersarang dan menghitam dalam jiwa. 

Samada konklusi akhir kita peroleh lapar dan dahaga atau? terpulang pada diri sendiri.
Mahu kenyang dengan pengat panas, yang sejuk juga akhirnya atau peroleh pingat emas dari Allah yang kekal kilauannya sebagai bekal ke akhirat.

MOOD Ramadhan

Memposisikan semula, tujuan Ramadhan kali ini belum terlambat. 
  • Binasanya pahala puasa itu bukan sebab puasa itu sendiri, tetapi orang yang berpuasa tersebut. Kalau kereta Mercedes Benz, berteknologi canggih pun eksiden bukan kerana Mercedes itu tak bagus, tetapi si pemandu itulah sendiri yang perlu disalahkan.
  • Kuasa Ekstra! Bulan Ramadhan bukanlah bulan untuk umat Islam berehat-rehat, berlemah-lemah (kuat lagi melepaknya dari kerja), secara fizikalnya luaran memang nampak letih dan lemah tetapi inilah masanya untuk umat Islam mempunyai kuasa ekstra (dalaman) yang membakar luaran untuk giat bekerja, dan beramal lebih-lebih lagi di bulan yang diganda pahala 1 amalan wajib umpama 70 kali ganda pahala, 1 amalan sunat sama dengan pahala wajib, 1 huruf al-Quran 10-700 kali ganda pahala/kebajikan.
  • Oleh kerana manusia itu lebih nampak nilai berbentuk kebendaan, bayangkanlah pahala itu Allah cash dalam bentuk duit, mesti kita berebut-rebut mendatangi masjid, melakukan amalan-amalan sunat. Cubalah anda kira dalam bentuk duit, anda hanya baca 50 huruf dari ayat al-Quran, cash RM 500. Tetapi Allah itu Maha Mengetahui, Dia hijabkan tentang pahala, hanya dengan iman dalam diri ini akan membuat kita bersungguh-sungguh. *saya bukan nak tunjuk nilai pahala itu, tetapi alangkah terkejutnya jika umat Islam tahu, mudahnya jalan ke syurga*
Posisi Akhir inilah yang saya maksudkan sebagai matlamat PUASA di bulan Ramadhan, 2|183

Maksud : Wahai orang-orang beriman telah disyariatkan kamu berpuasa sepertimana yang telah disyariatkan kepada umat yang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.

Memperoleh TAQWA! Menjadi muslim mukmin yang bertaqwa. Inilah pingat EMAS itu. Bagaimana memperolehinya?

Sabda Baginda S.A.W :
عن أبي هريرة رضي الله عنه، عن النبي صلى الله عليه وسلم
 قال : ((من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه))متفق عليه.

Maksudnya : Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan perhitungan akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.



 { إيمانا واحتسابا }

Iman yang tinggi, perhitungan (muhasabah, pengharapan) bersungguh. InshaAllah mudah-mudahan.


Awak nak pingat emas ke pengat panas?

wallahua'lam, dari saya hamba Allah yang lemah tiada daya dan kekuatan segalanya dari Allah Taala. Mohon tegur!

Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.

Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
54000 Datuk Keramat

Khamis, 19 Julai 2012

Ramadhan, perkara yang anda musykil?

By : Selimutsura

"Abang..kalau kita korek hidung masa bulan puasa, batal tak?" Mesti la batalkan."

Saya pun menjawab, "Ha'ah sah batal puasa kalau adik korek hidung sampai tembus ke perut, takpun lepas tu masuk dalam mulut, kunyah2..telan haha." Terdiam Amar. "Kenyang tak korek hidung?" Bertambah-tambah rungsing fikirannya.haha


Saya pun menjelaskan."Kalau korek, berpada-pada la jangan la bersungguh depan orang ramai, kurang adab namanya. Tak batalpun puasa adik, sebab ia tidak termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum, kalau memasukkan air dalam lubang hidung ketika wuduk pun tak batal, tetapi janganlah berlebihan."

Assalamualaikum wrt wbt, bila waktu sudah berada diambang Ramadhan macam-macam persoalan tentang perkara-perkara kecil mula timbul. Masyarakat terlalu memfokuskan perkara-perkara ini, mengakibatkan perkara-perkara sunat yang lain yang lebih aula' (penting dilakukan) diabaikan. Oleh kerana kita hidup dalam zaman yang  memerlukan penjelasan, tidak lain al-Quran sebagai mukjizat ilmu, dan as-Sunnah yang dijadikan hujah oleh para alim-ulama bagi membuktikan hukum-hakam tersebut.

Selepas selesai saya mengembara buku "Di Hamparan Shamrock", tulisan Ustaz HAJ. Seperti seketika sebelum lelap saya surfing internet, mencari beberapa bahan lain untuk dijadikan nilai tambah. saya kongsikan bersama penulisan Ustaz Zaharuddin tentang permasalahan fiqh di bulan puasa, banyak yang boleh dimanfaatkan dengan jelas ustaz perincikan.


Ramadhan : Batalkah
Puasa Kita Jika…
Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
(ULANGAN SIAR PADA 2 SEPT 2008)
Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu’) dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh – Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-
1) Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang ‘Confirmed’ : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang ‘Confirmed’: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.  Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil  perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
2SL37-inhaler

Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : “Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : “Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya” (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
“aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)” (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya ” (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : “Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya” ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai’e, Hasan albasri, As-Sya’bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Kecuali seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Sekian,
Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net
Zaharuddin Abd Rahman
13 Sept 2007
01 Ramadhan 1428 H
(ULANG SIAR 02 SEPTEMBER 2008 )

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...