ilham Ma'mum

Rabu, 27 Februari 2013

Menjemput Bidadari

By : Selimutsura

B.I.D.A.D.A.R.I


B-Bersih@suci
I-Iman
D-Didik (solehah)
A-Akur@taat (perintah Ilahi)
D-Dermawan
A-Akhlak mulia
R-Realistik
I-Ilmuwan


Allah Subhanahu wa Taala, menciptakan sesuatu dengan hikmah. Ada pelajaran dan pengajaran melaluinya. Tidak pernah sia-sia, segala bentuk kejadian dan peristiwa itu apatah lagi apabila Allah titipkan di dalam NotebookNya yang lengkap iaitu al-Quran al-Karim.

Saya ingin menjemput bakal-bakal bidadari sekalian untuk mengambil beberapa pelajaran yang Allah ceritakan tentang kisah makhluk yang indah ini. Bagi yang lelaki, kisah tentang bidadari bukanlah untuk seronok-seronok membayangkan keindahan dan kecantikannya.

TETAPI tanyalah pada diri (bakal bidadari), adakah anda cemburu dengan bidadari yang digambarkan di dalam al-Quran? Layakkah anda digelar bidadari?

TETAPI fikir dengan dalam apakah selayaknya seorang lelaki mendambakan bidadari syurga? Jika diri masih menempah tiket ke neraka?

Namun begitu itu bukan fokus utama dalam titipan kali ini.

TETAPI Allah memfokuskan, apakah ciri-ciri untuk menjadi seperti bidadari syurga digambarkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran dan mengambil ciri-ciri itu untuk  diterjemahkan di dalam kehidupan seharian.

Pada khususnya, Allah Taala membentangkan akhlak-akhlak mereka sebagai panduan kita tidak kira lelaki ataupun perempuan. Seorang suami, mahukan isterinya umpama bidadari begitulah juga seorang isteri mengharapkan dirinya adalah bidadari buat suaminya. InshaAllah..

Apakah antara potensi itu? Ia bukan sekadar sifat fizik tapi lihat yang tersurat.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
#Ciri 1- Menjaga mata, pandangan dari perkara-perkara yang mendatangkan dosa bahkan memelihara diri dan maruah daripada perbuatan yang tidak baik.

Maksud : Di dalam syurga itu (ada bidadari-bidadari) yang membatasi pandangan, yang tidak pernah di sentuh oleh manusia mahupun jin sebelumnya.
(al-Rahman | 56)

Ciri2 ini juga di ulang di dalam surah as-Shaffat (48-49), as-Shad (52),al-Rahman (74)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------
#Ciri 2- Kelihatan cantik dengan menjaga kebersihan diri dan kebersihan hati dari sifat-sifat mazmumah terutama dalam pertuturan.
Maksud : Seakan-akan mereka itu permata yakut (delima) dan marjan.
(al-Rahman | 58)

Maksud : Demikianlah kami berikan mereka pasangan bidadari yang bermata indah.
(ad-Dukhan (54)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
#Ciri 3- Menjaga budi pekerti dan berakhlak mulia di dalam kerja, keluarga, bermasyarakat.
Maksud: Di dalam syurga itu (ada bidadari-bidadari) yang baik (akhlak) dan rupa paras.
(al-Rahman | 70)
Maksud : Dan ada bidadari-bidadari yang bermata indah. Laksana mutiara yang tersimpan baik.
(al-Waqiah 22-23)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
#Ciri 4- Kasih dan cinta kepada Allah, RasulNya, Ibu bapa dan keluarga, sahabat2 dan umat manusia dan alam sekitar. Kasih pada kebaikan!

Hasan al-Basri Rahimahullah pernah menyingkap sebuah hadis yang berbunyi,


Seorang wanita tua telah bertemu dengan Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada ALLAH agar aku dapat masuk ke Syurga.”  

Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam menjawab, “Wahai ibu fulan, Syurga itu tidak dihuni oleh orang tua.”  Mendengar jawapan Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam, wanita itu pergi dari situ sambil menangis.  

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kemudian bersabda, “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke Syurga dengan keadaan usia tua.  Sesungguhnya ALLAH Ta`ala berfirman:

  
إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً. فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا. عُرُبًا أَتْرَابًا

(Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung,

dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya)” 

(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.
(surah al-Waqiah | 35-37)


Belajarlah mengambil ibrah dari penciptaan bidadari

cemburui kebaikannya, kecantikan dalaman dan luaran, berprinsip dan teguh.

Jangan berangan-angan membayangkan indah dan cantiknya bidadari

jika amalan tidak sehebat mana!!!

Pesanan buat diri sendiri.
Berusaha menjadi mampu..
Tegurlah saya =)

Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.


Isnin, 25 Februari 2013

Didik Diri & Keluarga Gaya Luqman al-Hakim

By : Selimutsura

Kita sering mengambil formula dari luar dalam mendidik anak, diri dan keluarga dan merasakan bahawa cara didik yang dititip oleh barat menepati citarasa kita, tetapi adakah ia menepati ciri-ciri yang Islam mahukan? al-Quran bukan sekadar mengandungi hukum-hakam, cerita kisah nabi, suruhan dan larangan, ayat-ayat kesembuhan dan rawatan. Malahan formulasi mendidik anak, diri dan keluarga.

Saya terdetik, untuk kongsikan bersama beberapa resepi terbaik. Bukan dari saya dari Notebook Allah ini.

Segalanya sudah terdapat di dalam Notebook Allah ini iaitu al-Quran al-Karim. Betapa canggih pun Samsung SSSS..anda, Iphone 1000 anda, ia tidak mampu menandingi Notebook Allah ini. MashaAllah Tabarakallah.

Didik anak, diri dan keluarga Gaya Luqman al-Hakim #1

#1 Manusia perlu bersyukur dengan diri sendiri, anak yang dikurniakan, diberi pula nikmat berkeluarga dalam kehidupan. Syukur pada setiap rezeki yang diberikan, nikmat terbesar ialah nikmat Islam.

Didik anak, diri dan keluarga Gaya Luqman al-Hakim #2


#2 Cara didikan yang paling awal ialah dengan mengenal Allah s.w.t. Menyuburkan iman sejak kecil, mampu mendidik diri menjadi insan yang teguh kepada tali Allah Taala. Kebanyakan anak-anak, lebih kenal artis, pemain bole sepak, game angry birds,   mungkin secara mudahnya saya katakan, lebih kenal restoran KFC berbanding Allah Taala.

Didik anak, diri dan keluarga Gaya Luqman al-Hakim #3

#3 Berbuat baik dan menyayangi kedua orang tua, Ibu yang lelah membasuhkan kotoran pada badan kita, ayah yang menabur kudrat mencari sesuap nasi.

Didik anak, diri dan keluarga Gaya Luqman al-Hakim #4

#4 Islam sangat menitikberatkan menjaga hubungan dengan kedua orang tua. Walaupun Ibu Ayah tidak mentaati Allah, tidak semestinya kita menjauhi mereka tetapi lakukanlah dengan baik, cakap dengan baik, berikan kasih sayang. Sinar hidayah itu milik Allah Taala.

Didik anak, diri dan keluarga Gaya Luqman al-Hakim #5

5# Mengetahui dan marasai bahawa Allah Taala sentiasa memonitor kita dari segenap tempat dan tidak terbatas walaupun di dalam bilik sempit. Setiap amalan akan di layarkan semula di akhirat.

Didik anak, diri dan keluarga Gaya Luqman al-Hakim #6

6# Tunaikanlah solat, berbuatlah kebaikan dan jauhi kemungkaran dan sabar itu adalah sifat yang disukai oleh Allah Taala.



7# Tidak sombong dan angkuh berjalan di muka bumi, kerana keangkuhan itu sifat syaitan. Seorang hamba Allah, merasai bahawa segala yang dimiliki adalah amanah dan ujian.


8# Hidup sentiasa rendah diri pada ALLAH, tidak takabbur dan riak dgn berasa byk amalan.


Kepada sesiapa yang nak share silakan dengan halal, apa juga kelebihan yang diberi semua Allah yang punya. Saya hanya hamba Allah, menjalankan tugas dengan rela.

Wallahua'lam


Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.

Jumaat, 22 Februari 2013

Bersediakah Menjadi Suami?

By : Selimutsura


Eimam Umair menuruni tangga rumah lalu mencuit Ibunya yang sedang memasak tumis sambal bilis.

"Ibu..Eimam ada perkara nak bincang ni." Sambil senyum ala-ala Mak Limah balik rumah.

"Kenapa dengan Eimam, lain macam je Ibu tengok. Ibu tengah masak ni." Urat dahi Si Ibu berlipat tiga melihat aksi anak bujang persis anak dara dipingit kumbang.

"Malu nak cerita laa.." Anaknya sekejap menggaru-garukan kepala, sekejap pula memegang senduk, bingkas duduk di meja makan yang penuh dengan sayur-sayuran dan rempah. Lalu dicapainya pisau dan memotong-motong kecil cebisan sayur yang tertinggal.

"Eimam ni kenapa? Serabut Ibu nengoknyer..ceciter kat Ibu. Eimam jatuh cinta ehh? Dengan sape?" Celah Ibu sengaja mengenakan soalan itu sementara menunggu sambal bilisnya masak.

Eimam tersengih, seperti kera dapat bunga. Gigi susu jelas kelihatan.

"Eimam naak kaaaaa...ripap! Eh..bukan-bukan.hehe" Telatah Eimam tidak dapat menipu Ibunya. "Nak kaaa..wen kan?" Balas Ibu Zahrah cepat-cepat. Dia pun menganggukkan kepalanya tetapi agak lambat. Tersipu-sipu.

"Ehmm..hehe." Merah padam wajah Eimam, mengalahkan orang perempuan. Itulah namanya bila dalam hati ada taman.

"Eimam dah bersediakah nak jadi suami, kerjaya ok? Kewangan ok? perbelanjaan kahwin? RM 30,000 tau."

Tiba-tiba dia termenung, duduk di kerusi berdekatan akuarium ikan emasnya.

Ibu Zahrah tersenyum seketika. Saat itu sambal tumis ikan bilis sudah masak. Lalu dia memulakan bicara pada anak bujangnya.

"Eimam..dengar ibu mahu kongsikan ini. Persediaan menjadi seorang suami bukanlah dengan memiliki sijil pengajian yang hebat, memiliki kerjaya tetap dengan gaji minimum RM 3000, sudah memiliki kereta dan rumah sendiri, termasuk perbelanjaan kahwin yang mencecah RM 30,000, 11 dulang hantaran serba satu, jemputan hingga ribuan orang, belanja  besar untuk majlis walimah atas alasan sekali seumur hidup. Bukan itu persediaan yang melayakkan kamu jadi suami."

"Tetapi kualiti yang diletakkan Islam bukanlah seperti di atas. Sukatan persedian itu terlalu sukar dicapai bagi orang-orang biasa seperti kita."

"Indahnya Islam, tidak mahu membebani kamu terutama bab material. Walaupun maharnya adalah sepotong ayat al-Quran. Bukan maksud Ibu, harta itu tidak penting tetapi jadilah lelaki yang bersedia walaupun cuma sepotong ayat al-Quran..kerana pernikahan itu ibadah, semestinya lelaki itu bagaimana?"

"Kerana kebiasaan lelaki yang bersedia "EVER-READY" itu mampu mengindahkan rumah tangganya, dengan rezeki yang halal dan berkat, keperluan asasnya cukup, kasih sayang dan didikan yang menguatkan ikatan selepas perkahwinan itu."

Pada Ibu, lelaki yang mahu menjadi suami harus mencontohi Nabi Muhammad s.a.w. Ketua para suami.

1. Bersedia memimpin, sebagai imam.

Allah berfirman: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan. 
[al-Nisa’ 4:34]

Mahu menjadi suami, Eimam mestilah bersedia menjadi pemimpin. Bakal suami seharusnya memiliki ilmu rumahtangga dan tinggi akhlak sebagai ikutan satu masa nanti. Bakal suami boleh lah mmperkembangkan daya kepimpinan melalui berpersatuan dan berorganisasi sebagai mempraktikkan daya kepimpinan. 

Namun begitu, kelebihan yang Allah beri bukanlah lesan untuk kita hanya memberi arahan, hanya pendapat kita saja yang bagus tetapi pemimpin yang bagus adalah yang adil sifatnya. Saling tolong-bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah..katanya tinggal serumah. Kerana isteri adalah Timbalan Kapten dalam bahtera rumahtangga. Suami yang ada sifat ini, sudah pasti nafkah tercukupi.

"Lindungi rumah anda dari kejahatan lanun!" hehe tergelak Eimam.

2. Bersifat tegas bukan baran.

Bukanlah namanya orang kuat jika bakal suami tidak mampu menahan marahnya. Bakal suami perlu tegas membimbing isteri dan anak, dengan cara hikmah. Bukan dengan paksaan atau kekerasan. Bak kata pepatah arab, "air yang lembut sentiasa mengalir mampu melekukkan batu yang keras." Oleh itu bakal suami perlu banyak bersabar, sebaik-baik lelaki adalah baik kepada ahli keluarganya.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى.

Maksudnya: “Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah Sallallau ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” 
(Hadis riwayat Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Ash Shahihah (no. 285)


3. Pemaaf dan toleransi.

Persediaan lain yang bakal suami perlu bersedia adalah sifat pemaaf. Ini sangat sukar bagi kebanyakan orang lelaki, kerana memang Allah Taala sudah tahu lelaki ini kuat egoisnya kecuali Rasulullah s.a.w. Seharusnya suami, menjadi orang yang adil di dalam rumahtangga. Bertukar-tukar pandangan dengan isteri dan anak-anak. Tidak semestinya keputusan kita itu yang terbaik. Bila orang buat salah, maafkanlah itu yang terbaik.

"Kalau jadi macam HULK, tak dapat la nak nolongnyer.." Tawa Ibu Zahrah.

4. Pelindung ahli keluarga dari api neraka.

Ciri-ciri bakal suami mestilah menjadi "SUPER HERO" dalam rumahtangga. Menyelamatkan ahli keluarga daripada terjerumus kepada kejahatan dan kemaksiatan. Bakal suami perlu bersedia menanggung dosa ahli keluarga oleh itu ilmu-ilmu agama sangat penting, Allah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. 
[al-Tahrim 66:06]

"Barulah, Heroin Eimam nanti panggil...You're my super duper Hero!" Kata Ibunya pada Eimam tersenyum lebar mendengar bingkisan nasihat yang bermanfaat.

Dalam hadis Nabi SAW menyatakan :

عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: “Jabir radhiyallau ‘anhuma bercerita bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ . no. 3289)

"Haaa...macam tu la baru namanya bersedia. Namun bukan mudah nak kemudi bahtera rumahtangga ni Eimam, kejap2 kena serang dengan sotong gergasi, ada ombak dan badai yang besar, banyak terumbu karang dan anasir luar yang menduga.hehe 


Hati-hati, hanya hamba ALLAH yang beriman dan  benar-benar bertaqwa mampu memandu bahtera itu hingga ke syurga. Bercinta hingga ke syurga aminnnn..." Ibu Zahrah menamatkan lamunan Eimam, dari terus berangan-angan. 

Mulai itu, Eimam Umair membuat persediaan. Bukan hanya luaran sahaja, tetapi persediaan di lapisan dalaman.

InshaAllah!

Ini adalah perkongsian saya, banyak yang kurang mohon nasihat dari semua. Syukran!

Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.



Khamis, 21 Februari 2013

Belajar dari Orang Jepun

By : Selimutsura

Ketika saya menuju pulang dari pejabat. Saat itu saya sedang beratur dibelakang 2 orang pasangan suami dan isteri untuk membeli tiket LRT di Pwtc, umurnya dalam lingkungan 50-60 tahun. Melihat iras-iras wajah dan pertuturannya dari negara matahari timbul Jepun.

Mereka berdua di kaunter mesin tiket, memasukkan beberapa keping wang. Mahu saja saya membantu kerana mereka tidak memahami akan apa yang tertulis di skrin mesin tersebut.

Sambil dalam kebingungan,si isteri melihat duit Malaysia yang berwarna-warni itu. Si suami pula asyik menangkap gambar pada skrin mesin tiket. Berkali-kali.

Akhirnya mereka berjaya juga mendapatkan tiket, walaupun sedikit lambat. Penumpang lain beratur panjang tetapi ini bukan mengambil duit BR1M.ok.

Barangkali kita pun begitu. Jika negara orang, kita suka menangkap gambar apa saja yang terlintas dihadapan. Termasuk tiang lampu.

Fotografi yang diambil, bagi orang yang pakar..mereka menyatakan ia seni fotografi. Ada nilai dari sudut cara dan gaya menangkapnya.

Tapi Pakcik Jepun itu hanya menangkap gambar skrin mesin tiket yang tertera,

"Terima Kasih Sila Ambil Baki Anda"

Saya pun begitu, akan buat benda yang sama bila ke luar negara.
Bahkan gambar tong sampah!Garbage!

Ia satu proses menceduk ilmu melalui fotografi. Zaman dulu mengkin susah, tapi kini anda boleh terus "upload" ke facebook dan sebagainya. Berkongsi.

Yang baik, dapat saham.

Satu pengajaran yang bagus.

Oh..tak faham la ape ke bende nyer la menatang nih..Snapp!!!

Kejanggalan kerana tidak mampu faham itu, secara berulang-ulang akan membuatkan anda faham. Mungkin selepas ini, saya doakan Pakcik dan Makcik Jepun itu lebih cepat  dia boleh memahami dengan cepat secara berulang kali, sepanjang di Malaysia.

..mudah-mudahan..ada jambatan hidayah di sini.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Begitu juga, ketika kita membaca al-Quran.

Bahasa Arab.  Alamak! Susahlah!..timbulnya malas.-Buang persepsi ini!

Bila kita membacanya perlu bersama terjemahan, baru ada tadabbur (ambil pengajaran). Kita pun berulang-ulang kali memahami kalimat Allah.

Macam flash card.

Akhirnya, kita mampu untuk memahami bacaan ayat al-Quran tersebut. Contoh mudah surah al-Ikhlas..

Sekurang-kurangnya nanti kita faham apa yang kita baca di dalam solat.

Mengapakah surah al-Fatihah, dibaca berulang-ulang kali dalam solat? 4 Rakaat 4 kali al-Fatihah.

Mengapakah Malaikat Jibril membaca sebanyak 3 kali IQRa'..Bismirabbikalladzi kholak?


Itulah, hikmah ibadah. ALLAH mengajar kita, cara berulang-ulang melalui cara penglihatan, pertuturan, dan perbuatan.

Untuk apa?

Inilah proses tarbiyyah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.

Satu perkara yang sangat menarik. Kita berulang-ulang kali membaca surah al-Fatihah. Sebanyak 17 rakaat dalam sehari kita menunaikan ibadah fardhu solat. Ini bermakna di dalam sehari sekurang-kurangnya kita membaca berulang sebanyak 17 kali surah al-Fatihah.

Namun kita tidak jemu, bosan dan rasa janggal untuk mengulangnya.
Ini mukjizat! Subhanallah!

Surat khabar yang kita beli hari ini, esoknya sudah kita sisihkan, barangkali jadi kertas lapik meja. Paling tidakpun masuk stor jadi bahan "recycle".

Surah al-Baqarah : 23-25



Belajarlah, mentadabbur al-Quran

Berulangkali, agar kita mampu memahami.

Apa sebenarnya tujuan, kejadian itu berlaku didepan mata.

Yang baik itu semua dari Allah Taala, yang buruk itu sebagai ujian dari Allah.


Terima kasih dari saya yang faqir ini =)
---------------------------------------------------------------------------------------------
Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.


Selasa, 19 Februari 2013

Kisah Cinta | Pemergian Kekasih ALLAH

By : Selimutsura

Selepas pemergian Rasulullah s.a.w, Fatimah r.a berkata :


"Duhai ayahanda kesayanganku yang pergi menyahut panggilan Tuhannya, 
duhai ayahanda kesayanganku syurga Firdaus tempat kembalinya,
duhai ayahanda kesayanganku kepada Jibril kami sampaikan berita kewafatannya."
----*----
Saat ketikanya Saidina Umar al-Faruk mendengar pengkhabaran pemergian Rasulullah s.a.w menyebabkan dirinya hilang pertimbangan dan bangun berkata :

"Ada beberapa orang munafik mendakwa bahawa Rasulullah telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak mati, akan tetapi baginda pergi bertemu Tuhannya sebagaimana Musa bin Imran yang menghilangkan diri daripada kaumnya selama 40 hari. Kemudian dia kembali kepada kaumnya setelah orang mengatakan dia telah mati."

"Demi ALLAH, Rasulullah s.a.w akan kembali, dan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan Baginda telah mati."
----*-----
Saidina Abu Bakar r.a lantas memecut kudanya dari rumahnya di al-Sanah sehingga masuk ke ruangan masjid tanpa berbicara sepatahpun dengan orang sekeliling. Setelah masuk menemui Saidatina Aisyah r.a dia terus meluru kepada Rasulullah s.a.w yang ketika itu sudah diselubungi dengan pakaian habarah (buatan Yaman). Lalu disingkap menatap wajah Baginda Rasulullah s.a.w kemudian dipeluk, dicium dan dia menangis. Saidina Abu Bakar r.a pun berkata :

"Demi bapa dan ibuku, Allah tidak akan mengumpulkan dua kematian untukmu. Kematian yang telah ditetapkan ke atas-mu telahpun dirimu hadapi."

Dengan itu, Saidina Abu Bakar r.a keluar mendapatkan Saidina Umar r.a yang masih melontarkan kata-kata kepada orang ramai, lalu dia pun bersuara.

"Duduklah hai Umar" Tetapi Saidina Umar r.a enggan dan orang ramai mengalihkan pandangannya pada Saidina Abu Bakar r.a daripada Saidina Umar r.a. Dia pun berkata :

"Barangsiapa dikalangan kamu yang menyembah Muhammad s.a.w, sesungguhnya Muhammad s.a.w telah mati tetapi barangsiapa dikalangan kamu menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup tidak mati."

Ibnu Abbas r.a berkata :

"Demi ALLAH seakan-akan manusia tidak pernah mengetahui ayat ini pernah diturunkan sehinggalah Saidina Abu Bakar r.a. membacanya. Lalu semua orang mengambil tahu dan turut membacanya.

Firman ALLAH S.W.T :

Maksud : Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (telah mati dan terbunuh). Jika demikian, kalau ia mati atau terbunuh (patutkah) kamu kembali kepada asal (kafir)? Dan ingatlah sesiapa yang kembali (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada ALLAH sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah yang memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingan)

{ali-Imran |144}


Ibnu al-Musayyab r.a berkata bahawa ada Saidina Umar r.a menyebut :

"Demi ALLAH, sebaik saja aku mendengar kenyataan Abu Bakar (r.a) membacakan ayat itu maka aku menjadi lemah dan longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah kebumi tatkala mendengar ayat itu.
 Maka yakinlah aku bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah wafat."
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kisah ini, saya menelusuri melalui Kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu Rahman al-Mubarakfuri.

Sungguh hiba dihati ahli keluarga dan para sahabat akan pemergian Kekasih agung ini. Sehinggakan Saidina Umar al-Khattab r.a tidak dapat menahan rasa cinta dan kasihnya, dipujuk oleh Saidina Abu Bakar r.a akan hakikat mati dirasai oleh semua yang namanya makhluk.

Adakah kita merasai pemergiannya? Apatah lagi kehadirannya?

Lihatlah dengan dalam, dimanakah kelopak cinta Rasulullah yang kita bahagikan? Cukupkah  1/4, 1/2 di dalam hati?

Dendangan Inteam. Pemergianmu begitu menyentuh hati sekali. Saya kongsikan bersama agar timbul Cinta, mahu follow cara Nabi s.a.w dan gaya Nabi s.a.w. dalam meniti jambatan dunia sementara.


(Ya Rasulallah...)



Kau masih tersenyum mengubat lara

Selindung derita yang kau rasa

Senyuman yang mententeramkan

Setiap insan yang kebimbangan
-------------------------------------------------------------
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita

Di pangkuan isterimu Humaira?

Menunggu saat ketikanya

Diangkat rohmu bertemu Yang Esa
--------------------------------------------------------------
Tangan dicelup di bejana air

Kau sapu di muka mengurangkan pedih

Beralun zikir menutur kasih

Pada umat dan akhirat
--------------------------------------------------------------------
Dan tibalah waktu ajal bertamu

Penuh ketenangan jiwamu berlalu

Linangan air mata syahdu

Iringi pemergianmu
-------------------------------------------------------------
Oh sukarnya untuk umat menerima

Bahkan payah untuk Umar mempercaya

Tetapi iman merelakan jua

Bahawa manusia ?kan mati akhirnya
---------------------------------------------------------------
Tak terlafaz kata mengungkap hiba

Gerhanalah seluruh semesta

Walaupun kau telah tiada

Bersemarak cintamu selamanya
------------------------------------------------------------
Ya Rasulallah

Kau tinggalkan kami warisan yang abadi

Dan bersaksilah sesungguhnya

Kami merinduimu


Senilagu : Frizdan Senikata : Frizdan Hakcipta : Inteam Records Sdn. Bhd

Sukarnya UMAT menerima bahkan payah UMAR mempercaya
tetapi IMAN merelakan jua
bahawa manusia kan MATI akhirnya

Menjadi tinggi disisi Dia, menjadi hamba serendahnya dibumi.
Selimutsura@www.najmeeqamar.blogspot.com
KDK, 45000 Kuala Lumpur.

Kongsikan Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...